Terkesima sekejap bila dapat mesej dari seorang cikgu yang menghantar mesej minta pendapat tentang UEC diiktiraf oleh kerajaan. Tapi inshaaAllah, tujuan artikel ini ditulis adalah untuk kita sama-sama membuka minda sebelum membuat sebarang tohmahan terhadap ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil atau Sekolah Menengah Cina Swasta.
Kita sama-sama Islam ye netizens, tolonglah jangan pasal persoalan UEC ni dapat dosa, sangat-sangat tak berbaloi.
Sebelum banyak lagi fitnah yang muncul, biarlah saya terangkan apa yang boleh saya terangkan. Bismillahirrahmanirahim.
1. Kenapa perlu sekolah cina? Apa yang istimewa sangat?
Pada saya, untuk mempelajari bahasa Cina, bukan sahaja pasal boleh bercakap, menulis dan boleh membaca; Bahasa Cina juga memiliki keindahan bahasa tersebut melalui peribahasa dan pepatah sendiri. Terdapat nilai-nilai yang bagus dipelajari daripada orang bersejarah seperti Confucius. Sejarah Cina sangat panjang dan banyak pengajaran yang boleh kita pelajari. Ibu bapa saya menghantar saya ke Sekolah Cina untuk mempelajari bahasa itu dan Alhamdulillah, saya menerima manfaatnya pada hari ini. Bekerja di bidang audit, kadang-kala perlu berkomunikasi dengan Negara China dan dokumen-dokumen yang mereka beri dalam bahasa Cina. Jadi, saya dapat menolong menterjemahkan kepada yang tidak boleh baca/faham bahasa Cina. Walaupun di sewaktu di Sekolah, Subjek Perakaunan adalah dalam Bahasa Inggeris, kami juga mempelajari terjemahan dalam bahasa Cina, jadi ia membantu saya dalam pekerjaan saya.
Namun, yang saya paling saya syukuri bukan tentang kebolehan saya bertutur dalam bahasa tersebut, yang paling bagus, mashaaAllah, adalah sistem disiplin dan budaya di Sekolah Cina, terutama sekali di Sekolah Menengah Swasta, Sekoleh Menengah Foon Yew yang telah membentuk sikap dan pendirian saya pada hari ini.
- “Pass” di sekolah ini adalah markah 60. 59 markah ertinya gagal. Kalau dapat 54 – 59, fail dan boleh progress tapi kena tukar kelas, agak-agak macam kawan-kawan tak menjadi pendorong yang bagus untuk murid tersebut untuk lulus (benda ni menjadi – ada seorang rakan masuk kelas lain untuk tahun yang seterusnya, daripada dapat giliran akhir, terus dapat giliran pertama dalam kelas baru). 53 – harap maaf, sila repeat tahun tersebut sampai dapat above 54. Memang ada je orang lebih umur 18 tahun dalam kelas nak try graduate. Saya akui, saya sangat-sangat malas, tapi competition ni memang membuatkan saya lebih aktif untuk cuba pass dan ianya memang membantu membentuk pendirian and karakter saya pada hari ini.
- Pada tahun saya graduate, jumlah murid di sekolah saya adalah 7000 lebih, tapi sekarang dah ada Foon Yew Kulai, jadi mungkin dah kurang. Nak masuk Sekolah ni kena pass entrance exam (peperiksaan kelayakan). Semasa darjah 6, lebih kurang 3000 murid sertai entrance exam dan cuma 1200 sahaja diterima masuk. Apa yang saya kagum adalah walaupun jumlah murid begitu ramai, sistem mereka sangat unik. Masa pelajaran dijalankan, cuma suara Cikgu sahaja akan ada, memang cukup disiplin. Cikgu-cikgu sendiri, sangat berdedikasi. Sekolah itu besar dan kadang kala cikgu perlu berlari untuk sempat sampai kelas.
- Nak cuti sakit? Fikirlah sekali lagi. Cuti sakit akan dapat dimerit di mana total average score untuk tahun tersebut akan ditolak. Satu kelas 0.001, satu hari ada 7 kelas, jadi 0.007. Dan untuk cuti biasa 0.01 satu kelas, lewat satu kelas 0.02. Anda rasa sikit saja? Tidak. Bayangkan kalau total average score anda 54, tolak dimerit, terus kena repeat tahun tersebut. Kadang-kala angka giliran dalam kelas, beza dia memang dalam perpuluhan. Nombor 10 mungkin 73.8; Nombor 11 mungkin 73.4. 70 mungkin dah nombor 25. Memang competitive.
