Melayu mana perlu berubah?
"Orang Melayu kalau berubah pemikiran, raja yang mereka akan buang dulu sebab dilihat tidak memberi faedah kepada Melayu dari kelas marhaen. Jadi, raja yang perlu berubah. Usaha rasa selesa di atas takhta."
Itu bukan komentar saya. Itu komentar seorang sahabat saya.
Tapi saya mahu tambah:
Masyarakat marhaen Melayu sudah semakin berubah. Hanya kelas bangsawan Melayu yang tidak nampak Melayu berubah.
Lihat saja reaksi orang Melayu di media sosial yang secara terbuka mengecam Sultan Johor pada Februari lepas iaitu tiga bulan sebelum PRU-14.
Puncanya apabila Sultan Johor mengkritik sosok pemimpin yang daripada pembayangnya ketara merujuk kepada Dr Mahathir sekali gus menunjukkan sokongan terbuka kepada BN.
Kritikan terbuka generasi muda Melayu itu satu isyarat bagaimana rata-rata orang Melayu sudah BERUBAH.
Anak-anak Melayu semakin ramai BERUBAH keluar dari kerangka pemikiran feudal.
Generasi muda Melayu terutama yang lahir selepas 1990 tidak lagi benar-benar menikmati apa yang dipanggil sebagai hak istimewa Melayu seperti digariskan Perkara 153 Perlembagaan.
Kumpulan Melayu ini tidak seperti generasi ayah, datuk mereka tahun-tahun 70-an, 80-an yang menikmati pelbagai kemudahan termasuk biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pengajian tinggi.
Generasi Melayu penerima PTPTN dan memasuki universiti atas dasar meritokrasi mulai 2003 semakin ramai BERUBAH cara fikir mereka apabila sudah berani mengkritik raja yang memihak kepada parti pemerintah korup.
Ramai yang terang-terang menulis bahawa kerabat raja sudah hidup maha mewah mana tahu erti rakyat hidup susah.
Era Malaysia Baru juga muncul apabila pemikiran politik Melayu sudah BERUBAH meninggalkan Umno-BN yang berkuasa lebih 60 tahun.
Lantas, PERUBAHAN masyarakat Melayu yang bagaimana lagi yang mahu istana lihat?