Khamis, 2 Ogos 2018

Buang Semangat Kecinaan Dulu Sebelum Buang Label 'Bumiputera' - Tai Zee Kin.

Oleh : Tai Zee Kin (Ditulis pada tahun 2013).

Bumiputera, kepada yang bukan Bumiputera.
Ketika perlembagaan didrafkan, warga Malaya menganggap itu adalah kompromi terbaik. Imigran Cina dan India telah tinggal di situ hanya selama 2 generasi, paling lama. (kecuali golongan peranakan Cina dan India (Chitty Peranakan) yang telah menetap sejak 1400an).

 
Pertama sekali saya ingin mengajak anda membayangkan senario ini. Bayangkan dalam masa 8 tahun, generasi kedua bagi 6-8 juta orang Bangladesh, Indonesia dan Nepal mula menuntut kewarganegaraan secara beramai-ramai, berbekalkan fakta mereka dilahirkan di Malaysia, bercakap Bahasa Melayu lebih baik dari orang Malaysia sendiri dan menjalani gaya hidup orang Malaysia.
Soalan pertama saya adalah, bagaimana hendak kita kurniakan kewarganegaraan besar-besaran dan beramai-ramai kepada mereka?
Nenek saya pernah memberitahu, situasi satu masa dahulu adalah serupa. Dia merupakan ahli MCA ketika zaman Tun Tan Cheng Lock. Orang Cina tiada tempat bergantung. Negara China sedang berperang dengan Jepun dan Komunis mengamalkan Polisi Tutup Pintu. Orang Taiwan menganggap orang Cina Malaysia sebagai "hua Qiao" dan secara teknikalnya melabel kami seolah-olah kami sememangnya telah berpindah keluar, seperti mereka yang di Amerika Syarikat atau negara-negara Eropah.
Dengan itu, satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah tersebut adalah dengan meminta kepada kerajaan ketika itu, British, untuk kewarganegaraan beramai-ramai, dengan mengambil kira sumbangan kami kepada pembangunan Malaya/ Persekutuan Tanah Melayu dan berjanji taat setia. (Zaman ketika itu, konsep "natif" / Native adalah senang : adakah anda keturunan nusantara/warga Asal (melayu, jawa, sakai, jakun) atau bukan keturunan nusantara.
British telah bersedia untuk mengiktiraf kewarganegaraan kepada orang Cina melalui Malayan Union Charter (piagam), yang mana membawa kepada 1) negeri-negeri Selat 2) Negeri-negeri Bersekutu dan 3) Negeri-negeri tidak Bersekutu untuk tertakluk di bawah Tanah Jajahan Mahkota. (Crown Colonies)
UMNO kemudian ditubuhkan untuk menentang Malayan Union. Suka atau tidak, mereka tidak bersedia untuk membenarkan penjajah British ini untuk memberikan kerakyatan secara beramai-ramai kepada imigran yang tidak berintegrasi/ mengasimilasi kepada budaya mereka (Saya gunakan perkataan "mereka" untuk merujuk kepada keturunan Nusantara - melayu, jawa, etc, kerana ketika itu perbezaan antara kaum sangat ketara, tiada cina yang boleh bertutur bahasa Melayu).
British mengaku kalah akibat tekanan dari UMNO. Begitu juga dengan kaum Cina. Tunku ditugaskan untuk mencari jalan tengah untuk memastikan kompromi antara orang keturunan Nusantara (melayu) & imigran dari Cina dan India ini.
Jalan penyelesaian, yang meyakinkan orang Melayu tempatan untuk megizinkan kewarganegaraan secara beramai-ramai untuk generasi pertama dan kedua orang Cina ini adalah, dengan syarat mereka diberi layanan "istimewa", maka Suruhanjaya Reid menggubal 'kedudukan istimewa' orang Melayu dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Orang Cina ketika itu bersetuju dan melaungkan sokongan dengan konsep ini
Ayah saya bertanya kepada saya, bila sebenarnya hakikat dan akibat dari tolak ansur/kompromi ini berakhir?
Saya beranggapan faktor UTAMA kepada perkara ini disebabkan pengekalan "kecinaan" dari datuk nenek kita. Mereka memulakan sekolah cina, mendesak untuk menggunakan bahasa Cina, menjalani gaya hidup orang Cina. Pendek kata, membina sebuah lagi wilayah Cina di luar negara China. Mengajar nilai-nilai Cina, membaca buku dari negara China (sebelum revolusi budaya) dan sebagainya. Tiada usaha daripada kaum cina untuk integrasi dengan keturunan Nusantara/Melayu pada ketika itu. Ini menyebabkan ketidakpuasan hati, yang terus menjadi faktor UTAMA yang membawa kepada idea 'bumiputera'.
