Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 31 Julai 2018

Ketua Pemuda UMNO Minta MyBrain Diteruskan.

Kenyataan Media

MYBRAIN WAJAR DITERUSKAN


1. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kecewa dengan kenyataan YB Menteri Pendidikan bahawa program MyBrain ditangguhkan pada tahun ini. MyBrain adalah sebuah pelaburan jangka panjang negara yang dilancarkan sejak 2009 untuk melahirkan lebih ramai anak muda memegang ijazah PhD dan Sarjana demi kecemerlangan modal insan negara masa depan.

 
2. Adalah lebih mengecewakan apabila YB Menteri Pendidikan sebagaimana pendekatannya sebelum ini mengambil jalan mudah menyalahkan Kerajaan Barisan Nasional dahulu seolah-olah hanya ‘political gesture’ menjelang Pilihanraya Umum yang lalu.

3. Saya tidak mahu menyalahkan YB Menteri kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana mungkin dalam dua bulan ini, YB Menteri dan pasukan pegawainya masih terlalu baru dan dalam proses memahami kaedah operasi perbendaharan dan urusan kewangan negara melibatkan perlaksanaan satu-satu dasar.

4. Untuk makluman YB Menteri, peruntukan MyBrain sudahpun dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-11 yang diluluskan pada tahun 2015. Sejumlah RM500 juta telah diperuntukan bagi tahun 2015-2020 oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dibawah program sektor sosial.

5. Jika dirujuk Bajet 2018 yang diluluskan dalam Sidang Parlimen Oktober 2017 lalu, Kerajaan sebelum ini telahpun memperuntukkan Belanja Pembangunan bagi program MyBrain berjumlah RM90 juta untuk 10,600 penerima. Oleh itu, dakwaan bahawa kos MyBrain adalah melebihi RM600 juta tidak tepat dan mengelirukan kerana bukan semuanya diperuntukkan untuk satu tahun tetapi merentasi beberapa tahun keseluruhannya. Malah menangguhkannya juga bertentangan dengan kelulusan Bajet yang telah dibuat di Parlimen.

6. Adalah menjadi amalan biasa bagi Kementerian Pelaksana seperti Kementerian Pendidikan untuk memanjangkan permohonan peruntukan kepada EPU dan Kementerian Kewangan bagi maksud pembiayaan projek yang telah diluluskan di bawah Bajet tahun yang berkenaan berasas
an apa yang telah dipersetujui dalam RMK11.

7. Mustahil kerajaan tidak ada wang sebagaimana yang diperuntukkan Bajet yang lepas kerana setiap item perbelanjaan diperbahaskan dan diluluskan di Parlimen berasaskan perolehan yang dibentangkan bersama.

8. Lagipun Kerajaan PH yang baru juga telah membatalkan banyak program-program yang dirangka oleh Kerajaan BN sebelum ini malah berjaya menerbitkan bon-bon baru berjumlah RM22.5 billion pada bulan Mei 2018.

9. Justeru, ini bukan isu tiada peruntukkan sebagaimana yang dikhabarkan pada rakyat kerana tampak Kerajaan mempunyai sumber yang mencukupi. YB Menteri hanya perlu memohon penyaluran peruntukan MyBrain sebagaimana yang sudah diperuntukkan dalam Bajet 2018.

10. Untuk makluman YB Menteri, pada tahun 2016 ketika keadaan ekonomi merudum, Kementerian Pendidikan Tinggi telah menambah jumlah Biasiswa sarjana MyBrain agar rakyat Malaysia yang terkesan berpeluang melanjutkan pengajian mereka demi meningkatkan kelayakan sekaligus peluang mendapat pekerjaan.

11. Sekiranya benar sekalipun tiada peruntukan bagi program ini, Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan agar Kerajaan dapat memanfaatkan sebahagian daripada kutipan Tabung Harapan Malaysia yang setakat hari ini telah berjaya mengumpulkan lebih RM166 juta.

12. Saya percaya Tabung Harapan ini lebih bermanfaat untuk digunakan bagi tujuan melabur dalam sektor pendidikan membangunkan generasi masa depan negara, berbanding untuk membayar hutang negara yang telah terbukti tidak akan sesekali berkurangan malah bertambah sebagaimana inisiatif terbaru Kerajaan dalam penerbitan bon-bon dan sukuk baru bulan lepas.

*Dr. Asyraf Wajdi Dusuki*
*Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia*
31 Julai 2018.

Kenapa Asyik Kaitkan Orang Islam Dengan Perkahwinan Kanak-Kanak Hannah?

Oleh : Kiridaren Jayakumar

Sebagai seorang yang melawan fasisme atau supremasi identiti sosial, saya amat berdukacita untuk melihat sebuah kerajaan yang berasaskan liberal democrat seperti PH memainkan pelbagai isu-isu sensitif yang mungkin mereka boleh berfikir dahulu. 


Mungkin ini adalah salah akbhar untuk mensensasikan isu ini dan mengaut untung dengan clicks. Jika salah akhbar, mereka perlu didenda atau diberi amaran.

 
Saya amat menentang kes paedophilia dan kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa tetapi dikahwinkan. Kita boleh tanya seorang doktor gynaecologist (doktor sakit puan), psychologist( pakar psikologi), teacher(guru) dan sebagainya untuk memberi bukti tekanan kepada kanak-kanak.

Kita sepatutnya melawan isu kanak-kanak dikahwinkan usia muda secara umur dan kanak-kanak MALAYSIA. Walaupun pelbagai hujah agama boleh dibawa, isu ini adalah isu nafsu lelaki yang memikirkan kanak-kanak defenseless(tiada pertahanan) atau mangsa mudah. Tidak perlu kita fikir perkahwinan ini dapat membebaskan mereka daripada kemiskinan, boleh dijadikan anak angkat.

Sebagai seorang yang amat cenderung kepada sosiologi, identiti etnik atau agama masyarakat kajian memang diambil. Tetapi, kita boleh mengumumkan dalam berita sebagai kadar pedalaman amat tinggi, kadar Sabah dan Sarawak amat tinggi dan sebagainya.

Kita harus memikirkan sebagai isu kanak-kanak Malaysia, perlu membawa perkiraan kanak-kanak berbilang bangsa dan agama tanpa diskriminasi.

Sebagai ex-speaker dan ahli politik tertinggi pembangkang , saya amat sedih dan kecewa bagaimana kita menyuburkan dan membina asas untuk fasisme dan pergelutan agama dan bangsa di pertahanan integrasi negara kita yang sedang diserangi dari dalam oleh pelbagai pihak yang tidak berfikir inklusif. Jika ahli politik yang bijaksana berbuat begini, apakah Harapan kita?

