Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 21 Oktober 2018

Yayasan Zahid Hamidi Sebenarnya Di Bangunan Yang 'Halimunan', Hanya AntMan Boleh Nampak..

THE MALAYSIAN INSIGHT | YAYASAN Akalbudi yang muncul dalam kertas pertuduhan mahkamah dalam kes penyelewengan Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya beralamat di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru.

Namun, pencarian di lokasi yang dinyatakan, di NO 69E-4, seperti dinyatakan dalam rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hanya menemui satu tapak lapang yang kosong.


Beberapa penduduk di sekitar Kampung Baru juga memberitahu, mereka tidak pernah mendengar nama yayasan tersebut, yang sepatutnya didaftarkan sejak Mac 1997.

“Sebelum ini, kawasan itu adalah restoran ikan bakar tetapi sudah dirobohkan dan menjadi kawasan lapang. Asalnya, sekitar tahun 1990-an, ia adalah sebuah rumah banglo dua tingkat.

“Tanah itu kini adalah hak milik persendirian tetapi tidak pasti siapa pemiliknya sekarang,”
kata Latiff Ismail, 70 tahun, ketika ditemui The Malaysian Insight.

Menurut beberapa penduduk yang ditemui, tanah tersebut merupakan tapak kempen bagi Barisan Nasional ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Selepas pilihan raya, tiada apa-apa lagi. Sebelum itu, cuma ada sebuah restoran ikan bakar.

“Kalau Yayasan Selangor ada (dengar), tapi Yayasan Akalbudi, memang tidak pernah dengar,”
jelas Rostam Baharuddin, 61.

Yayasan Akalbudi merupakan salah satu daripada empat syarikat yang terkait dengan 45 tuduhan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram ke atas Zahid.


Tuduhan-tuduhan yang melibatnya sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi hanya merupakan sepuluh tuduhan pertama, iaitu dakwaan pecah amanah wang berjumlah RM20 juta.

Namun semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati tidak banyak maklumat mengenai yayasan yang didakwa mengendali wang sebegitu besar itu.

Rekod di SSM sehingga 24 Ogos 2007 juga tidak menyatakan sebarang maklumat modal, pemegang syer, gadaian dan ringkasan penyata kewangan.

Yayasan itu juga tiada laman web rasmi dan tidak mempunyai akaun di laman sosial Facebook, Twitter atau Instagram.

Berdasarkan rekod SSM, tiga orang didaftarkan sebagai pengarah iaitu Ahmad Zahid dan dua lagi, Mohd Samsuri Tun dan Zulkifli Senteri. Seorang lagi individu, Idris Kechek didaftarkan sebagai setiausaha.

Rekod SSM menyebut, yayasan tersebut didaftarkan atas jenis perniagaan “menerima dan mengurus dana untuk program pembasmian kemiskinan”.

Sebelum penubuhan yayasan itu pada 1997, Ahmad Zahid merupakan ahli Parlimen Bagan Datuk sejak 1995 dan dipilih sebagai ketua Pemuda Umno pada 1996.

35 tuduhan lain ke atas Zahid melibatkan dakwaan menerima suapan lebih RM 42 juta, dan 27 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram yang kesemuanya mencecah RM114 juta.

Zahid mempertahankan bahawa dana Yayasan Akalbudi tidak pernah diseleweng.

Dakwaan siasatan pihak berkuasa ini timbul kerana ada salah faham akibat kesilapan pegawainya semasa membuat pembayaran kad kredit milik beliau dan isteri.

Beliau juga mendakwa masalah yang berbangkit daripada dana yayasan itu hanyalah kekeliruan.

Zahid juga mendakwa tindakan mengheret beliau ke mahkamah bermotifkan politik. - 21 Oktober 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...