Ahad, 8 Julai 2018

P. Ramasamy Melepas, MIC Bengang Apabila Mahathir Berkata Zakir Naik Tidak Akan Dihantar Balik Ke India..

Oleh : Malaysiakini

Ketua Pemuda MIC, C Sivarraajh mengkritik Pakatan Harapan (HARAPAN) terutama pemimpin mereka yang berketurunan India kerana gagal memastikan pendakwah Islam kontroversi, Dr Zakir Naik diusir pulang ke India.


 
"Inilah pemimpin India seperti (Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang) P Ramasamy, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan yang lain telah janjikan dan mereka konsisten menyalahkan BN, Umno dan MIC mengenai isu itu," katanya kepada Malaysiakini .

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu media bahawa Zakir yang telah diberikan status pemastautin tetap oleh kerajaan BN sebelum ini tidak akan dihantar pulang.

“Selagi beliau tidak menimbulkan masalah kita tidak akan hantar dia balik kerana beliau telah diberikan status pemastautin tetap,” katanya pada sidang media, di Putrajaya.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Ramasamy berkata perjanjian ekstradisi antara Putrajaya dan India mesti dihormati.

Zakir sedang diburu polis India kerana didakwa menghasut golongan muda untuk terlibat dalam kegiatan keganasan melalui ucapan-ucapan yang didakwa berunsur kebencian.

Sivarraajh, yang merupakan Anggota Parlimen Cameron Highlands mengingatkan pemimpin HARAPAN agar tidak menjadikan rakyat sebagai "tunggangan" mereka demi kepentingan politik.

"Pada masa depan, bila pemimpin HARAPAN ingin berjanji apa-apa, lebih baik periksa sama ada mereka boleh buat atau tidak. Jangan jadikan rakyat sebagai tunggangan untuk keuntungan politik kamu.

"Rakyat tidak mengundi BN kerana mereka menjangka HARAPAN akan mengotakan janji-janji mereka, tetapi adalah mengecewakan melihat mereka melanggar janji pilihan raya satu demi satu,"
kata Sivarraajh.

Walaupun HARAPAN tidak berjanji mengusir Zakir pulang ke India dalam manifesto pilihan raya mereka, namun terdapat sebilangan pemimpinnya yang telah membangkitkan isu itu.

Sebelum ini, Kula Segaran meminta kerajaan BN membatalkan status Penduduk Tetap terhadap Zakir kerana membuat ucapan berunsur kebencian.

"Dia telah banyak bercakap dengan ucapan kebencian di negara ini dan di tempat lain. Dia membandingkan satu agama dengan yang lain, dia mengkritik agama lain. Dia menyakitkan perasaan orang lain.

"Malaysia adalah negara berbilang kaum dan dia harus menghormati ini. Dia tidak boleh dibenarkan tinggal di sini. Ramai orang terpengaruh olehnya untuk terlibat dalam kegiatan pengganas.

"Dia harus dihantar pulang ke India untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram dan ucapan berunsur kebencian,"
katanya.

Pada April lalu, Sivarraajh mengkritik kerajaan BN kerana memberikan status Penduduk Tetap kepada Zakir dan mengatakan keistimewaan itu sepatutya diberikan kepada kaum India yang masih tidak mempunyai kewarganegaraan di negara ini. - 7 Julai 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...