Harap bertenang dan kita perlu mengingatkan mereka untuk berfikir sebagai semuanya sama, tidak perlu ada selection(pemilihan) of etnik, agama atau identiti sosial lain.

Jom kita rakyat Malaysia banteras isu kanak-kanak dikahwini awal ,grooming atau rape.

Boleh baca di bawah : https://www.themalaysianinsight.com/s/82680

Pensyarah UKM Kata Reformasi Kini Dah Mati Dan Digantikan Dengan Neo - Mahathirisme.

Oleh : Abdul Muein Abadi (Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)).

ISU KHAZANAH NASIONAL DAN PROJEK KERETA KETIGA: MATINYA REFORMASI DIGANTI NEO-MAHATHIRISME.

1. Apa dah jadi dengan kerajaan Pakatan Harapan? Mengapa terang-terangan sekali individu tertentu ‘membolot’ posisi utama dalam sektor ekonomi politik negara? Apa guna Perdana Menteri tidak menjadi Menteri Kewangan jika Khazanah Nasional tetap dalam genggaman beliau? Di mana janji Reformasi institusi yang diperjuangkan? Adakah ‘Neo-Mahathirisme’ sudah mengalahkan ‘Reformasi’?


2. Terbaru Khazanah Nasional akhirnya sekali lagi dipengerusikan Tun Mahathir sendiri – beberapa hari selepas ia kehilangan RM2 bilion dalam satu malam. Langkah ini bertentangan sama sekali dengan semangat tiga janji dalam Manifesto Pakatan iaitu: “Kuasa Perdana Menteri untuk memanipulasi institusi penting negara juga akan dihapuskan” (Manifesto Halaman 49), “pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan professional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka” (Manifesto Halaman 70), dan juga “Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya jawatan Menteri Kewangan” (Manifesto halaman 48).

3. Benar Tun Mahathir tidak menjadi Menteri Kewangan, namun Reformasi pemisahan jawatan Perdana Menteri dengan Menteri Kewangan tiada gunanya apabila beliau sendiri hari ini mempengerusikan Khazanah Nasional.

4. Benar dalam kes Khazanah ini ada beza antara Syarikat milik Kerajaan (GLC) dengan Syarikat Pelaburan Milik Kerajaan (GLIC). Benar bahawa Khazanah ialah GLIC dan bukannya GLC. Dan benar juga bahawa Manifesto Pakatan menyatakan bahawa ahli lembaga Pengarah GLC yang akan dilantik dalam kalangan professional, bukannya GLIC. Namun GLIC seperti Khazanah sebenarnya berkuasa dalam menentukan pelaburan GLC-GLC ini disebabkan kawalan pengurusan dan pemilikan mereka.

5. Jelas bahawa hakikatnya semangat ‘Reformasi Institusi’ kini hanya tinggal slogan apabila berlakunya siri ‘pembolotan’ jawatan ini – termasuklah jawatan Pengarah GLIC yang turut diberi kepada seorang Menteri yang juga merupakan Timbalan Presiden sebuah parti politik.

6. YB Azmin Ali iaitu Timbalan Presiden parti PKR merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi dilantik menjadi Pengarah Khazanah, bersama-sama dengan seorang lagi tokoh yang rapat dengan Tun Mahathir iaitu Tan Sri Hassan Marican. Tan Sri Hassan Marican juga dalam masa yang sama ialah ahli Majlis Penasihat Kerajaan dan dijangka bakal menjadi Pengerusi Petronas.

7. Sebelum ini, seorang lagi ahli Majlis Penasihat Kerajaan iaitu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bukan hanya dilantik menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB), bahkan juga Pengerusi Sime Darby Property Berhad. Begitu juga dengan Tun Daim yang menjadi utusan khas ke China, mengatasi Menteri Luar dan Menteri Kewangan.

8. Pelantikan ini telah segera menimbulkan persoalan tentang sejauh mana agenda ‘Reformasi’ masih hidup dalam kerajaan Pakatan hari ini? Mengapa sebaliknya petanda gejala membolot posisi tertentu kepada individu tertentu makin ketara? Perlu diingat bahawa Reformasi institusi adalah antara Teras utama dalam Manifesto Pakatan. Namun berdasarkan realiti percaturan politik semasa, sebenarnya boleh dikatakan bahawa agenda ‘Reformasi’ telah diserap ke dalam kelahiran satu fenomena baharu yang penulis istilahkan sebagai ‘Neo-Mahathirisme’.

9. Apa itu ‘Neo-Mahathirisme’? Penulis mendefinisikan Neo-Mahathirisme sebagai praktik atau amalan ‘Mahathirisme’ lama yang dilunakkan sedikit dengan agenda Reformasi. Akibatnya, di bawah Noe-Mahathirisme, ada sesetengah hal di mana Mahathirisme yang lama itu tunduk kepada agenda Reformasi – seperti media yang dibenarkan terbuka, pelantikan jawatan yang tidak lagi eksklusif kepada orang Melayu, tiada lagi parti dominan seperti UMNO, dan sokongan kepada penghapusan akta-akta yang dikatakan drakonian dan menindas.

10. Namun pada sisi yang lain, Neo-Mahathirisme ini masih mengekalkan praktik lama Mahathirisme seperti penguasaan sekelompok elit ke atas sektor ekonomi politik, pelaksanaan ideologi ekonomi ‘Neoliberal’ yang diadun dengan projek berskala nasional, serta ketinggian Nilai Asia dalam mengadaptasi kemajuan teknologi Barat untuk pembangunan negara (contohnya Dasar Pandang ke Timur).

11. Akibatnya, berlakulah pemusatan kuasa dan monopoli kedudukan oleh elit tertentu meski pun dalam Era Malaysia Baharu. Tidak menghairankan sama sekali apabila Tun Mahathir beria-ia untuk mewujudkan projek kereta nasional ketiga (disebut-sebut sebagai Perotiga), tanpa mempedulikan bantahan suara rakyat yang seharusnya menjadi tonggak ‘Reformasi’.

12. Malah, keputusan pelantikan Pengerusi dan Pengarah Khazanah ini dibuat tidak lama selepas seorang lagi ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Jomo Kwame Sundaram membuat kenyataan bahawa projek kereta nasional ketiga yang diimpikan Tun Mahathir perlu diberi pertimbangan. Sejarah membuktikan bahawa ada kaitan yang cukup rapat antara Khazanah di bawah teraju Tun Mahathir dengan projek berkaitan kereta.

