DAP sebelum ini dilaporkan telah menubuhkan 7 cawangan baru di Kelantan, satu perkembangan yang positif buat parti itu memetik kenyataan Pengerusi DAP Kelantan, Chua Chin Hui.
"TV3 datang menemuramah saya tadi, isu DAP mahu menambahkan cawangan di Kelantan.
Respon saya, kita alu-alukan. Sampai masanya DAP sendiri datang ke Kelantan untuk bertanding, tidak perlu lagi bergantung dengan rakan-rakan dalam PH yang telah gagal dalam PRU14 yang lepas.
Dan kita berdepan atas pentas demokrasi di dalam PRU akan datang. Saya katakan, selamat datang," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga berkata langkah DAP menambah cawangan di Kelantan juga tepat kerana sedia maklum masyarakat bukan Melayu di negeri ini memberi sokongan penuh kepada mereka, namun parti itu pula tidak bertanding di Kelantan.
"Rakan Pakatan Harapan (PH) yang lain sudah jelas gagal pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bahkan ada yang hilang deposit di negeri. Justeru, ini adalah masa DAP turun sendiri untuk melebarkan sayap dan bertanding menggunakan nama mereka pada PRU akan datang.
"Kalau ikut ramalan DAP, PAS sudah kalah di negeri ini dan tidak akan menang walaupun satu kerusi, namun sebaliknya berlaku apabila realitinya PAS bukan saja dapat menambah kemenangan di Kelantan, bahkan berjaya menawan Terengganu.
"Tidak menjadi masalah (penambahan ahli DAP di kalangan orang Melayu), kerana kita tahu sokongan rakyat Kelantan sebenarnya terhadap PAS," katanya lagi. - 10 Julai 2018.