Sekiranya anda mengkaji dengan teliti konsep Bumiputera, anda akan sedar bahawa tidak banyak mengenai 'mempertahankan kepentingan orang asal (Melayu)'. Ideologi dan falsafahnya melibatan 2 aspek utama.
Pertama sekali untuk membendung 'Kecinaan'. Saudagar Cina dahulu kala amat rapat dengan penguasa British. Kita ada Nyonya Peranakan dulu-dulu yang memakai kerongsang bergambaran Queen Victoria sebagai tanda setia kepada kerajaan British (rujuk kepada Museum Peranakan Singapura). Kita juga ada dewan perniagaan Cina yang mempunyai Patron Inggeris. Ini menunjukkan bahawa, selain kawalan asing terhadap ekonomi kita, orang Cina mengawal hampir 70% daripada apa yang tinggal (Profesor Shamsul Amri berkata, dalam 50-60%).
Pendek kata, Warga keturunan Nusantara/Melayu tiada kuasa ekonomi langsung. Pada pandangan mereka, sekiranya imigran-imigran ini memegang tampuk kuasa ekonomi, cuba untuk melebarkan kuasa politik, akan sekaligus menghakis "kewujudan" mereka. Anda tidak boleh menyalahkan mereka jika mempunyai pandangan sedimikian. Ia merupakan satu sentimen yang amat ketara dan biasa dalam kalangan kebanyakan dari mereka masa itu. Disebabkan itulah mereka memerlukan satu jaminan sekiranya mereka bersetuju memberi kerakyatan secara beramai-ramai kepada golongan imigran.
Aspek kedua, adalah perasaan "tidak selamat" dengan lambakan imigran Cina dan India. Terdapat kerisauan terhadap mereka yang tidak mahu mengintegrasi/ mengasimilasikan budaya mereka dengan budaya tempatan, andai mereka bersatu menentang warga Nusantara/warga asal. Perasaan sebeginilah yang mencegah warga nusantara/Melayu dahulu daripada bersetuju untuk mengiktiraf kerakyatan generasi imigran tadi.
Dengan 2 perkara ini, Tunku harus mengorak langkah. Beliau harus membuat keputusan sama ada; menolak permintaan kerakyatan secara beramai ramai orang Cina dan India, mendesak mereka pulang ke negara asal secara berperingkat, atau pun mencari titik tolak ansur antara kedua-dua pihak.
Beliau kemudiannya, menasihati Suruhanjaya Reid untuk menggubal Kontrak/Perjanjian terbesar antara Warga Nusantara/Melayu/Warga asal & Imigran, yang dikenali sebagai Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan (kontrak sosial).
Dengan pengenalan Perkara 153, warga Nusantara/asal berasa mereka boleh lega hati atas aspek kerisauan sebelum ini, iaitu serangan "Kecinaan" dan "rasa tidak selamat" seperti yang dinyata di atas. Kedudukan mereka tidak akan tergugat oleh orang imigran, tidak secara ekonominya mahupun pendidikan, kerana terjamin oleh perlembagaan.
Nenek moyang kami (Cina), yang awal-awal dulu hanyalah imigran (pendatang) generasi pertama, sangat gembira dengan tolak ansur ini sebagai pertukaran kepada taraf kerakyatan secara beramai-ramai .
Ianya hampir mustahil bagi sebuah negara dengan penduduk asal yang berkongsi budaya dan gaya hidup yang agak sama, untuk memberi kerakyatan secara beramai ramai kepada pendatang yang langsung tidak berkongsi persamaan dengan budaya mereka. Asalnya orang Cina dan India tidak mahu asimilasi dan integrasi budaya, tetapi menuntut kerakyatan secara beramai-ramai. Wajarlah warga Nusantara/Melayu/warga asal menentang perkara itu. Orang Cina dan India kemudian sedar ianya berbaloi untuk bersetuju dengan perjanjian itu, memandangan mereka tiada tempat lain ingin dituju.
Atau, senario kedua, mereka kekal sebagai penduduk tetap (PR) sahaja, dan tidak mendapat kerakyatan dari orang Melayu. Sudah tentu, ianya bukan idea yang baik. Mereka menginginkan KERAKYATAN.