13. Perlu diingat bahawa apabila Khazanah diwujudkan pada September 1993 oleh Tun Dr. Mahahthir, antara usahasama (joint-venture) pertama Khazanah ialah projek kereta yang melibatkan Jepun dan China. Seperti mana laporan Business Times (8 April 1994), Khazanah menjadi sandaran Tun Mahathir untuk melabur di negara sedang meningkat naik ketika itu – China dan Jepun. Rujuk karya Sarjana Universiti Malaya, Prof Edmund Terence Gomez bertajuk ‘Minister of Finance Incorporated: Ownership and Control of Corporate Malaysia’ halaman 37-47.

14. Secara khusus, pelaburan Khazanah ketika itu adalah melibatkan pengeluaran dan pengedaran produk berkaitan kereta di Beijing yang diusahakan oleh sebuah syarikat Jepun iaitu Mitsubishi Corp dengan tiga syarikat milik kerajaan China iaitu China North Industrial Group, China Aerospace Corp, dan Aviation Industries of China (The Straits Times 10 Jun 1994).

15. Kini selepas 25 tahun, modus operandi Tun Mahathir kelihatan seolah-olah cuba mengulangi kembali kisah usahasama Khazanah-projek kereta seperti pada 1993. Malah, pada tahun 1993 juga Tun Mahathir mengetuai delegasi besar-besaran Malaysia ke China dengan separuh daripadanya terdiri daripada ahli perniagaan. Dirancang atau sekadar kebetulan, Tun Mahathir kini bukan sahaja kembali menerajui Khazanah dan mengusulkan projek kereta nasional ketiga (ketika di Jepun dan Indonesia), malah beliau juga akan melawat China pada Ogos ini.

16. Selain daripada rangkaian tiga segi Khazanah-Projek kereta-China/Jepun ini, fenomena ‘Neo-Mahathirisme’ juga boleh dikesan berlegar dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya di Selangor dan dikatakan didominasi oleh ‘kem Azmin’. Pencabar jawatan Timbalan Presiden PKR iaitu Rafizi Ramli pula dikatakan masih teguh dengan ideal ‘Reformasi’. Terkini, bekas setiausaha AMK PKR Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman mendedahkan betapa Selangor kini yang dikuasai Kem Azmin mengamalkan “kronisme dan nepotisme" (https://m.malaysiakini.com/news/436576). Kenyataan beliau turut disokong dua lagi pemimpin peringkat cabang PKR bagi kawasan Sepang, dengan Pemangku ketua Pemuda PKR cabang Sabak Bernam Abdul Mutalib Ahmad turut meletak jawatan sebagai solidariti dengan rakan-rakan AMK yang menentang “kronisme dan nepotisme”.

17. Maka tidak hairanlah apabila kem Rafizi Ramli menggunakan slogan ‘Reformasi 2.0’ kerana ‘Reformasi’ yang asal seolah-olah telah mati diganti Neo-Mahathirisme pasca PRU-14. Ringkasnya, pertembungan Rafizi Ramli menentang Azmin Ali dalam Pemilihan PKR 2018 ini bakal menjadi penentu: adakah legasi Neo-Mahathirisme akan menguasai PKR? Ataukah Reformis di bawah slogan Reformasi 2.0 akan berjaya menghalang rangkaian Neo-Mahathirisme daripada terus mara? Bahkan peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Kelapan juga berkemungkinan bergantung pada keputusan pemilihan ini.

Sama-sama kita nantikan.

Sementara itu, regu Tun Mahathir-Azmin Ali terus berada di tampuk kuasa dengan praktik Neo-Mahathirisme yang baru sahaja bermula, persis regu Tun Mahathir-Anwar Ibrahim sewaktu era Mahathirisme dahulu.

Isnin, 30 Julai 2018

Netizen Sekolahkan Zuraidah Yang Beria-Ria Puji Singapura Bina Rumah Guna Teknologi Precast.

Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin menjadi sasaran kritikan netizens berikutan tidak tahu mengenai perkembangan teknologi precast di Malaysia.

"Pagi ini saya berpeluang mengadakan perbincangan dengan kumpulan Institut Kajian & Binaan HDB di ibu pejabatnya, Woodland.

Begitu majunya mereka, bahkan kini membina rumah menggunakan teknologi precast, lebih kurang macam konsep blok-blok LEGO. Mengagumkan!," tulis Zuraidah dalam satu kenyataan di Twitternya pada isnin.

Kenyataan Zuraidah itu kemudiannya ditangkaplayar dan disebarkan di beberapa platform media sosial dan rata-rata netizens mempersendakan menteri tersebut kerana begitu 'keterbelakangan, kuno dan ketinggalan zaman' dalam perkembangan teknologi pembinaan di Malaysia. 

Zuraidah juga turut dikritik secara langsung oleh pengguna Twitter di kicauan tersebut. Bagaimanapun Zuraidah tidak berdiam diri sebaliknya membalas komen-komen tersebut dengan : "no harm to revisit", berulang kali.

Antara pihak yang mengkritik Zuraidah adalah seorang netizen yang dikenali sebagai Ali Abu. Dan berikut adalah penulisan dari beliau;

Oleh : Ali Abu

Zuraida, kau sini jap!





Sebagai Menteri di Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan, kenyataannya di sosial medianya itu amat memalukan. Memuji Singapore walhal Malaysia sudah lamo melakukan teknologi IBS dalam bab precast sejak tahun 2008 lagi. Buku yang diterbitkan oleh CIDB ini sebagai bukti. CIDB adolah agensi di bawah Kementerian Kerjaraya. Apo salah ey pi talipon Baru Bian (Menteri Kerjaraya yang baharu) untuk belajar teknologi precast ini secara percumo.

Tak perlu membazir duit rakyat pi belajar teknologi ini di Singapore. Kata Malaysia banyak hutang tapi apsal membazir duit pi belajar di Singapore walhal teknologi yang mahu dipelajari sudah establish lamo di negara sendiri.






 
Buku CIDB ini diterbitkan pado tahun 2016. Kau bole tengok bulat merah kata daripado KSU sebagai bukti. Buku ini akan tunjuk 74 projek di seluruh negara yang menggunokan teknologi IBS dalam area tahun 2008 sampailah tahun 2013.

Apokah itu IBS? IBS ialah Industrialised Building System. IBS terdiri daripado 6 jenis. Iaitu :

1) Precast Concrete System

2) Blockwork System

3) Steel Framing System

4) Timber Framing System

5) Formwork System

6) Innovative System


Banyak projek yang melibatkan tender kerajaan di bawah pentadbiran Najib dulu memang pakai teknologi IBS. Sobab apo nak sangat pakai teknologi IBS ni bro? Ado 2 sobab utamo. Murah dan ianya copek siap. Pasal rasuah nak dapatkan tender kerajaan bagai, silo tanyo SPRM. Jangan tanyo den.

