Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 10 Julai 2018

Bila Masa Kami Halang DUKE Berceramah? - PH Perak.

Oleh : Sinar Harian

Kerajaan Perak tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan menghalang mana-mana tokoh penceramah agama daripada menerima jemputan berceramah di masjid dan surau di negeri itu.




Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, pihaknya menegaskan pengurusan jawatankuasa kariah masjid dan surau di seluruh Perak masih lagi berfungsi di bawah lantikan kerajaan terdahulu.

Menurutnya, sekiranya terdapat pihak tertentu merasakan mereka kurang menerima jemputan berceramah oleh pihak masjid dan surau, mereka perlu mendapatkan maklum balas punca keadaan itu daripada pengurusan institusi agama itu sendiri.

“Bila masa kerajaan negeri baharu keluar arahan halang mana-mana tokoh agama berceramah di masjid dan surau di negeri ini?

“Kalau ada pihak rasa kurang terima jemputan (berceramah), kena tanya pengurusan masjid dan surau sebab apa?,”
katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta penjelasan susulan kenyataan abang kepada tokoh penceramah terkemuka, Datuk Mohd Najmuddin Elias mendakwa tindakan Datuk Mohd Kazim Elias menjual sebahagian Kompleks Al Barakah, Manjoi di sini akibat kekangan kewangan setelah kurang menerima jemputan berceramah agama.

Menurutnya, masalah kekurangan jemputan berceramah agama dialami Mohd Kazim dipercayai disebabkan faktor perbezaan politik apabila tokoh agama terkemuka itu sebelum ini dilihat cenderung kerajaan BN.

Mengenai isu cadangan Mohd Kazim ingin menjual sebahagian Kompleks Al Barakah, Asmuni menegaskan pihaknya tidak tahu menahu mengenainya.

Menurutnya, pihaknya ada mendengar khabar angin mengenai isu itu sebelum ini, namun sehingga kini tiada pihak tampil memaklumkannya secara terus.

“Sehingga kini, saya juga tidak tahu bagaimana proses perjalanan pentadbiran kompleks pendidikan agama itu kerana pengurusan sekolah tidak pernah hadir bersemuka.

“Terpulang kepada mereka, sekiranya mereka memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri, mereka boleh berjumpa secara terus dengan saya atau Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk).

“Cuma, saya minta biarlah pihak pengurusan kompleks pendidikan itu sendiri hadir berurusan dengan saya dan bukan hantar wakil sahaja,”
katanya.

Asmuni turut menerangkan mana-mana pusat tahfiz yang bermasalah boleh berjumpa dengan kerajaan negeri dan majlis agama Islam negeri bagi untuk memaklumkan permasalahan dihadapi.

“Selepas itu, barulah kita boleh fikirkan kaedah terbaik membantu mereka.

“Bagi pusat tahfiz yang beroperasi dengan baik, jalankan seperti sediakala kerana kerajaan negeri baharu tiada masalah dengannya,”
katanya.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...