Rabu, 1 Ogos 2018

Isu Bantuan Ke Sekolah Persendirian Cina, Malaysiakini Manipulasi Berita - Hafizul Faiz.

Oleh : Hafizul Faiz

MENTERI U-TURN? MANIPULASI MEDIA DAN STAMINA MEMBACA KITA.


1. Salah satu daripada manifesto Pakatan Harapan ialah kebebasan media. Walaupun hal ini nampaknya menjadi liabiliti yang sangat besar kerana media sangat berkesan di dalam membentuk persepsi politik. Media tentu sangat suka mengetahui bahawa masyarakat memang hanya membaca kepala tajuk berbanding laporan penuh.

2. Pada 26 Julai 2018, Malaysiakini telah menerbitkan satu berita berjudul "DAP bidas Maszlee tak beri peruntukan pada sekolah persendirian Cina". Sebagai respon kepada jawapan bertulis Dr Maszlee Malik berkaitan peruntukan kepada SMPC kepada soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dari MCA.

3. Ironinya, pada 27 Julai, keesokan harinya, Malaysiakini juga menerbitkan lagi satu berita berjudul "Kini Maszlee kata SMPC boleh dapat peruntukan". Persoalannya di sini, di mana susur galur sumber berita ini?

4. Apabila kita membaca sampai habis berita ini, yang dilaporkan hanyalah petikan jawapan bertulis yang sama, cuma di bahagian yang berbeza iaitu ketika Dr Maszlee Malik menyatakan Kerajaan Harapan memberikan sokongan penuh kepada SMPC dan sekolah-sekolah persendirian yang lain, dan dalam masa yang sama, kerajaan bersedia untuk berbincang mengenai jenis-jenis bantuan yang sesuai disalurkan.

5. Laporan itu juga memetik kenyataan asal bahawa tiada peruntukan wang khas kepada SMPC kerana ia bukan sekolah awam dan guru-gurunya bukan dikira penjawat awam.

6. Hal ini selari dengan bantuan-bantuan yang hendak diberikan kepada sekolah-sekolah persendirian yang lain, seperti sekolah tahfiz dan sebagainya. Namun hal ini tak boleh semudah petik jari, semuanya mesti diperhalusi. Tidak ada langsung kenyataan rasmi yang mengatakan bahawa tiada bantuan kepada sekolah tahfiz.

7. Jadi, tiada kenyataan bertulis secara rasmi yang mengatakan peruntukan berupa wang yang banyak diberikan kepada SMPC. Yang menyebabkan masyarakat bergaduh dan pembangkang tepuk tangan ini hanyalah media. Atau senang cakapnya, mudahnya kita terpengaruh dengan mainan kepala tajuk media.

8. Ya, kerja mendidik memang sangat sukar. Membayangkan yang masyarakat termasuklah pemimpin parti-parti pembangkang sangatlah tak ada stamina untuk hadam laporan penuh dan bersikap kritis terhadapnya menjadi bukti yang pendidikan kena bekerja lebih keras. Dan yang paling ironi, portal media yang dituduh munafik oleh sesebuah parti akhirnya digunakan sebagai sumber untuk membangkang.

9. Nak membangkang, bangkanglah dengan kritis, buatlah sedikit bacaan daripada terus laju menulis komen sehingga lari tajuk. Kerana apa yang kita komen, melambangkan tahap fikiran kita. Kalau kita komen tapi lari tajuk, menunjukkan yang akal kita memang cetek.

Rujuk :

http://www.utusan.com.my/pendidikan/perkasakan-pelajar-tahfiz-madrasah-8211-maszlee-1.689207

https://www.malaysiakini.com/news/436107

https://www.malaysiakini.com/news/436007

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...