Oleh kerana Zuraida kagum dengan teknologi precast dari Singapore, mako den tunjukkan teknologi precast yang berjayo dibino kek Malaysia. Malah gambar terakhir den tunjuk gambar Balai Bomba dibino pakai teknologi precast yang berado di dalam kawalan kementeriannya sendiri. Wei, tak rasa malu ke?









Bukan sonang nak jadi Menteri. Ye tahu. Tapi setidak-tidaknya rajin-rajinlah buat homework bro. Kalau buat homework hari tu, tak payah nak membazir kos duit rakyat poie belajar kek Singapore. Parahlah rakyat bilo dapek Menteri pemaleh macam Zuraida. Huhuhu... - 30 Julai 2018.

Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam - Inisiatif Yang Baik Daripada Majlis Raja-Raja Melayu.

Kenyataan Media.

Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam - Inisiatif Yang Baik Daripada Majlis Raja-Raja Melayu.


 
1. Saya mengambil maklum kenyataan media daripada Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu berkenaan penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Insitusi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan.

2. Saya juga difahamkan bahawa cadangan penubuhan Jawatankuasa ini telah pun dimaklumkan kepada Kabinet minggu lepas, dan turut mendapat sokongan yang positif oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

3. Berdasarkan matlamat utama jawatankuasa tersebut iaitu untuk menambahbaik Institusi-institusi Islam di peringkat Persekutuan, AMANAH menyokong sepenuhnya penubuhan jawatankuasa berkenaan. Ia sekaligus bertepatan dengan penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) pada tahun 1968, yang turut melibatkan peranan Raja-Raja Melayu hasil idea Perdana Menteri Kedua Malaysia, almarhum Tun Abdul Razak.

4. AMANAH juga mengucapkan setinggi penghargaan, tahniah dan menjunjung kasih ke bawah Duli Raja-Raja Melayu atas penubuhan jawatankuasa tertinggi ini yang akan bertindak mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan.

5. AMANAH yakin dan percaya bahawa jawatankuasa tertinggi ini nantinya akan dapat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kelancaran serta kelicinan urus tadbir agama Islam di seluruh negara.

6. AMANAH berpandangan bahawa dengan Penubuhan Jawatankuasa ini telah sekaligus memenuhi Janji ke-11 seperti yang terkandung di dalam Buku Harapan, di mana PH beriltizam bagi mengembalikan peranan Raja-Raja Melayu dalam urustadbir hal ehwal agama.

7. Keterlibatan penuh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu sebagai Urusetia kepada Jawatankuasa Tertinggi ini juga, adalah satu tanda aras yang jelas bagaimana Raja-Raja Melayu telah diberikan peranan besar dalam mengkaji kedudukan serta pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan.

8. Semoga Pemimpin Kerajaan dan Raja-Raja senantiasa di dalam hidayah dan inayah AlLah jua.

HASANUDDIN BIN MOHD YUNUS
Naib Presiden
Parti Amanah Negara

Ahli Parlimen
P101 Hulu Langat

PM Lantik PM Di Khazanah Nasional, Apa Sudah Jadi Dengan Janji Manifesto?

Pakatan Harapan hari ini dikecam teruk oleh netizens berikutan melanggar janji pilihanraya mereka sendiri berhubung isu lantikan politik di agensi berkaitan kerajaan - GLC.

Ini susulan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri siang tadi yang mengumumkan lima perlantikan di Khazanah Nasional iaitu;


Tun Mahathir Mohammad sebagai Pengerusi Khazanah Nasional; manakala Dato Seri Azmin Ali, Tan Sri Mohd Hassan Marican, Dr. Sukhdave Singh, Encik Goh Ching Yin sebagai Pengarah.


Kenyataan itu turut menyebut perlantikan Pengarah Urusan Khazanah Nasional akan diumumkan kemudian.



Di media sosial rata-rata netizens mempersoalkan Pakatan Harapan yang pernah berjanji setiap perlantikan GLC akan dibuat berdasarkan kelayakan profesionalisma seseorang dan bukannya berdasarkan pegangan politik masing-masing.

Mereka juga turut menyebarkan petikan janji tersebut yang diperolehi dari manifesto Pakatan Harapan ketika berkempen pilihanraya umum ke 14.



Halaman Suara Rakyat misalnya, menyebarkan grafik yang bertujuan menyindir tindakan Pakatan Harapan itu.

Sementara itu, tinjauan di Facebook, kebanyakan netizens tidak bersangka baik dengan perlantikan tersebut.

Mat : "Mahathir telefon Mahathir untuk lantik Mahathir sebagai Pengerusi Khazanah, Mahathir bersetuju dengan pendapat PM iaitu Mahathir. Justeru Mahathir melantik Mahathir dalam Khazanah".

Haizal : "Tahniah Ayahanda Tun Dr.Mahathir Mohamad kerana melantik PM ketujuh sebagai Pengerusi Khazanah atas persetujuan PM keempat".
 

Afyan Mat Rawi : "Teringat ucapan YB Mat Sabu suatu ketika dahulu; “Perdana Menteri, Najib melantik Najib Pengerusi 1MDB”. “Pengerusi 1MDB, Najib meminta peruntukan daripada Menteri Kewangan, Najib”. Au-kama-qaaaal".

Caren : "Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah ke dlm GLC nasional adalah dari kalangan profesional dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka " - Buku Harapan m/s 70

Hari ini, Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi dilantik menjadj pengerusi dan pengarah Khazanah".

Ehsan : "Bukan kitab suci kan?".

Faizal : "Esok Mahathir cakap dia jadi pengerusi tu secara percuma. Taknak sesen pun duit pengerusi tu.. hahaha
 

Azrul Azwar : "I find this very very hard to swallow because the appointment of the first two directors is clearly against the reform agenda that we have been championing all this while. It is in fact blatantly in contravention of the Promise 22 of the PH's manifesto for GE14. 

Even the appointment of Director No 3 is problematic and could raise controversies since he is on the CEP right now. Unless if he resigns from the CEP of course".

Meskipun ramai yang memilih mempertikaikan keputusan kerajaan itu tidak semuanya yang menentang. 


Sesetengah netizens berpendapat tindakan Mahathir melantik Mahathir di Khazanah berkemungkinan untuk memperbaiki Khazanah yang disifatkan oleh mereka sebagai telah rosak dan musnah dibawah pentadbiran Najib Razak. - 30 Julai 2018.

Siasat Kekayaan Pembangkang, Hari-Hari Ke Parlimen Naik Kereta Mewah - MP Kepong.

Oleh : Free Malaysia Today

Lim Lip Eng (PH-Kepong) hari ini menggesa kerajaan bersama-sama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat kekayaan Ahli Parlimen pembangkang.

Lim berkata, kerajaan perlu menyiasat sama ada cukai pendapatan mereka dibayar setimpal dengan kekayaan mereka.