- Kalau ada masalah disiplin, mereka akan masuk dalam rekod sekolah dan tampal insiden tersebut di setiap blok dalam sekolah. Setiap murid hanya boleh ada maksimum tiga kesalahan besar, selepas itu akan dibuang sekolah. Tiga kesalahan kecil = 1 kesalahan besar. Kesalahan kecil tu macam mana? Lewat tiga kali ke sekolah. Meniru semasa peperiksaan. Tapi semua bergantung pada guru disiplin yang sangat awesome. Pernah sekali saya nak pulangkan baju kerana kotor, Cikgu tu Tanya awak buat apa di sini, saya tunjuk baju je. Terus kena tegur bagaimana nak hormat Cikgu, jawab macam mana, sampai sekarang saya ingat insiden tersebut dan selalu ingat macam mana nak betul-betul hormat dengan Cikgu. Memang budaya mereka suka mengajar dan menghormati antara satu sama lain adalah sangat penting bagi mereka.
- Peperiksaan – macam hari-hari. Homework – banyak.
2. Kalau periksa hari-hari, homework banyak – macam mana?
Terus terang saya cakap, memang susah. Sampai sekarang umur dah lebih 30 kadang-kadang termimpi nak exam tapi belum habis sedia lagi. Bangun tidur sampai peluh-peluh. Hahaha. Pasal saya asal dari Johor Bahru, sijil Sekolah Agama masa tu wajib ambil untuk bekerja di sana. Jadi memang susah pasal Sekolah Agama pun ada exam juga. Masa untuk tidur lebih sikit memang tak ada nak bandingkan dengan budak-budak sekolah saya yang tak perlu pergi Sekolah Agama. Tapi Alhamdulillah, sampai Form 2 sahaja pasal Sekolah Agama sampai Darjah 6 sahaja. Nak masuk darjah khas, tapi hari Sabtu sahaja kelas dia, Sekolah Cina pula memang 6 hari seminggu. Tapi Alhamdulillah, Sekolah Agama tu penting dan ia terapi saya dan sentiasa mengingatkan yang saya ni Melayu dan Islam dan apa yang penting adalah akhirat. Jadi, tak takut sangat pasal exam dan homework tak siap. Buat apa yang mampu, dan buat yang terbaik mungkin.
Ibu bapa saya pun mengambil berat tentang agama dan kami ada ustaz mengajar ngaji setiap Khamis. Dan saya tak pergi tuisyen. Hanya masa Sekolah Menengah dapat Tusyen Bahasa Cina sekejap – Alhamdulillah, dapat membantu saya terutamanya untuk menulis karangan dalam Bahasa Cina. Banyak kena usaha sendiri dan doa banyak-banyak.
3. Kenapa rasa Sekolah Cina ni menggalakkan perpaduan?
Kalau banyak yang kata budak sekolah cina tak boleh fasih dalam bahasa melayu. Tak semestinya. Saya boleh cakap Cina ni pun kerana kawan-kawan sekelas boleh cakap melayu dan mengajar saya bahasa Cina. Tapi, sekolah cina mengajar saya erti perpaduan melalui pengalaman saya sendiri.
Masa darjah 1, saya dah mula nak putus asa, buat homework sampai pukul 2 pagi nak betulkan tulisan cina. Lepas insiden itu, memang semakin lama semakin malas. Peperiksaan memang tak pernah nak buat apa-apa bersiapan. Ada satu murid datang dekat saya dan kata “awak ni malas kan, betul lah ibu bapa saya cakap, melayu ni bodoh dan malas.” Walaupun masa tu selalu kena pukul dengan rotan, sedih mendengar ayat tersebut memang buat saya rasa sebak. Barulah saya sedar, di kalangan murid-murid and cikgu-cikgu Cina ini, saya “representative” kaum saya. Barulah saya gigih berusaha.
