Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 1 Ogos 2018

Untuk Kahwin Dengan Budak, Hanya Perlu Ke Kelantan? MP PAS Sanggah Dakwaan Menteri.

Kenyataan Media

Mari Kita Sama-sama Faham Mengapa Wujud Pernikahan Bawah Umur.

Ke hadapan YB Hannah Yeoh,

Kami ingin sekali mengucapkan tahniah kepada YB kerana cuba memahami isu yang seringkali dimanipulasi oleh media-media kini.


1. Untuk pengetahuan YB, data pada tahun 2017 telah menunjukkan betapa perkahwinan bawah umur dijuarai oleh orang bukan Islam. Seramai 1845 orang kanak-kanak telah berkahwin dengan pasangan dewasa. Daripada jumlah tersebut, seramai 968 orang (52.5%) adalah di kalangan orang bukan Islam, manakala seramai 877 orang (47.5%) adalah dari mereka yang muslim. Daripada jumlah perkahwinan orang bukan Islam tersebut, kaum Cina mendominasi dengan peratusan paling tinggi dengan peratusan 39.6% iaitu seramai 384 orang.

2. Persoalannya, adakah YB sudah cuba memahami mengapa wujudnya perkahwinan sebegini di kalangan masyarakat Cina sendiri?

3. Untuk pengetahuan YB, di dalam Islam, segala perkara yang kita lakukan tidak akan terlepas dari hukum-hakam. Samada ianya harus, sunat, haram serta makruh. Perkahwinan adalah salah satu kontrak sosial yang suci di mana ianya menghalalkan hubungan yang haram. Soalnya di sini, adakah YB bersetuju anak-anak muda kita bebas melakukan seks bebas dalam masa yang sama mereka disekat pendekatan yang lebih manusiawi? Saya yakin, YB adalah seorang Kristian yang patuh pada agama, maka sudah tentu YB juga tidak bersetuju dengan kebebasan terlampau anak-anak muda kita kini seawal usia persekolahan. Adakah YB punya solusi lain yang ampuh terhadap kebejatan ini?

4. Saya ingin menarik perhatian YB, sebenarnya terdapat Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002 [Seksyen 8] yang menyebut “Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun dan wanita berumur kurang enam belas tahun, kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu”. Bagi kami, Enakmen ini adalah Enakmen terbaik kerana walaupun undang-undang tersebut dilihat ketat, akan tetapi wujud pengecualian yang menghargai fitrah manusiawi dan membolehkan pertimbangan berdasarkan keperluan semasa, merit mengikut kes demi kes kerana setiap permohonan mempunyai fakta kes dan keperluan yang berbeza.

5. Adapun contoh yang YB berikan berkenaan isu budak berumur 11 tahun dengan lelaki berumur 41 tahun itu adalah tidak adil. Beliau bukan warganegara Malaysia, dan melangsungkan perkahwinan juga bukan di Malaysia. Secara jelas ianya berada di luar pengetahuan pihak berwajib. Sesungguhnya lelaki tersebut telah pun dijatuhkan hukuman denda, namun terdapat beberapa sekatan untuk meletakkan denda dengan kadar yang lebih tinggi disebabkan keterbatasan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] itu sendiri.

6. Terdapat juga pihak yang mengaitkan isu perkahwinan bawah umur dengan pengantunan kanak-kanak secara total. Tanpa menafikan wujudnya kes-kes sebegini, maka di sini memerlukan mekanisme yang ampuh untuk melindungi mereka daripada menjadi mangsa perkahwinan berunsurkan pedofilia. Justeru, disinilah perlunya peranan kebijaksanaan Hakim Mahkamah Syariah untuk melindungi hak kanak-kanak tersebut dan menentukan sesebuah perkahwinan itu dibenarkan atau tidak dengan mempertimbangkan faktor lain seperti ekonomi, kesihatan, masyarakat dan lain-lain.

6. Bagaimana mungkin YB boleh katakan untuk berkahwin mereka hanya perlu ke Kelantan? Itu satu hujjah yang cukup dangkal. Bagaimana pula seramai 384 perkahwinan bawah umur dari kalangan orang Cina tersebut? Adakah mereka semua itu berada di Kelantan ketika melangsungkan perkahwinan? Yb juga harus mengambil kira budaya perkahwinan bawah umur di kalangan orang asal serta pedalaman di Sabah dan Sarawak.

7. Jika kita melihat perkara ini dari sudut kepentingan politik kepartian, sudah tentu kita akan menjadi berat sebelah. Kami juga sangat mengambil berat dan perihatin berkenaan isu ini.

8. Oleh itu, besarlah harapan saya agar YB melihat perkara ini dari sudut saksama dengan mengambil kira YB adalah seorang yang berkredibiliti tinggi dan pengamal agama Kristian yang patuh. Maka, marilah kita berbincang dengan ikhlas agar perkara ini dapat diselesaikan mengikut acuan undang-undang berdasarkan agama masing-masing.

Yang benar,


Yb Siti Zailah Mohd Yusoff
Ahli Parlimen Rantau Panjang,
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...