 
“Kita nampak tiap-tiap hari kebanyakan ahli parlimen pembangkang datang ke Parlimen dengan kereta-kereta yang cukup mewah sekali dengan drebar, dengan pengiring.

“Kalau tidak, saya minta tindakan yang tegas diambil,”
katanya ketika membahaskan titah ucapan Agong di Dewan Rakyat.

Sebelum ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata semua anggota pentadbiran termasuk menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik dikehendaki mengisytihar harta masing-masing kepada perdana menteri.

Dr Mahathir ketika mengumumkan langkah itu berkata maklumat yang diterimanya tidak akan disembunyikan, sebaliknya akan turut disampaikan kepada agensi bertanggungjawab berkenan pencegahan rasuah.

Mengulas lanjut, Lim mengakui kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh memaksa Ahli Parlimen pembangkang mengisytihar aset mereka. - 30 Julai 2018.

Hormati Pilihan Pengundi Kelantan, Hentikan Idea 'Kerajaan Dalam Kerajaan' Wahai Husam - Prof Agus.

Oleh : Prof Muhammad Agus Yusoff

HORMATI PILIHAN RAKYAT : HENTIKAN IDEA PEMBENTUKAN “KERAJAAN DALAM KERAJAAN”

 
1. Apabila PH menang dalam PRU yang lepas, saya menaruh impian besar untuk melihat negara kita ditadbir secara demokratik dengan menghormati pilihan rakyat.

2. Namun hari ini, membaca berita Haji Husam Musa mencadangkan penubuhan Majlis Tindakan dan Pembangunan Negeri yang dipengerusikan oleh beliau sendiri bersama 10 ahli lain untuk bertindak sebagai penyelaras dan penghubung antara menteri (kerajaan pusat) dan rakyat, hati saya tersentak.

3. Biarpun perkara ini belum muktamad, saya harap idea ini tidak diteruskan. Jika idea ini diteruskan, maka tidak ada bezanya kerajaan hari ini dengan kerajaan dahulu yang ada JPP. Hentikan cara dahulu yang ada dua penghulu, dua penggawa, dan dua JKKK.

4. Apa yang menjadi hak kepada negeri, salurkan kepada kerajaan negeri kerana itulah pilihan rakyat dalam sistem politik demokrasi yang kita perjuangkan selama ini.

5. Mulakanlah perubahan cara berpolitik kita sekarang kerana itulah janji “Malaysia Baru” yang kita mahu bina bersama.

Jamal Ke Sungai Buloh Selepas Mahkamah Batalkan Ikat Jamin.

Oleh : Utusan

Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini masing-masing menarik semula jaminan terhadap Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos atas dua pertuduhan menceroboh dua premis perjudian di Taman Kosas, dua tahun lalu.

Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali dan Majistret Haslinda A. Raof memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nurhashimah Hashim dan Raihanah Abd. Razak untuk menarik balik jaminan masing-masing berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin yang telah diberikan pada 25 Mei lalu ketika kes itu dituduh di Hospital KPJ Ampang Puteri.

 
Terdahulu, Nurhashimah dan Raihanah memohon jaminan terhadap Jamal ditarik balik berikutan khuatir tertuduh akan melarikan diri lagi.

Sehubungan itu, mahkamah membatalkan jaminan terhadap Jamal bagi dua pertuduhan menceroboh dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan di hadapan Haslinda, Jamal bersama lima lagi lelaki yang telah dituduh dan empat lagi yang masih bebas didakwa melakukan pencerobohan di premis hiburan keluarga Happy Toys, No. 23 Jalan Kosas 1/2 Taman Kosas di sini.

Sementara itu, di hadapan Muhamad Firdaus, tertuduh didakwa bersama seorang yang telah dituduh dan seorang yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan sama di Kedai Starcom Trading and Services No. 23&25, Jalan Kosas 13, di taman yang sama.

Jamal yang diwakli peguam, Khairul Anuar Kashim didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu antara pukul 3.30 dan 3.40 petang pada 29 Disember 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pada 5 Julai lalu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu mengaku tidak bersalah dengan sengaja telah melepaskan diri daripada jagaan pihak polis yang ditahan secara sah di sisi undang-undang bagi kesalahan yang telah dipertuduhkan iaitu dua kes di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ampang dan satu kes mengikut Seksyen 290 kanun sama di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital KPJ Ampang Puteri, dekat sini, antara pukul 2 dan 3 petang, 25 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kes di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan, Jamal tidak dibenarkan bebas dengan jaminan.

Selepas selesai prosiding, Jamal terus dibawa ke Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Rupanya Oxford University Tak Pernah Iktirafkan Sijil UEC..

Sebelum ini beberapa pihak tampil mempertahankan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Neo Ching yang berikrar mahu mengiktirafkan sijil UEC bagi kemasukan ke universiti tempatan di Malaysia.

Antara hujah yang digunapakai oleh mereka-mereka yang mempertahankan pengiktirafan UEC ialah sijil UEC didakwa diiktirafkan sehingga ke peringkat luar negara termasuklah University Oxford. 

Bagaimanapun seorang netizen yang dikenali sebagai Douglas Kirk tampil menafikan dakwaan tersebut. Menurut Douglas Kirk, University Oxford menerima STPM sebagai sijil kemasukan tetapi bukannya sijil UEC.

Berikut adalah penulisan beliau;

Oleh : Douglas Kirk


Dulu kemain saudara mara (Cina) sebelah ayah aku kata standard UEC lebih tinggi dari SPM, kononnya masa mereka Tahun Keempat (4) di SMPC (Sekolah Menengah Persendirian Cina), syllabus Maths dan Science setaraf dengan syllabus STPM.

Sekali UEC tak laku kat Oxford University; bagi Pelajar Malaysia, Oxford University hanya terima sijil STPM sebagai syarat kemasukan.





Boleh baca kat sini :

https://www.ox.ac.uk/…/intern…/international-qualifications…

Tak payah gebang lah kononnya UEC diterima diseluruh dunia..Oxford University terang-terang tolak sijil UEC, dan hanya terima sijil STPM. - 30 Julai 2018.

Kulasegaran dan sekutu yang tidak segar akal budi.

Oleh : ARIF ATAN 

(Anggap ini kuliah sosio-budaya bagi Malaysia Baru. Jangan sentap melulu lalu dilabel rasis kalau tak habis baca)

Cakap mudahnya macam kaduk naik junjung, makin naik tocang, cacing naik ke mata. Apabila terus memanggil Melayu pendatang, itu jelas mengherdik Melayu secara budaya dengan perancangan berstrategi semacam mahu merombak sejarah tanah air. Ingat, pengundi Melayu yang tidak sampai 30 peratus menyokong Pakatan Harapan (PH) boleh terimakah wahai M Kulasegaran? 



