Harga barangan dilihat kekal kerana penurunan harga hanya bermula dari 0.04 hingga 13 peratus dan melibatkan 70 peratus daripada 417 barangan basah, kering, keperluan bayi dan lain-lain, katanya dalam kenyataan itu.
“Sebenarnya kenaikan tidak berlaku tetapi jumlah penurunan harga barangan itu sangat kecil, ia tidak mencapai 30 hingga 40 peratus.
“Apabila kita semak aduan, terdapat dua kategori yang paling besar iaitu harga tidak berubah dan harga meningkat… daripada 10 aduan yang diterima lima daripadanya berkaitan makanan dan minuman di restoran, kedai makan serta medan selera,” katanya kepada Bernama, memetik laporan portal Malaysiakini pada khamis.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata harga makanan dan minuman turun di premis restoran makanan segera, namun tidak di restoran India Muslim atau kedai ‘mamak’ yang masih mengekalkan, malah ada yang menaikkan harga.
“Jumlah kedai mamak itu agak besar bilangannya sebanyak 10 ribu restoran dan pegawai KPDNHEP membandingkan harga dengan restoran makanan segera dan ia menunjukkan penurunan agak ketara di restoran makanan segera tetapi tidak di kedai mamak.
“Memang berlaku rampasan dan sebagainya tetapi pegawai kita ambil pendekatan memberi nasihat dan amaran agar tidak diulangi sebelum tindakan undang-undang diambil kerana kita tidak mahu menjejaskan mata pencarian sesiapa tetapi jangan memangsakan pengguna,” katanya lagi.
Sambil berkongsikan pautan berita itu, Najib berkata akhirnya Pakatan Harapan menyedari bahawanya GST bukan punca utama kenaikan harga barang.
"Terkejut saya pagi ini apabila membaca kenyataan Menteri Pakatan Harapan yang mengakui GST bukan sebab utama harga barang naik biarpun itulah modal dan tohmahan digunakan terhadap kerajaan sebelum pilihanraya.
Pada masa itu, PH tidak menerima jawapan kita malah mempersendakannya. Kini, Pakatan Harapan terpaksa menelan hakikat disebalik tuduhan mereka sendiri.
Oleh kerana harga barang tidak turun selepas GST disifarkan, saya bimbang apabila cukai SST diperkenalkan dan diperluaskan pada September nanti, harga barang akan naik lebih tinggi berbanding sebelum GST disifarkan," katanya dalam kenyataan itu.
Najib juga berkata, sistem percukaian yang diubah sesuka hati akan mengundang padah.
"Inilah bahaya apabila sistem cukai diubah sesuka hati dan BN pernah memberi amaran sebelum PRU14 mengenai ini.
Ini sudah tentu memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat dan ini bertentangan dengan janji Pakatan Harapan yang memberi setinggi harapan untuk menurunkan kos sara hidup rakyat dalam manifesto mereka.
Saya harap kerajaan PH akan buat sesuatu untuk memastikan kebimbangan ini tidak menjadi kenyataan," katanya lagi. - 13 Julai 2018.