Oleh : Najib Razak
Rekod saya sebagai seorang ahli politik membuktikan saya seorang demokrat. Saya percaya kepada proses yang adil, dan integriti mahkamah, perkhidmatan awam dan sistem keadilan jenayah kita.
Saya menerima kekalahan dan tidak campur tangan dalam proses pilihanraya. Peralihan kuasa kerajaan berlaku secara aman juga bukti kepada hakikat ini.
Saya tidak pernah membantah atau pun mencampuri sebarang siasatan. Rekod yang ada menunjukkan saya telah memberikan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.
Bagaimanapun, ada pihak yang terus menyebar dakyah politik. Pelbagai tuduhan dibuat terhadap saya dan bagaimana saya mengendali kabinet, reputasi saya dicemarkan dan jika kita berfikir secara rasional, terdapat banyak naratif yang tidak berasas, ekoran tiada bukti bagi mendokong naratif itu.
Seperti anda, saya hanya seorang rakyat negara ini yang tidak terkecuali dari hak tidak bersalah, akses kepada keadilan dan hak kepada perbicaraan yang adil dan telus.
Saya hormat keputusan yang telah dibuat oleh rakyat dan mandat yang diberikan kepada kerajaan baharu. Ia juga menjanjikan sistem demokrasi yang lebih meluas. Saya juga memegang kerajaan kepada janji yang telah dibuat.
Seperti yang anda maklum, saya telah ditahan pada Selasa lepas dan didakwa hari berikutnya. Ikat jamin diberikan oleh mahkamah pada hari sama adalah satu jumlah yang besar, RM1 juta melalui dua pembayaran.
Dua anak saya menjadi penjamin dan mematuhi perintah mahkamah. Pada Isnin lalu, hasil sokongan dari keluarga, rakan-rakan dan penyokong, saya dapat mematuhi syarat ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.
Ramai sedia maklum, akaun bank anak-anak dan cucu saya telah dibekukan tanpa sebarang notis selepas bayaran ikat jamin pertama dibuat pada Rabu lalu.
Mengapa anak-anak saya turut tertakluk kepada layanan seumpama itu sedangkan mereka bukan sebahagian dari sebarang transaksi malah tidak pernah menerima sebarang kontrak atau membuat urusan perniagaan dengan kerajaan?
Selain itu, ramai yang tidak tahu akaun peribadi saya juga dibekukan minggu lalu.
Akaun bank ini tidak mempunyai sebarang transaksi lain kerana ia digunakan untuk menerima gaji saya sebagai Ahli Parlimen dan pencen sebagai Menteri Besar Pahang selepas berkhidmat untuk kerajaan negeri dan persekutuan.
Pada pagi ini, saya difahamkan akaun anak-anak saya sudah lepas dari pembekuan dan ini menunjukkan tindakan pembekuan itu dibuat tanpa sebarang asas.
Bagaimanapun, akaun peribadi saya tetap dibekukan. Akaun ini tidak ada kena mengena dengan politik. Ia tidak ada kaitan dengan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.
Saya hanya menyedari akaun ini dibekukan apabila cek peribadi saya bagi pembayaran perubatan anak perempuan saya tidak diterima.
Tindakan agensi yang terbabit dan waktu mereka membekukan akaun saya dibuat adalah tidak wajar. Saya kecewa dengan tindakan ini, waktu ia dilakukan, yang saya anggap satu tindakan "draconian" atau menindas oleh kerajaan hari ini.
Mengapa kebebasan peribadi saya dinafikan setelah mahkamah membenarkan ikat jamin kepada saya sementara menunggu perbicaraan dan saya telah mematuhi syarat ikat jamin yang ditetapkan mahkamah?
Ada yang membuat spekulasi bahwa perintah pembekuan akaun ini dibuat bagi menafikan atau menghalang saya mendapatkan wang membayar ikat jamin, [ dan jika dilihat secara keseluruhannya, ia sekaligus menggambarkan niat buruk terhadap saya.
Pihak berkuasa perlu tahu saya adalah seorang rakyat biasa. Sebagai ketua keluarga, saya juga mempunyai bil untuk dibayar, bil perubatan untuk dijelaskan dan keluarga untuk dijaga. Tindakan pihak berkuasa membekukan akaun bank saya ini menyebabkan pelbagai kesukaran dan kepayahan untuk saya melaksanakan tanggungjawab ini.
Sebagaimana rakyat lain, saya berhak untuk mendapat kebebasan sehingga perbicaraan selesai. Saya memohon semua pihak berkaitan untuk berpegang kepada keluhuran undang-undang dan siasatan yang adil.
Jika kita tidak menghormati keluhuran undang-undang dan perlembagaan persekutuan, kita akan menjadi sebuah negara yang gagal.