Namun, Naib Pengerusi DAP itu begitu bersungguh menafikan yang dia ada memanggil orang Melayu sebagai pendatang. Baik. Kita bersangka baik untuk menerima penafiannya tetapi kenyataannya yang lain-lain itu secara logiknya tetap boleh ditafsir sebagai menganggap Melayu sebagai pendatang! Taklah biadap, namanya! 

Menteri Sumber Manusia itu dalam majlis keagamaan Hindu di Nilai bulan lepas cakap, dia mahu menekankan sejarah dengan "fakta yang tepat dan lengkap" supaya "setiap warga Malaysia tahu sejarah mereka sendiri."

Masalahnya, dia sendiri sama ada tak tahu atau saja-saja buat tak tahu menganggap kaum India tidak sepatutnya digelar pendatang. 

Kata Ahli Parlimen Ipoh Barat yang mungkin tak perlukan lagi pengundi Melayu di kawasannya itu seperti dilapor:

"Apa yang saya jelaskan dalam majlis itu adalah orang India berada di Tanah Melayu sejak 2,500 tahun lalu. Agama Hindu dibawa oleh Orang India...(Ia) agama awal yang dianuti penduduk tempatan (ketika itu).

"Hasil penemuan arkeologi di kawasan Lembah Bujang, terutamanya penemuan Sungai Batu di Kedah telah membuktikan hal ini. Jadi tidak adil jika kaum India digelar pendatang, berdasarkan faktor sejarah ini."

Hah, tepokkk!

Lihat penegasan Kulasegaran, "tidak adil jika kaum India digelar pendatang." Itu pun ada hati dia mahu bercakap tentang sejarah dengan "fakta yang tepat dan lengkap"?!

Dia sendiri sebagai warga Malaysia mungkin tak ambil tahu sejarah tanah air ini sendiri. Istilah pendatang pula bukan satu bentuk penghinaan apa pun, hanya dari segi perspektif sejarah. 

Takkan Kulasegaran mahu nafi leluhur kamu sendiri berasal nun dari wilayah yang secara geopolitiknya hari ini dipanggil negara India? 

Takkan Kulasegaran mahu menafikan penghijrahan ekonomi orang India selain Cina ke Alam Melayu (bukan saja Malaya sebab Sumatera Timur pun mengalami situasi sama. Baca tulisan ilmiah Ariffin Omar dalam Bab 7, 'Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia' terbitan USM pada 2006) adalah berpunca daripada dasar 'laissez-faire' penjajah membawa mereka masuk sehingga mengancam hak orang Melayu ketika itu? 

Kalau kita undurkan masa nun antara tahun 688 - 695, pendeta Buddha dari Dinasti Tang, Yi Jing dalam catatannya berkelana di Alam Melayu ketika itu sudah menyebutkan bahawa ada sebuah kerajaan yang dikenal dengan Mo-Lo-Yu (Melayu). [Moga silibus Sejarah UEC ada sebutkan fakta ini] 

Yi Jing tidak sebut pula ada kerajaan lain dipanggil mungkin In-dia hinggakan Kulasegaran mahu mendakwa India di Malaysia hari ini bukannya pendatang.

Catatan-catatan Arab sejak abad ke-7 Masihi hingga 10M pula sudah banyak menulis tentang Alam Melayu. Bahkan, sejarah Melayu terutama sekali berkaitan Kedah Tua yang Kulasegaran sebutkan itu sudah lama orang Arab tulis lebih 2,000 tahun dulu.

Nama Kedah dalam banyak teks pelayaran Arab ke Alam Melayu adalah 'Kalah'. Antaranya, 'Al Masalik Wal Mamalik' yang diterjemah oleh Tuan Arsyad Pendang ke bahasa Melayu dan diterbitkan tahun lepas. 

Adakah Kulasegaran tahu apatah baca buku-buku travelog purba Arab ini sebelum dia mahu menekankan sejarah dengan "fakta yang tepat dan lengkap" versi dia? Kitab apa dia mahu pakai? Kitab 'Malaysian Malaysia' DAP? 

Dalam naskhah 'At-Tarikh Silsilah Negeri Kedah' ada disebut lebih kurang 300 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W tentang nama 'Tanah Melayu'. Tidak pula disebut 'Tanah India' atau 'Tanah Tamil Nadu'! 

Bahkan, ketika itu disebutkan ramai orang dari Jawa lari menyeberang ke 'Tanah Segara Masin' (sebelum digelar Tanah Melayu) akibat serangan seorang raja dan tenteranya dari India.

Kulasegaran ada "fakta yang tepat dan lengkap"kah siapa raja dan tentera dari India yang menyerang orang Jawa itu? Kalau orang India bukan pendatang di Tanah Melayu, habis tu yang menyerang itu, India dari tanah mana? 

Dalam kitab 'Aja'ibul Hind' oleh Buzurg Al-Ramhurmuzi juga diterjemah oleh Arsyad Mokhtar banyak kali ditulis NEGERI EMAS yang merujuk kepada Semenanjung Tanah Melayu. Timbunan emas di Tanah Melayu memang masyhur sehingga wujud panggilan Suvarnabumi dan The Golden Chersonese. 

Adakah Kulasegaran fikir itu sebagai fakta yang tidak tepat dan tidak lengkap sehinggakan setiap warga Malaysia tidak tahu bahkan keliru dengan sejarah mereka sendiri? 

Alfred Russel Wallace yang mengambil masa 8 tahun mengkaji etnologi kemasyarakatan, botani, zoologi dan geologi di Alam Melayu pernah mengembara ke Melaka mengkaji habitat ekologi di sekitar Gunung Ledang yang dipanggil 'Gunung Ophir' oleh masyarakat Barat pada Julai hingga September 1854. 

Dia juga menjejakkan kaki di Singapura. Katanya jelas dalam Bab 2 buku 'The Malay Archipelago' yang diterbitkan pada 1869 itu bahawa Orang Melayu sebagai penduduk asli di Singapura ketika itu yang ramai bekerja sebagai nelayan, pemilik perahu dan polis. 

Wallace siap sebut ratusan perahu Melayu memenuhi pelabuhan Singapura selain kapal perang dan kapal dagang bangsa Eropah dan jong Cina. Rumah-rumah Melayu pula penuh di kawasan pinggir kota selain rumah orang Cina yang kata Wallace sudah membentuk populasi terbesar di Singapura. 

Bahkan, Wallace turut menyebut tentang orang India dan orang Arab bekerja sebagai pedagang-pedagang kecil dan pemilik kedai. Wallace tak sebut pula orang India adalah penduduk asli Singapura! 