Bayangkan, generasi kedua/ ketiga orang Bangladesh atau Nepal atau Indonesia, yang membentuk 6-9 juta populasi Malaysia kini, menuntut hak kerakyatan secara beramai-ramai di Malaysia. Ia termasuklah kelebihan tertentu, dana, pendidikan, penjagaan kesihatan dan juga HAK UNTUK MENGUNDI.
Mereka boleh saja mengungkit bahawa mereka membayar cukai, menyumbang kepada negara, membantu perkembangan ekonomi. Mereka boleh menuntut bahawa mereka dilahirkan di Malaysia dan menginginkan kerakyatan. Perlu diingat, bukan seorang dua, tapi 6-9 juta KERAKYATAN BERAMAI-RAMAI.
Apakah anda mampu memberikan taraf kerakyatan Beramai-ramai sebanyak 9 000 000 kepada mereka?
Begitulah, Warga Nusantara/Melayu/asal berpuas hati dengan pemberian kerakyatan secara beramai-ramai dahulu kepada imigran Cina dan India, selagi kedudukan mereka terjamin dalam pendidikan dan ekonomi dan sebagainya seperti tercatat dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimana dengan anda? Letakkan diri anda dalam keadaan ini.
Untuk menjawab soalan bapa saya, bilakah konsep BUMIPUTERA akan berakhir? Saya menjawab, setelah aspek "Kecinaan" dan "perasaan tidak selamat" (Chineseness & insecurity) itu berhenti menghantui mereka.
Sehingga kini, semakin ramai warga Nusanstara/Melayu/Asal yang mempunyai titik persamaan dengan orang Cina dan bukan-Bumiputera. Sebab itulah anda lihat semakin ramai orang Melayu yang bersedia untuk menyerahkan status Bumiputera itu (bukan ramai, tetapi lebih ramai dari dahulukala).
Namun demikian, titik persamaan itu tidak cukup kuat. Lihat saja lelaki Cina yang ditumbuk di KFC, dia membuat sidang media. Lelaki ini, tidak boleh bercakap BAHASA MELAYU MAHUPUN INGGERIS. Dan saya boleh katakan kepada anda, terlalu ramai orang Cina yang sebegini di Malaysia. Begitu banyak orang Cina bandar duduk di PPR, tak boleh bercakap Melayu atau Inggeris. Kawan-kawan saya di Kedah juga begitu.
Orang-orang Cina ini pergi ke SJKC, atau sekolah swasta Cina, pergi ke Taiwan/ China untuk menyambung pengajian. Sebahagiannya ke Singapura dan Eropah ataupun Amerika Syarikat.
Mereka tidak pernah berselisih dengan orang Melayu.
Mereka tidak tahu apa itu khutbah Jumaat.
Mereka tidak tahu mengapa perempuan Kelantan dipanggil Mek (isikan nama di sini).
Mereka tidak tahu mengapa lelaki Melayu Perak dipanggil Yob (isikan nama di sini).
Mereka tidak tahu dan tidak faham pemikiran dan cara hidup orang Melayu.
Secara dasarnya, mereka tidak mahu berintegrasi, asimilasi dan berusaha mencari titik persamaan dengan orang Melayu, seperti kaum cina di negara lain (kecuali tanah besar cina, taiwan, HK dan singapore).
Malahan di kedai Mamak, Cina duduk dengan Cina, Melayu dengan Melayu. Hanya sesekali, dan jarang untuk melihat 3 bangsa Melayu Cina India bersama.
Tidak cukup!
Tidak cukup untuk memberitahu warga Nusantara/Melayu/asal yang mereka akan selamat dari kesan 'kecinaan'. Tidak cukup sekadar memberitahu yang mereka boleh 'hidup' dan 'rasa selamat' tentang kepentingan ekonomi dan pendidikan.
Untuk melihat ianya berlaku, orang Cina harus melonggarkan prinsip KECINAAN (bukan buang, cuma meredakan sedikit). Kita tidak boleh mengenepikan konsep Bumiputera. Ia bahaya.
Penyelesaian untuk Kontrak (Perkara 153) Perlembagaan Persekutuan adalah jelas.

Sama ada:
1) Kita mengagungkan Kontrak tersebuat buat selama-lamanya, dan juga mengamalkan tabiat berunsurkan tinggalan keturunan nenek moyang kita (sekolah Cina, bahasa Cina, dewan perniagaan Cina, apa jua elemen CINA dalam aspek pendidikan dan ekonomi).
atau
2) Kita Mengintegrasi atau mengasimilasikan budaya kita dengan budaya warga Nusantara/melayu/asal..
Untuk kita MENAMATKAN KONTRAK (Perkara 153) itu, kita perlulah mencari lebih banyak titik persamaan dengan orang Melayu.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...