Namun, bagi wartawan, markah itu sangat relevan. Bukan lagi rahsia perbualan di kalangan wartawan, terdapat menteri kabinet hari ini, dilihat berada di bawah prestasi dan sedang menuju kegagalan.
Kebanyakan menteri dilihat masih menggunakan manual kerja warisan totok tinggalan kabinet Barisan Nasional (BN).
Gaya pengurusan kementerian masih tiada pembaharuan. Kerjaya seorang menteri masih berada dalam tafsiran lapuk iaitu berucap, berucap dan berucap. Masih bergaya BN yang sukakan majlis perasmian, dan kehadiran menteri dirai-raikan!
Paling teruk, ada menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) kelihatan mengunakan khidmat penasihat yang bertaraf punahsihat. Ada penasihat yang dilihat mengawal kementerian hingga kuasanya melebihi kuasa menteri itu sendiri.
Tidak sedikit pula insiden yang menyebabkan wartawan sakit kepala; mengadap kerenah setiausaha akhbar pak menteri yang berkelas amatur dan bersikap kampungan! (Istilah ini tidak mencela orang kampung, tapi sinikal sebagai gambaran tidak profesional dalam kerjaya).
Tak apalah! Tak boleh kritik berlebih-lebihan. Bukan perkara aneh pun, ramai menteri PH sudah mula tunjuk perangai. Melenting dan sinikal apabila dikomen; sebiji perangai menteri BN. Sukar menerima teguran!
Harapnya penilaian markah 40 hingga 50% oleh PM, diterima pak menteri sebagai peringatan: Masih terlalu banyak ruang yang memerlukan perubahan. Harus sedar, anda semua menteri pada era kerajaan pembaharuan.
Genap 25 tahun jadi wartawan, saya menerima banyak rungutan wartawan hari ini. Saya nasihatkan supaya bertenang dan utamakan kesabaran. Saya lebih suka menceritakan pengalaman masa lalu. Sekadar melupakan sebentar kekecewaan rakan-rakan wartawan.
Saya sempat menjadi wartawan pada era Dr Mahathir menjadi PM keempat antara 1981 hingga 2003. Sedikit kenangan sebagai wartawan junior, dalam dunia kewartawanan era transisi; era manual sedang bergelut menuju teknologi digital.
Banyak orang berpeluang bertemu Dr Mahathir secara personal. Malah, mungkin puluhan ribu orang sudah berkesempatan ketemu beliau secara peribadi sejak menjadi menteri kabinet pada 1974.
Apa lagi ketika menjadi PM keempat. Reputasi bertemu empat mata dengan Dr Mahathir bukan saja dilihat berprestij di Malaysia,malah profil beliau menjadi sasaran global.
Ramai yang menyimpan impian ketemu Dr Mahathir.
Kini angka orang bertuah itu terus meningkat setelah Dr Mahathir kembali menjadi PM ketujuh mulai 10 Mei lalu. Pastinya, senarai yang menanti giliran kini melonjak.
Bak kata penasihat media Bersatu: “Macam lalat, orang cuba mengerumuni Dr Mahathir. Termasuk yang mengabaikannya ketika tidak berkuasa.”
Dr Mahathir pastinya dilihat dalam pelbagai sudut pandangan setiap orang yang menemuinya secara empat mata. Semua yang datang pasti mempunyai banyak kepentingan. Semestinya… kerana jawatan PM memang penting dan sangat berkuasa.
Saya tidak pernah berpeluang bertemu Dr Mahathir sebagai PM secara empat mata. Kecuali, satu kebetulan ketika tahun pertama saya menjadi wartawan pada 1994. Jadi ia bukan pertemuan peribadi, tetapi jadi sesi empat mata secara kebetulan.
Tugasan saya mudah. Membuat liputan PM hadir berbuka puasa di Bangunan Puspanita Kuala Lumpur. Malam itu, selepas berbuka, Dr Mahathir memilih bersolat tarawih di situ. Jadi, ramai wartawan mengambil keputusan untuk pulang awal setelah selesai majlis berbuka.
Semua wartawan bertugas setuju bersurai kerana PM akan terus berterawih di situ. Maknanya, tiada sesi bertemu wartawan selepas berbuka puasa. Jadi, semua setuju untuk balik dan lapor sajalah apa yang ada.
Cuma, saya memilih untuk menunggu dan berterawih bersama PM. Ada soalan penting dan perlukan jawapan Dr Mahathir. Saya kena pastikan PM menjawab soalan itu. Editor sudah arahkan sebagai mesti dapat. Jawapan PM akan jadi berita penting untuk siaran esoknya.
Ketika itu, Perang Balkan sedang meledak teruk di wilayah bekas Yugoslavia. Puluhan ribu umat Islam mati disembelih di Bosnia dan pembunuhan massa juga terjadi pada penganut Kristian di Croatia.
Selesai solat terawih saya berlari ke lobi bangunan. PM berjalan keluar menuju ke kereta dengan wajah letih tetapi tetap tersenyum.
