Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 11 Julai 2018

Nik Abduh Ingatkan PH, Jangan Biarkan Bahasa Melayu Terancam.

Kenyataan Media

Oleh : Nik Abduh
Terang Rembulan (90)

Kekuatan Utama PAS


PAS adalah sebuah parti yang cukup kuat. Umurnya yang panjang menghampiri 70 tahun adalah bukti kekuatannya. UMNO yang lebih tua beberapa tahun dari PAS sudah pun rebah. PAS pula semakin gagah.

Itu adalah berdasarkan keputusan PRU14 baru-baru ini yang menyaksikan berakhirnya kekuasaan UMNO BN dalam politik negara. Gabungan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang hampir semuanya muda, walau bagaimanapun lebih kuat daripada PAS. Mereka mendapat undi dan sokongan rakyat yang jauh lebih besar.




Tetapi lebihnya kekuatan mereka itu bukan pula menandakan bahawa PAS semakin lemah. Bagaimana lemah? Bukankah PAS telah berjaya menguasai dua buah negeri, berbanding satu negeri pada pilihan raya sebelumnya, serta menambahkan lagi bilangan kerusi DUN di banyak negeri?

Perjuangan parti-parti politik belum pun tamat. Ia diukur daripada semasa ke semasa melalui pilihanraya, persembahan dan khidmat mereka kepada rakyat dan negara. Justeru kejayaan dan kekalahan bukanlah ukuran yang benar kepada hidup dan matinya parti-parti politik. Ia satu perjalanan sebuah perjuangan yang akan terhenti jua hanyalah apabila matlamat perjuangannya menjadi kabur dan tidak lagi relevan dalam kehidupan manusia.

Apatah lagi sebuah perjuangan Islam yang diusahakan oleh PAS. Ia amat berkait dengan janji kemenangan yang bersyarat dengan syarat-syarat yang ditanda oleh al Quran dan Sunnah Nabawiyah. Ia bukan sekadar cerita perjuangan politik. PAS adalah cerita sebuah perjuangan umat untuk kembali kepada agama dan keredhaan Allah melalui perlaksanaan tugas khilafah menegakkan ugama di muka bumi. Justeru umur PAS dan kelangsungannya bukanlah boleh diukur semudahnya melalui keputusan pilihan raya.

UMNO BN telah pun tumbang sesudah berpuluh tahun diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat Malaysia. Untuk kembali bangkit, ia bukanlah mudah. Mereka perlu memadamkan legasi mereka yang buruk itu dari jiwa dan ingatan rakyat yang telah remuk redam dengan kekecewaan dan penyesalan.

UMNO BN juga perlu mencerahkan kembali matlamat kewujudan dan kehadiran kembali mereka hari ini. Rakyat telah kabur. Mereka tidak lagi melihat UMNO sebagai parti perjuangan, bahkan sebagai parti perdagangan. Memburu kemenangan dan kekuasaan hanya demi wang dan kekayaan diri sendiri, bukan lagi demi rakyat atau negara atau agama. Justeru kena ada 'overhaul' enjin dalam parti UMNO. Terserahlah kepada mereka untuk menentukan sendiri. Masih ada masa dan jalan.

Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi hati rakyat dengan janji dan manifesto yang mereka hidangkan sebelum dan sepanjang kempen pilihan raya. Mereka menjanjikan sebuah Malaysia Baharu yang akan membina kembali negara yang telah rosak akibat pemerintahan UMNO BN. Janji itu begitu mempesonakan. Akhirnya tsunami undi rakyat memihak kepada mereka.

Ketika UMNO kini sedang meratapi kekalahan mereka dan berusaha merawatinya secepat mungkin, PH pula sedang bertungkus lumus mengemudi negara dengan segala usaha bagi menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat. Ia masih baru. Ada pujian dan ada kritikan. Hujungnya nanti, nasib mereka adalah bergantung kepada keupayaan mereka membenarkan apa yang mereka janjikan. Negara mesti dipulihkan kepada kesejahteraan hidup rakyat.

Selain janji-janji yang mesti dikotakan, PH juga amat perlu mengawal kerosakan atau menahan kehadiran anasir tidak sihat yang tidak pun pernah terjadi semasa pemerintahan UMNO dahulu. Agama Islam mesti jangan semakin terancam. Bahasa Melayu mesti jangan semakin terancam. Kedudukan Raja-Raja Melayu mestilah kekal utuh bersama tiang-tiang seri pembinaan negara selepas kemerdekaan dahulu.

Pendek kata, cabaran PH adalah jauh lebih besar berbanding UMNO hari ini. Rakyat sedang melihat PH, bukan UMNO lagi. UMNO akan kembali dilihat hanyalah selepas mereka pulih dan berperanan dengan baik sebagai parti pembangkang bersama PAS dan parti-parti yang lain.

PAS pula sudah pasti berhadapan isu yang sama. Walaupun sokongan rakyat tidak sebesar yang diraih PH, PAS turut memenangi hati rakyat. Tiada penolakan kecuali keputusan majoriti rakyat untuk menyatukan sokongan dan undi mereka kepada PH demi menjatuhkan BN. Fenomena tolak BN ini turut juga membantu PAS di negeri-negeri Pantai Timur yang dimenanginya. Ertinya, PAS kekal berperanan dan tetap diyakini kemampuannya dalam politik negara.