Saya cerita insiden ni kepada ibu bapa saya, dan memang ada insiden racism yang lain, tapi ibu bapa saya, cara mereka didik saya adalah dengan menggalakkan saya untuk gigih berusaha dan buktikan yang saya boleh. Saya sendiri tak nak malukan kaum saya, jadi saya gigih berusaha. Dengan secara tidak langsung, mereka mula rasa ingin tahu tentang saya, tentang budaya saya serta Islam dan mula berkawan rapat dengan saya, walaupun mereka dididik dengan pendirian yang lain. Dengan cara ini, saya dapat membuka minda saya dan membantu mereka yang tidak memahami budaya kita, dan membuka minda dan hati mereka untuk memahami Melayu dan Islam dengan lebih terbuka.
Pengalaman saya mengajar saya yang bila kita dilempar dengan kata-kata berbaur racist, apa tindakan wajar yang boleh diambil untuk membela kaum kita sendiri. Saya bersyukur kepada Allah kerana ibu bapa saya telah mengajar saya tentang hidup bertoleransi dan terima kata-kata yang negatif dan mengubahnya kepada positif.
Di Sekolah Menengah pula memang lain, mereka ada budaya tersendiri yang dipanggil “orang Foon Yew”, semua orang sama, sampai rambut pun kena pendek dan ada style yang mereka recommend. Kalau di sekolah biasa, ada “prefect” yang pakai baju lain daripada yang lain, istimewa sikit layanan untuk prefect dan sebagainya, sekolah Foon Yew memang tak ada. Prefect adalah satu persatuan disiplin di sekolah, macam persatuan ko-kurikulum yang lain. Di Sekolah Menengah memang jarang ada racism. Pernah sekali atau dua kali sahaja.
Ingat lagi masa Sekolah Menengah Atas (Senior High), ada Cikgu Matematik ni memang pernah mengata sikit perasaan dia terhadap Melayu. Dia mengajar Trigonometri masa tu. Di Sekolah kami, murid terlalu ramai, jadi diorang panggil murid untuk menyelesaikan masalah di papan hitam melalui angka giliran. Dia terpanggil nombor saya. Nampak sahaja saya, terus dia kata “ha? Awak? tak apalah, saya buat sendiri”. Tapi, apa yang membuat saya terharu adalah satu kelas bantah tindakan cikgu itu. Semua marah cikgu dan cakap “Apa Cikgu ni!” “Cikgu mana boleh buat macam ni” “Dia boleh buat lah!”. Saya terharu sangat masa tu.
Semasa di Sekolah Menengah, memang tak ada rasa beza Melayu atau Cina. Cikgu-cikgu sangat supportive, berdedikasi dan semangat untuk mengajar. Walaupun stress sebab banyak sangat peperiksaan, cikgu-cikgu dan rakan-rakan sentiasa menolong dan memberi galakan untuk cemerlang.
Ini hanya pendapat dan pengalaman saya, saya mungkin salah, jadi sila ampunkan saya jika saya salah.
Soalan-soalan lain:
1. Silabus Sekolah Menengah Cina Swasta
Saya tidak pasti tentang semua subjek, tetapi subjek Bahasa Malaysia (“BM”) memang bukan taraf PMR sahaja. Kami perlu lulus SPM, dan kalau BM fail, tak lulus. Jadi, memang subjek BM sangat diambil berat. Jadi, buku-buku yang digunakan memang selari dengan sekolah menengah biasa seperti Kesusasteraan Melayu dan sebagainya.
2. Bahasa yang digunakan
Dalam Menengah Rendah (form 1 – form 3), semua mata pelajaran dalam Bahasa Cina, kecuali BM dengan Bahasa Inggeris (“BI”). Guru-guru yang mengajar mata pelajaran tersebut ada Melayu, CIna dan India. Walaupun guru Cina, mereka tak akan mengajar menggunakan bahasa Cina. Kalau kelas BM cakap melayu, kelas BI memang cakap English. Teringat cikgu form 1, Mr. Palam, dia mengajar BI dengan English yang cukup tertib.
Dalam Menengah Atas (form 4 – form 6), kalau dalam kelas Sains, subjek-subjek Sains adalah dalam B. Inggeris. Kalau kelas Perdagangan, subject Perakaunan dalam B. Inggeris.
Sejarah – saya tak ingat untuk Menengah Rendah, tapi kalau Menengah Atas, kami belajar Sejarah China masa form 4, Sejarah Dunia masa form 5, Sejarah Malaya/Malaysia masa form 6. Semua dalam bahasa cina tapi untuk nama dengan istilah penting, akan ada kurungan dalam B. Inggeris.