Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 31 Julai 2018

Ketua Pemuda UMNO Minta MyBrain Diteruskan.

Kenyataan Media

MYBRAIN WAJAR DITERUSKAN


1. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kecewa dengan kenyataan YB Menteri Pendidikan bahawa program MyBrain ditangguhkan pada tahun ini. MyBrain adalah sebuah pelaburan jangka panjang negara yang dilancarkan sejak 2009 untuk melahirkan lebih ramai anak muda memegang ijazah PhD dan Sarjana demi kecemerlangan modal insan negara masa depan.

 
2. Adalah lebih mengecewakan apabila YB Menteri Pendidikan sebagaimana pendekatannya sebelum ini mengambil jalan mudah menyalahkan Kerajaan Barisan Nasional dahulu seolah-olah hanya ‘political gesture’ menjelang Pilihanraya Umum yang lalu.

3. Saya tidak mahu menyalahkan YB Menteri kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana mungkin dalam dua bulan ini, YB Menteri dan pasukan pegawainya masih terlalu baru dan dalam proses memahami kaedah operasi perbendaharan dan urusan kewangan negara melibatkan perlaksanaan satu-satu dasar.

4. Untuk makluman YB Menteri, peruntukan MyBrain sudahpun dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-11 yang diluluskan pada tahun 2015. Sejumlah RM500 juta telah diperuntukan bagi tahun 2015-2020 oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dibawah program sektor sosial.

5. Jika dirujuk Bajet 2018 yang diluluskan dalam Sidang Parlimen Oktober 2017 lalu, Kerajaan sebelum ini telahpun memperuntukkan Belanja Pembangunan bagi program MyBrain berjumlah RM90 juta untuk 10,600 penerima. Oleh itu, dakwaan bahawa kos MyBrain adalah melebihi RM600 juta tidak tepat dan mengelirukan kerana bukan semuanya diperuntukkan untuk satu tahun tetapi merentasi beberapa tahun keseluruhannya. Malah menangguhkannya juga bertentangan dengan kelulusan Bajet yang telah dibuat di Parlimen.

6. Adalah menjadi amalan biasa bagi Kementerian Pelaksana seperti Kementerian Pendidikan untuk memanjangkan permohonan peruntukan kepada EPU dan Kementerian Kewangan bagi maksud pembiayaan projek yang telah diluluskan di bawah Bajet tahun yang berkenaan berasas
an apa yang telah dipersetujui dalam RMK11.

7. Mustahil kerajaan tidak ada wang sebagaimana yang diperuntukkan Bajet yang lepas kerana setiap item perbelanjaan diperbahaskan dan diluluskan di Parlimen berasaskan perolehan yang dibentangkan bersama.

8. Lagipun Kerajaan PH yang baru juga telah membatalkan banyak program-program yang dirangka oleh Kerajaan BN sebelum ini malah berjaya menerbitkan bon-bon baru berjumlah RM22.5 billion pada bulan Mei 2018.

9. Justeru, ini bukan isu tiada peruntukkan sebagaimana yang dikhabarkan pada rakyat kerana tampak Kerajaan mempunyai sumber yang mencukupi. YB Menteri hanya perlu memohon penyaluran peruntukan MyBrain sebagaimana yang sudah diperuntukkan dalam Bajet 2018.

10. Untuk makluman YB Menteri, pada tahun 2016 ketika keadaan ekonomi merudum, Kementerian Pendidikan Tinggi telah menambah jumlah Biasiswa sarjana MyBrain agar rakyat Malaysia yang terkesan berpeluang melanjutkan pengajian mereka demi meningkatkan kelayakan sekaligus peluang mendapat pekerjaan.

11. Sekiranya benar sekalipun tiada peruntukan bagi program ini, Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan agar Kerajaan dapat memanfaatkan sebahagian daripada kutipan Tabung Harapan Malaysia yang setakat hari ini telah berjaya mengumpulkan lebih RM166 juta.

12. Saya percaya Tabung Harapan ini lebih bermanfaat untuk digunakan bagi tujuan melabur dalam sektor pendidikan membangunkan generasi masa depan negara, berbanding untuk membayar hutang negara yang telah terbukti tidak akan sesekali berkurangan malah bertambah sebagaimana inisiatif terbaru Kerajaan dalam penerbitan bon-bon dan sukuk baru bulan lepas.

*Dr. Asyraf Wajdi Dusuki*
*Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia*
31 Julai 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...