Justeru adalah amat penting bagi PAS untuk melangkah lebih gagah bermula hari ini sebagai satu alternatif dan kerajaan pilihan sekiranya PH gagal melaksanakan harapan rakyat melalui perlaksanaan janji mereka selepas berjaya membentuk kerajaan baharu melalui kuasa undi rakyat. Jika tidak, negara akan terus berpusing pada tempat yang sama dan mengulangi kesalahan yang sama walaupun telah bertukar kerajaan.

Penampilan PAS dalam politik negara adalah dengan keistimewaannya yang tersendiri. Jika keistimewaan ini berjaya ditonjolkan melalui kefahaman yang jelas dan contoh perlaksanaan yang nyata di mata rakyat, adalah tidak sukar untuk kita melihat sokongan rakyat kepada PAS akan bertambah kuat.

Analisis awal selepas PRU14 menunjukkan kegagalan PAS menyaingi kekuatan PH di dalam menguasai media dan penerangan. Ia menjadikan mesej perjuangan PAS tidak sampai atau sering disalahertikan melalui propaganda jahat musuh yang siang malam berusaha memadamkan cahaya kesejahteraan dan keadilan yang diperjuangkan oleh PAS. Adalah amat dikhuatiri jika tidak diatasi dengan baik, PAS akan mengalami nasib yang serupa pada masa akan datang.

Keistimewaan PAS yang paling utama adalah jenama Islam yang menjadi matlamat perjuangannya. Ia jika dikaburkan akan pasti menjadi kecelakaan yang paling utama ke atas PAS. Justeru walau apa pun keadaan, adalah amat penting, Islam kekal menjadi laungan kuat PAS sebagai pilihan terbaik untuk rakyat dan negara demi kesejahteraan dunia dan akhirat.

Ada kritikan di sana sini yang menyatakan sebaliknya. Bagi mereka, PAS akan berhadapan kesukaran jika terlalu menonjolkan Islam kerana tidak semua rakyat memahami atau menyokong perjuangan Islam yang terlalu 'pekat'. PAS bagi mereka perlu lebih menerima kehadiran pemain-pemain politik lain yang jelas menolak Islam jika mahu mendapat lebih sokongan rakyat dan menjadi sebahagian daripada pemerintah di Putrajaya.

Hakikatnya mereka gagal memahami tiga perkara utama. Pertama, di sisi PAS yang menjadikan Islam sebagai manhaj perjuangannya, adalah menjadi satu dosa besar jika Islam dijadikan bahan dagangan demi mencapai matlamat politik. Islam adalah dasar perjuangan yang landasannya telah tetap dan tidak mungkin dikompromikan dengan sebarang isme pemikiran manusia yang bercanggah dan menuntut Islam diketepikan. Ia adalah kekalahan yang jauh lebih mengerikan berbanding kekalahan di dalam pilihan raya.

Justeru meninggalkan Islam dan jihad menegakkannya sebagai prinsip perjuangan semata-mata mengintai dan mengharapkan kejayaan yang cepat adalah satu larangan besar dalam misi perjuangan PAS. Perjuangan mestilah benar dan tidak boleh dicampur-adukkan sehingga menimbulkan fitnah terhadap agama.

Kedua, PAS tidak pernah menutup pintu untuk semua. Persefahaman politik di antara PAS dan rakan politik lain sentiasa berlaku. Adalah tidak adil bahawa PAS lah yang dihukum salah setiap kali perpecahan dalam persefahaman politik berlaku. Jika dikaji dengan insaf sejarah PAS dalam persefahamannya dengan parti-parti lain, berlakunya perpecahan adalah akibat tiada lagi penghormatan parti-parti lain terhadap dasar perjuangan PAS, sedangkan di atas lantai itulah persefahaman awal dibina.

Justeru desakan untuk mencari dan menambah rakan perjuangan bersama tidak boleh sama sekali sehingga menyebabkan PAS berkompromi dalam dasar perjuangannya. Islam mestilah jelas sejelasnya.

Ketiga, apa lagi yang boleh dibanggakan jika PAS meninggalkan dasar dan prinsip perjuangannya demi meraih sokongan undi lebih besar. Adakah dengan meninggalkan Islam sebagai nadi dan matlamat perjuangannya, PAS mampu memberi sesuatu yang istimewa untuk rakyat? Jawabannya, PAS, BN dan PH tiada bezanya. Rakyat akan dipusing pada pusingan yang sama tanpa Islam yang menerajui pemerintahan.

Ia pasti berakhir dengan putus asa, kebencian dan kemarahan oleh rakyat ke atas pemerintah yang gagal. Adakah umat Islam masih beriman dan memilih penyelesaian politik dengan sistem pemerintahan selain Islam? Bukankah itu satu kesalahan agama yang nyata?

Maka amatlah sayugia disedari oleh jentera utama PAS dan jentera sokongannya bahawa jika mereka mahu melihat PAS terus unggul pada masa akan datang, maka perkukuhkanlah keyakinan mereka dengan Islam sebagai cara hidup terbaik untuk negara. Kemudian, gerakkan seluruh kekuatan untuk mempromosikannya dengan sebaik-baik cara.

Ia adalah dengan program pengilmuan rakyat, ketrampilan para pemimpin dan ulamaknya, keutuhan jentera parti di semua peringkat, jaringan sosial yang lebih luas, pengupayaan sistem penyampaian dan segala cara dan senjata yang mampu dan berjaya menangkis segala serangan jahat yang dihalakan ke atas PAS.

Selepas Islam semakin mengukuh di hati para pejuang PAS, maka berjalanlah di medan perjuangan. Di situ Allah memberkati kita, insya Allah.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...