Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 12 Julai 2018

Fahami Tugas Sebenar Ketua Hakim Negara Sebelum Melompat Macam Kera - Zulhazmi Shariff.

Oleh : Zulhazmi Shariff

TAHNIAH YANG AMAT ARIF TAN SRI RICHARD MALANJUM

Dilaporkan malam tadi Yang Amat Arif Tan Sri Richard Malanjum telah selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Hakim Negara di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

 
Gegak gempita alam Malaya dengan perlantikan YAA Tan Sri sebagai Ketua Hakim Negara yang baru menggantikan Tun Md Raus Shariff yang meletakkan jawatan.

Segala rekod YAA Tan Sri dikeluarkan dari kes Lina Joy dan sebagainya. Sentimen agama dan kaum dimainkan begitu kuat. Habislah Malaysia dan orang melayu serta Islam bila seorang berbangsa Kadazandusun bukan beragama Islam dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

Sudah Peguam Negara dilantik dari kalangan bukan Melayu dan bukan Islam, Menteri Undang-undang juga bukan Melayu dan bukan Islam, sekarang Ketua Hakim Negara pula bukan Melayu dan bukan Islam.

Kenapa dan untuk apa sentimen perkauman dan agama ini dimainkan seolah-olah dengan perlantikan-perlantikan ini semuanya akan terhakis.

Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Menteri Undang-undang ketiga-tiganya mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong sebagai warga negara Malaysia yang sah dan bersumpah untuk mempertahankan Malaysia dan Perlembagaan Malaysia.

Perkara 122B (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Ketua Hakim Negara hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Peruntukkan Perkara 122B (1) cukup jelas dan mudah. Ketua Hakim Negara hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Maksudnya yang melantik YAA Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara ialah Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong sejak yang pertama sehingga sekarang Sultan Muhammad V ialah seorang yang berbangsa Melayu bergama Islam. Malah Yang di-Pertuan Agong juga merupakan ketua agama Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri. Bermula Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra sehingga sekarang Tun Dr. Mahathir, semuanya berbangsa Melayu beragama Islam.

Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Bermula Merdeka sehingga sekarang Majlis Raja-Raja hanya dianggotai oleh Raja-Raja Melayu seluruh Malaysia yang semuanya berbangsa Melayu beragama Islam. Anggota Majlis Raja-Raja ini juga merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

Perlembagaan Persekutuan TIDAK mensyaratkan Ketua Hakim Negara hendaklah seorang berbangsa Melayu beragama Islam, tetapi Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan seseorang yang hendak dilantik sebagai Ketua Hakim Negara mestilah seorang warga negara Malaysia dan hendaklah bagi tempoh 10 tahun sebelum pelantikannya dia telah menjadi peguam bela bagi mahkamah-mahkamah itu atau mana-mana satu daripada mahkamah itu atau menjadi anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau perkhidmatan perundangan sesuatu Negeri, atau pada suatu masa menjadi peguam bela dan pada suatu masa lain berkhidmat sebagai anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau perkhidmatan perundangan sesuatu Negeri.

Mempertikaikan perlantikan YAA Tan Sri Richard sebenarnya dan secara tidak langsung mempertikaikan kewibawaan Majlis Raja-Raja yang meluluskan perlantikan tersebut.

Mana suara-suara yang kononnya mempertahankan Raja-Raja Melayu hari itu? Mana yang mencabar orang lain atas alasan kononnya pihak lain mencabar dan mencalarkan kehormatan Raja-Raja Melayu?

Tugas Ketua Hakim Negara bukannya menggubal undang-undang. Penggubalan undang-undang adalah tugas Parlimen Malaysia. Ketua Hakim Negara hanya bertanggungjawab menguruskan Badan Kehakiman Negara.

Pihak-pihak yang mengeluarkan rekod lampau YAA Tan Sri Richard dalam kes Lina Joy dan sebagainya kononnya keputusan tersebut bertentangan dengan maslahah Melayu Islam di Malaysia sebenarnya tidak faham apa fungsi Hakim dan Ketua Hakim Negara.

Sebelum hendak menyebarkan apa-apa dakyah, lebih baik kaji dahulu kesahihannya.

Ketua Hakim Negara tidak bersidang berseorangan. Ketua Hakim Negara walau pun mengetuai panel Hakim perbicaraan di Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai kuasa veto dalam membuat keputusan. Keputusan Mahkamah Persekutuan bukan berdasarkan kehendak seorang hakim tertentu tetapi berdasarkan peruntukkan undang-undang negara yang digubal yang ditafsirkan oleh hakim-hakim yang bersidang.

Kepada semua di luar sana. Fahami fungsi dan tanggungjawab sesuatu jawatan sebelum meloncat seperti kera makan belacan.

Bak kata Dato' M. Nasir...

Yo! berapa kali Abang M. Nasir
Nak bilang, nak ulang
Kalau nak tahu cerita
Mesti tahu tajuknya
Kalau tak faham, bertanya
Jangan hentam keromo
Nanti takut-takut salah tarik
Nak tarik ular lidi tertarik naga
Hitam campur putih memang kelabu

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...