Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 29 Julai 2018

Menjelaskan Fitnah Isu Melayu Dianggap Pendatang Oleh M. Kulasegaran.

Kenyataan Media

Menjelaskan fitnah suratkhabar Umno (Utusan Malaysia) manyiarkan artikel berita berusur fitnah dan sengaja memainkan isu perkauman, rasis dan propaganda tentang pandangan saya terhadap sejarah Malaysia.

Di sini saya ingin menjelaskan tentang pandangan saya yang telah diputarbelitkan oleh pihak-pihak tertentu yang mahu menimbulkan ketegangan kaum.



Laporan Utusan Malaysia pada 27 Julai 2018 dan dakwaan-dakwaan di media sosial telah menuduh saya membuat kenyataan kononnya orang Melayu adalah pendatang di Malaysia manakala kaum India merupakan penduduk asal negara ini.

Ini adalah satu *fitnah dan pembohongan*. Saya tidak pernah berkata begitu. Ia diputarbelitkan tanpa latar atau konteks yang sebenarnya.

Izinkan saya membuat penjelasan.

Saya telah hadir di satu majlis agama Hindu di Nilai, Negeri Sembilan minggu lalu, dan mengemukakan pandangan saya yang antara lain menjelaskan bahawa kita tidak sepatutnya tuduh-menuduh dengan menggelar seseorang atau sesuatu kaum sebagai pendatang. Kita sama-sama berkongsi kehidupan di Malaysia.

Dalam majlis berbahasa Tamil itu, saya tidak menyebut sama sekali tentang orang Melayu. Sudah tentu tuduhan kononnya saya mengatakan orang Melayu adalah pendatang merupakan fitnah dan pembohongan semata-mata.


Apa yang saya jelaskan dalam majlis itu adalah orang India telah berada di Tanah Melayu sejak 2,500 tahun lalu. Agama Hindu dibawa oleh orang India ke Tanah Melayu. Hasil penemuan arkeologi di kawasan Lembah Bujang, terutamanya penemuan Sungai Batu, di Kedah telah membuktikan hal ini. 

Sehubungan itu, saya berpendapat tidak adil jika kaum India digelar sebagai pendatang, berdasarkan faktor-faktor sejarah itu.

Agama Hindu merupakan agama awal yang dianuti penduduk tempatan di Tanah Melayu dan Nusantara, dan kemudiannya berkembang kepada ajaran Buddha, dan sehinggalah Islam dibawa ke rantau ini dan menjadi popular pada abad ke-15.

Transmigrasi pula merupakan proses yang natural yang berlaku di seluruh dunia. Pelbagai kaum saling berhijrah ke merata dunia mengikut keperluan dan suasana semasa. Begitu juga dengan Tanah Melayu, Malaysia, India, China dan banyak lagi. Ini fakta sejarah.

Semua ini adalah fakta sejarah. Jadi, apa yang saya mahu tekankan ialah sejarah patut diajar dengan fakta yang benar, tepat dan lengkap. Ini penting agar setiap warga Malaysia tahu sejarah kita sendiri.

Sekian, terima kasih.

M. KULA SEGARAN
Menteri Sumber Manusia
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan
Ahli Dewan Rakyat Ipoh Barat

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...