Wallace yang sebenarnya juruukur dengan kerajaan British itu juga menyenaraikan sejumlah 117 kata dalam 59 bahasa bagi kelompok etnik dalam Alam Melayu dari bahasa Melayu, Jawa, Bugis, Bajau hingga ke wilayah kepulauan Flores dan Timor. 

Tiada pula bahasa Tamil menjadi antara 59 bahasa diucap di 'Malay Archipelago' jika betullah orang India bukan pendatang yang Wallace turut senaraikan sebagai perbandingan bagi kata 'burung' dan 'api', contohnya. 

Kata 'burung' kalau orang di Celebes Selatan dan Amboyna juga menyebutnya sama 'burung'. Kata 'api' juga sama diucap orang Bajau, Lombok, Bugis, Salayer di Celebes Selatan, Tomore dan Tomohon.

Kata 'api' juga disebut orang Kepulauan Sula, Batchian, Allor dan Solor serta di Langowan, Tanawanko, Kema (Celebes Utara). 

Soalnya, dalam bahasa Tamil, kata 'burung' dan 'api', adakah sama dengan bahasa Melayu? Paling tidak pun, sipi-sipi diucapkan dalam mana-mana 58 rumpun suku kaum lain di Alam Melayu seperti yang disenaraikan Wallace itu? 

Apa kelayakan Kulasegaran untuk sesuka hati bercakap India bukan pendatang (bermaksud India adalah peribumi di tanah air ini!) berbanding Wallace yang sudah mengkaji alam tabii Alam Melayu sepanjang 1854 hingga 1862 itu? 

Atas fakta apa Kulasegaran mahu menekankan sejarah "Malaysia Baru" dengan "fakta yang tepat dan lengkap" ketika Wallace dalam Bab 40 buku 'The Malay Archipelago' itu menulis terang-terang:

"Ras Melayu merupakan ras terpenting kerana MEMILIKI PERADABAN PALING TINGGI." Rakyat Malaysia hari ini walaupun pada era "Malaysia Baru" tentunya masih memahami sejarah lama keturunan kita masing-masing. 

Melabel India sebagai pendatang bukan meremehkan tetapi itu fakta sejarah akibat polisi pasaran bebas oleh penjajah British. Itu fakta, tak tahulah kalau ada pemimpin Melayu komponen PH atau pensyarah universiti dari fakulti ekonomi nak tulis status di Facebook kata, itu auta atau perkauman! 

Mengapa Kulasegaran harus menjatuhkan maruah keseluruhan masyarakat India lain sebagai bangsa yang mempunyai leluhur peradaban yang juga hebat di tanah besar India sana dengan sengaja menimbulkan polemik India bukan pendatang (baca: India adalah peribumi) di Malaysia yang nama lamanya adalah SEMENANJUNG TANAH MELAYU ini?

Kulasegaran apabila membangkitkan soal pendatang ini sekali gus mempersoal kewujudan masyarakat Melayu di Malaysia yang komposisinya sudah mencecah lebih 60 peratus ini.

Nampaknya, dia tidak faham tentang rencamnya nama Melayu itu sendiri apabila mengalami evolusi makna.

Nampak sangat Kulasegaran tidak tahu atau malas ambil tahu bahawa kata Melayu itu asalnya lebih berasaskan budaya. 

Orang Melayu sebelum meletupnya isu Malayan Union 1946 lebih memperkenalkan diri masing-masing mengikut negeri. Mike orang Perak, ambo ore Kelate, saye orang Johor, Hang Kedah tang mana, Pahang lagilah kompleks, orang Temerloh, orang Pekan ada loghatnya. 

Kesan tinggalan bagasi sejarah inilah yang masih boleh dilihat di Universiti Malaya (UM) dengan adanya persatuan-persatuan mahasiswa anak negeri dengan yang aktif setakat tahun 2008 dulu, Persatuan Mahasiswa Kelantan UM, Persatuan Mahasiswa Johor, Persatuan Mahasiswa Perak. Oh, Kulasegaran dulu ambil jurusan undang-undang di London, bukan UM. Apa dia tahu! 

Zaman penjajah dulu, ada kategori Melayu Jati dan Melayu Dagang. Ni, patut Kulasegaran tahu.

Eh, takkanlah Kulasegaran yang sudah tua tak pernah dengar lagu 'Anak Dagang', tak tahu dialog popular 'Kajang Pak Malau..mengkuang layu' dalam filem Sri Mersing (1961) atau menonton filem pecah panggung Indonesia, 'Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck' dalam menelusuri  perasaan dan dilema menjadi anak dagang? 

Itu belum lagi wacana hangat wartawan-wartawan Melayu sebagai intelegensia bangsa era 1930-an dengan istilah DKK (Darah Keturunan Keling) dan DKA (Darah Keturunan Arab) merujuk kepada kategori Melayu hasil kahwin campur. 

Maksudnya, kalau Kulasegaran rasa orang India kena tindas sangat dengan label pendatang, orang Melayu hari ini nenek moyangnya dulu lagilah lama pedih menanggung perasaan merantau.  

Kulasegaran faham tak semua ini? (Meminjam dialog iklan Trivago). 

Berbalik pada Wallace tadi, hinggakan dia sebut sifat luaran bahkan dalaman orang Melayu di Alam Melayu. Punyalah Wallace ini tajam perhatian. 

Walaupun, agak lucu untuk kita hari ini membacanya selain semacam tersembunyi sentimen 'superior' orang kulit putih dalam menilai orang lain tetapi itulah pandangan orientalis lebih 160 tahun lalu terhadap orang Melayu.

Antaranya, Wallace senaraikan orang Melayu ini emosinya datar, pendiam, pemalu, tidak menyatakan ekspresi hairan, kagum, takut secara terbuka. Cakapnya satu-satu, hati-hati dan berkias ibarat, tidak mudah berkelahi kerana wang (itu sebab Melayu dulu kuat gotong-royong), tidak suka bertanya terlalu banyak (patutlah di kelas atau ceramah sekarang pun masih agak sukar nak lihat suasana rancak soal jawab!).

Jadi, melihatkan sikap beraninya Kulasegaran mahu merekonstruksi sejarah dengan mendakwa India bukan pendatang (baca: India adalah Peribumi) sekali gus menyamatarafkan keberadaan orang India dengan orang Melayu di wilayah yang secara antropologinya dipanggil 'Malay Archipelago', nyatalah Kulasegaran amat melampaui batas.

Walhal, sifat melampaui batas atau keterlaluan ini perangai yang sangat dan banyak dilarang dalam kitab suci Al-Quran. Orang Melayu yang ribuan tahun lalu sebelum memeluk Islam yang bersederhana dalam semua segi pun memang dikenali sebagai bangsa bersifat terbuka, mudah berakomodatif, meraikan kedatangan orang luar dari alamnya dan bertolak-ansur hinggakan dalam banyak keadaan menyebabkannya jatuh tergelongsor! 