Terus saya meluru dan bertanya: “Umat Islam di Bosnia terus dibunuh. Kalau Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) gagal menyekat tindakan tentera Serb, apakah tindakan Malaysia?”
PM nampak terkejut tetapi berhenti dan memandang saya. Itu isyarat baik. Kata wartawan senior, Dr Mahathir akan memandang tepat ke mata anda kalau dia berminat dan bersemangat.
Saya terus bertanya: “Apakah Datuk Seri setuju kalau kita hantar senjata ke Bosnia untuk umat Islam mempertahankan diri?”
Dr Mahathir sangat konsisten dengan isu Bosnia. Sejak peperangan meletus, Dr Mahathir sudah menyatakan pendirian tegas Malaysia dalam usaha meyakinkan PBB untuk bertindak.
Cuma ketika itu, belum ada langkah drastik dalam mengekang pembunuhan massa oleh tentera dan ekstremis Serb terhadap Muslim Bosnia dan Kristian Croatia.
Dr Mahathir menjawab dengan yakin: “Ya… kita akan mengirim senjata sekiranya dunia mengabaikan Bosnia.”
Tiga empat soalan saya tanyakan. Tetapi jawapan untuk berita besar telah diperolehi. Kenyataan Dr Mahathir sangat eksklusif. Jadi ia berita besar dan scoop untuk saya.
Saya balik ke pejabat di Jalan Chan Sow Lin dengan rasa ghairah teramat sangat. Berita dan kenyataan PM secara empat mata kini berkelas laporan muka depan!
Sebagai wartawan muda, saya jarang diberi peluang ke tugasan PM. Level saya belum ke situ. Namun, malam itu, walaupun tugasan hanya liputan PM berbuka puasa, saya dapat berita besar.
Itu satu antara beberapa pengalaman hebat peluang empat mata dengan Dr Mahathir. Tokoh yang sudah matang mengendalikan agenda empat mata.
Cukuplah kisah Dr Mahathir. Apa yang relevan dibualkan sekarang ialah prestasi menteri kabinet dalam kerajaannya sekarang. Masyarakat melihat dan memerhati setiap menteri.
Media massa dan pemegang amanah kepentingan awam juga turut menilai. Aktivis sosial pula, antara paling tajam memerhatikan sikap dan fiil menteri.
Menteri memang selalu memberikan alasan bahawa kehidupan harian mereka sangat sibuk. Lima hari bekerja, jadual menteri sentiasa padat dengan majlis demi majlis. Hujung minggu pula, bergegas balik kawasan dan menjaga pengundi.
Sayangnya, itu ritual warisan BN. Walaupun Kerajaan PH menekankan agenda pembaharuan, sikap menteri kabinet sekarang masih totok beritualkan manual kerja BN.
Menteri masih ghairah mengejar majlis-majlis perasmian dan protokol dirai-raikan. Masih suka dengan gaya hidup yang penuh dengan ucapan demi ucapan demi ucapan dalam segala macam majlis perasmian.
Atau, kalau nak glamor sikit, dilagakkan dengan agenda kehadirannya sebagai tamu ucaptama kononnya. Menteri masih percaya: “Ahli politik kerjanya ialah merasmikan majlis dan menyampaikan ucapan demi ucapan!” Gaya lips serviceBN masih jadi ikutan.
Di balik tabir, kita percaya, menteri pastilah juga sibuk dengan banyak sesi pertemuan empat mata. Namun, persoalannya: Apakah agenda dalam sesi empat mata?
Apakah sesi ini juga masih beritualkan cara BN? Penuh dengan diskusi strategi politik? Atau, menteri PH jenis yang banyak mengadakan pertemuan tertutup demi berbincang agenda rakyat?
Maksudnya, apakah menteri mengutamakan sesi empat mata untuk mendengar isu rakyat secara terperinci. Sesi tertutup supaya pakar-pakar yang relatif dan relevan dengan agenda rakyat diberikan peluang yang cukup untuk menyatakan pandangan mereka mengenai isu-isu rakyat.
Aktivis sosial dan pemegang amanah yang mewakili rakyat terus merungut. Nilai empat mata atau sesi tertutup untuk bertemu menteri masih terhad. Menteri masih melihat mereka sebagai kumpulan tidak mewakili undi dan populariti politik.
Jadi, peluang bertemu dan mengadakan perbincangan komprehensif dengan menteri berkaitan agenda rakyat yang diperjuangkan aktivis masih diperlekehkan.
Menteri masih dahagakan populariti dan glamor. Walaupun pilihan raya sudah berlalu dan kepentingan menjadi popular demi survival politik masih jauh untuk persediaan PRU15.
Jadi kepada Pak Menteri: Kurangkan ritual BN. Pembaharuan mesti dilaksanakan secara komprehensif. Kalau stail dan kitab BN masih jadi amalan, pembaharuan hanya jadi “idea yang membosankan!”. – 24 Oktober 2018.