Sabtu, 14 Julai 2018

Reman Bekas Pegawai Khas Rosmah, Rizal Mansor Disambung 2 Hari.

Oleh : Bernama

Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan tempoh reman seorang pegawai khas kepada isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, disambung 2 hari mulai esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Majistret, Shah Wira Abdul Halim membenarkan tahanan reman itu dilanjutkan sehingga Ahad selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan.

Lelaki berusia 44 tahun bergelar “Datuk” itu sebelum ini direman 4 hari sejak Selasa sehingga hari ini.

Beliau ditahan pada Isnin lalu selepas dipanggil ke ibu pejabat SPRM di sini bagi memberi keterangan.

Beliau yang berpakaian lokap SPRM berwarna oren dibawa ke Mahkamah Majistret kira-kira 10.50 pagi sebelum dibawa keluar pada 12.15 tengah hari, selepas prosiding berakhir.




Peguamnya, Ridha Abdah Subri turut hadir di mahkamah hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita mendakwa bekas pemimpin tertinggi negara menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan Kementerian Pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu.

SPRM sebelum ini menahan 3 individu, termasuk seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan berkaitan projek itu.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...