Sifat melampaui batas sebahagian masyarakat dan pemimpin bukan Melayu yang kini menjadi Menteri, Timbalan Menteri, wakil rakyat Parlimen dan Dun (bukan semua tetapi yang suka mengeksploitasi semangat 'Malaysia Baru') termasuk dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar amat bercanggah dengan sistem nilai majoriti orang Melayu hari ini yang masih mengambil sikap, "aku perati je kau!"

Kulasegaran juga begitu cabul mulutnya apabila mengatakan, "transmigrasi (penghijrahan) adalah proses natural yang terjadi di seluruh dunia dan pelbagai kaum berhijrah mengikut keperluan semasa."

Dinamika Melayu di Malaysia hari ini dengan keturunan datuk moyang Melayu dulu-dulu berhijrah masih dalam lingkungan Alam Melayunya lagi. Beza benar dengan orang India yang secara linguistik pun jauh sungguh jurangnya dengan Melayu.

Melayu di Malaysia walaupun keturunannya Bugis, Minang, Banjar, orang Kampar, Riau, mereka bukan berstatus pendatang sama tarafnya seperti orang India. Wallace pun tulis, "Orang-orang Kling dari India Barat".

Tapi punyalah akomodatifnya keMelayuan itu, kalau kahwin dengan Cina, India atau orang kulit putih dan peluk agama Islam, sudah dipanggil Melayu seperti takrifan Melayu secara Perlembagaan. 

Anak perempuan comel kepada aktres Rozita Che Wan hasil kahwin dengan suaminya yang beriras Mat Saleh tetap dipanggil Melayu. Ann Wan Seng kalau tiba generasi anaknya nanti yang kalau kahwin dengan Melayu jati, sudah secara budaya dipanggil Melayu, tiada lagi panggilan mualaf. 

Eh, Kulasegaran sembang pasal India bukan pendatang ni, dia ada baca sajak Sasterawan Negara, Usman Awang berjudul 'Melayu' itu tak? 

Jangan tak kenal siapa Usman Awang pula ketika sibuk bercakap tentang Malaysia, sudahlah! Sila baca dan fahamkan apa itu Melayu sebelum mahu kata India bukan pendatang:
  
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak. 

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah muallaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu).

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan.

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara. 

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali.

Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh di cari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing.

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa disambut
Luka pun tidak lagi berparut.

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran.

Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.

Jadi, apabila Kulasegaran boleh pula mengajar rakyat Malaysia yang majmuk ini untuk, "Kita sama-sama berkongsi kehidupan di Malaysia," sebenarnya Kulasegaran sendiri tidak bersikap apa yang diucap. Orang bukan Melayu rata-ratanya tak kongsi apa pun dengan Melayu walaupun Melayu sebelum merdeka sudah banyak berkongsi termasuk memberi taraf warganegara. 

Kalau dia sama-sama berkongsi kehidupan di negara ini, maka tiada perlunya dia sembang mahu menyamatarafkan keberadaan orang India di negara ini dengan Melayu di tanah air yang asalnya dipanggil Semenanjung Tanah Melayu ini. 

Melayu tak hinalah India, Cina, kita semua sudah sama berstatus warganegara Malaysia tapi janganlah India dan Cina bukan main galak mengungkit sejarah asal usul sedangkan sikap melampaui batas itu ibarat menepuk air di dulang, terpercik basah lenjun ke muka dan tubuh sendiri! 

Sifat orang Cina juga pemimpin Cina DAP yang semacam menjadi 'MCA dalam PH' kena sedar diri juga akan fakta sejarah pendirian Tanah Besar China yang dikuasai komunis pada 1950-an sebelum sibuk menuntut itu, ini sampaikan paksa kerajaan beri dana pula kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) selepas menuntut UEC - produk SMPC diiktiraf untuk masuk universiti awam dan perkhidmatan awam. Apa ni? Itu kepentingan nasional ke kepentingan kaum yang kaya? 

China sudah tegaskan taraf kewarganegaraan sebagai penentu muktamad nasional seseorang Cina. Maka orang keturunan dan berbudaya Cina di luar Tanah Besar China perlu memilih sama ada kekal sebagai warganegara China atau menjadi warganegara dia berhijrah. 

Dalam konteks ini, orang Cina Indonesia sudah menjadi bangsa Indonesia fasih dan membudayakan bahasa kebangsaan negaranya walaupun sedang bersesak dalam LRT di Kuala Lumpur. 

Tapi majoriti Cina Malaysia bahkan India Malaysia di LRT sama dengan tanpa jati diri sebagai bangsa Malaysia bebas cakap Cina dan Tamil tetapi kemudiannya terkial-kial (biasanya Cina, India ramai fasih) lidah cakap Melayu walau lahir dan sudah hidup lebih dari 3 generasi di Malaysia ini. 

Itu yang Kulasegaran mahu cakap "kita sama-sama berkongsi kehidupan di Malaysia"? Kongsi apa? Makan di kedai mamak pun bayar asing-asing! Hah, tepokk!  

Kulasegaran juga bukan Melayu generasi WeChat sekarang tidak patut membakar sentimen perasaan orang Melayu yang dikenali sebagai bangsa penyabar sebab Melayu ini berperadaban tinggi. Kulasegaran, pemimpin Cina DAP lain pun jangan hipokritlah ingatkan rakyat tidak rasis ketika kamu semua mahu menyuburkan sentimen rasis kaum masing-masing atas topeng 'keadilan', 'hak asasi manusia' bla bla bla... 

Ingat. Melayu ini ada timbang rasa, ada budi bicara, budi bahasa, budi pekerti, akal budi tetapi orang kulit putih pun sudah memakai istilah 'amok' untuk menunjukkan sikap 360 darjah bangsa Melayu apabila berdepan dengan situasi yang terlalu menekannya. 

Jadi, buat Kulasegaran, Teo Nie Ching, Wong Kah Woh, Ong Boon Piow - kebetulan semua DAP pulak tu! - peliharalah ucapkata tatalaku usah bersikap tidak segar akal budi, berbuat laku tidak tentu sampai jadi Malaysia Haru.  

Jika sengaja berterusan menjolok sarang tebuan, kalau terus tegar mencurah minyak ke bara api, jangan terkejut melihat orang Melayu hatta penyokong PH BANGKIT membenamkan sifat angkuh sombong melampaui batas mendakwa kaum kamu peribumi di Malaysia atau memanggil Melayu sebagai bangsa pendatang. 

Terima kasih sudi membaca sehingga noktah terakhir kuliah sosio budaya Malaysia Baru ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...