Jumaat, 26 Oktober 2018

Lokman Adam Bangsatkan Dr Asyraf Wajdi Dusuki Kerana Minta Zahid Hamidi Bercuti Sebagai Presiden.

THE MALAYSIAN INSIGHT | PERGOLAKAN mula tercetus dalam Umno apabila Ahli Majlis Tertinggi Lokman Noor Adam secara terbuka mengecam Ketua Pemuda Dr Asyraf Wajdi Dusuki kerana meminta Presiden Ahmad Zahid Hamidi berehat sementara menunggu perbicaraan jenayah terhadapnya selesai.


Menjawab kenyataan Asyraf hari ini, Lokman berkata beliau kecewa dengan sayap Pemuda yang berani mencadangkan Zahid berehat daripada menjalankan tugas-tugas presiden sehingga perbicaraan 45 pertuduhan jenayah ke atasnya selesai.

“Pemuda Umno di bawah pimpinan Asyraf sepatutnya jadi kepala mempertahankan Islam, mempertahankan keistimewaan hak Melayu, mempertahankan agenda Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan mempertahankan Yang Di-Pertuan Agong, tapi malangnya hari ini, apabila presiden kita sudah ditindas, sudah ditekan oleh pemerintah oleh (Dr) Mahathir, tekanan, kita pula jadi bangsat, tekan dan minta presiden kita bercuti,” Lokman dalam sebuah video yang dimuatnaik di Facebook malam ini.

“Saya nak tanya agenda siapa ni, Asyraf? Apa yang kamu fikir, apa yang kamu nampak?”

Lokman juga berkata beliau bersedia meletak jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi untuk mencabar Asyraf dalam pemilihan semula ketua Pemuda.

“Saya cabar kamu untuk letak jawatan dan buat pemilihan semula. Saya akan letak jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi dan saya akan lawan kamu sebagai ketua Pemuda Umno,” kata Lokman lagi.

Lokman menjadi pembela kuat Najib sejak kejatuhan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan seringkali menggerakan ahli parti untuk menunjukkan sokongan apabila Najib disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan di mahkamah ketika dibicarakan.

Najib kini berdepan 38 pertuduhan kerana salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad serta dana kerajaan lain.

Zahid pula berdepan 45 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi dan menerima suapan projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Lokman yang kalah bertanding Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis itu juga berkata Asyraf “dibutakan dengan penipuan Pakatan Harapan” jika beliau tidak boleh melihat bagaimana Zahid dianiaya.

“Kalau ada pemimpin Umno yang masih lagi tidak boleh nampak bahawa apa yang dilakukan ke atas Najib (Razak) dan apa yang dituduh kepada Zahid, masih tak nampak ia masih penganiayaan, lebih baik bunuh diri, maksudnya ini metafora, jangan butakan mata.

“Malangnya, ketua Pemuda Umno yang sepatutnya hari ini duduk di barisan hadapan memperjuangkan nasib rakyat yang ditipu Pakatan Harapan.” - 25 Oktober 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...