Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 31 Julai 2018

Pensyarah UKM Kata Reformasi Kini Dah Mati Dan Digantikan Dengan Neo - Mahathirisme.

Oleh : Abdul Muein Abadi (Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)).

ISU KHAZANAH NASIONAL DAN PROJEK KERETA KETIGA: MATINYA REFORMASI DIGANTI NEO-MAHATHIRISME.

1. Apa dah jadi dengan kerajaan Pakatan Harapan? Mengapa terang-terangan sekali individu tertentu ‘membolot’ posisi utama dalam sektor ekonomi politik negara? Apa guna Perdana Menteri tidak menjadi Menteri Kewangan jika Khazanah Nasional tetap dalam genggaman beliau? Di mana janji Reformasi institusi yang diperjuangkan? Adakah ‘Neo-Mahathirisme’ sudah mengalahkan ‘Reformasi’?


2. Terbaru Khazanah Nasional akhirnya sekali lagi dipengerusikan Tun Mahathir sendiri – beberapa hari selepas ia kehilangan RM2 bilion dalam satu malam. Langkah ini bertentangan sama sekali dengan semangat tiga janji dalam Manifesto Pakatan iaitu: “Kuasa Perdana Menteri untuk memanipulasi institusi penting negara juga akan dihapuskan” (Manifesto Halaman 49), “pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan professional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka” (Manifesto Halaman 70), dan juga “Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya jawatan Menteri Kewangan” (Manifesto halaman 48).

3. Benar Tun Mahathir tidak menjadi Menteri Kewangan, namun Reformasi pemisahan jawatan Perdana Menteri dengan Menteri Kewangan tiada gunanya apabila beliau sendiri hari ini mempengerusikan Khazanah Nasional.

4. Benar dalam kes Khazanah ini ada beza antara Syarikat milik Kerajaan (GLC) dengan Syarikat Pelaburan Milik Kerajaan (GLIC). Benar bahawa Khazanah ialah GLIC dan bukannya GLC. Dan benar juga bahawa Manifesto Pakatan menyatakan bahawa ahli lembaga Pengarah GLC yang akan dilantik dalam kalangan professional, bukannya GLIC. Namun GLIC seperti Khazanah sebenarnya berkuasa dalam menentukan pelaburan GLC-GLC ini disebabkan kawalan pengurusan dan pemilikan mereka.

5. Jelas bahawa hakikatnya semangat ‘Reformasi Institusi’ kini hanya tinggal slogan apabila berlakunya siri ‘pembolotan’ jawatan ini – termasuklah jawatan Pengarah GLIC yang turut diberi kepada seorang Menteri yang juga merupakan Timbalan Presiden sebuah parti politik.

6. YB Azmin Ali iaitu Timbalan Presiden parti PKR merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi dilantik menjadi Pengarah Khazanah, bersama-sama dengan seorang lagi tokoh yang rapat dengan Tun Mahathir iaitu Tan Sri Hassan Marican. Tan Sri Hassan Marican juga dalam masa yang sama ialah ahli Majlis Penasihat Kerajaan dan dijangka bakal menjadi Pengerusi Petronas.

7. Sebelum ini, seorang lagi ahli Majlis Penasihat Kerajaan iaitu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bukan hanya dilantik menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB), bahkan juga Pengerusi Sime Darby Property Berhad. Begitu juga dengan Tun Daim yang menjadi utusan khas ke China, mengatasi Menteri Luar dan Menteri Kewangan.

8. Pelantikan ini telah segera menimbulkan persoalan tentang sejauh mana agenda ‘Reformasi’ masih hidup dalam kerajaan Pakatan hari ini? Mengapa sebaliknya petanda gejala membolot posisi tertentu kepada individu tertentu makin ketara? Perlu diingat bahawa Reformasi institusi adalah antara Teras utama dalam Manifesto Pakatan. Namun berdasarkan realiti percaturan politik semasa, sebenarnya boleh dikatakan bahawa agenda ‘Reformasi’ telah diserap ke dalam kelahiran satu fenomena baharu yang penulis istilahkan sebagai ‘Neo-Mahathirisme’.

9. Apa itu ‘Neo-Mahathirisme’? Penulis mendefinisikan Neo-Mahathirisme sebagai praktik atau amalan ‘Mahathirisme’ lama yang dilunakkan sedikit dengan agenda Reformasi. Akibatnya, di bawah Noe-Mahathirisme, ada sesetengah hal di mana Mahathirisme yang lama itu tunduk kepada agenda Reformasi – seperti media yang dibenarkan terbuka, pelantikan jawatan yang tidak lagi eksklusif kepada orang Melayu, tiada lagi parti dominan seperti UMNO, dan sokongan kepada penghapusan akta-akta yang dikatakan drakonian dan menindas.

10. Namun pada sisi yang lain, Neo-Mahathirisme ini masih mengekalkan praktik lama Mahathirisme seperti penguasaan sekelompok elit ke atas sektor ekonomi politik, pelaksanaan ideologi ekonomi ‘Neoliberal’ yang diadun dengan projek berskala nasional, serta ketinggian Nilai Asia dalam mengadaptasi kemajuan teknologi Barat untuk pembangunan negara (contohnya Dasar Pandang ke Timur).

11. Akibatnya, berlakulah pemusatan kuasa dan monopoli kedudukan oleh elit tertentu meski pun dalam Era Malaysia Baharu. Tidak menghairankan sama sekali apabila Tun Mahathir beria-ia untuk mewujudkan projek kereta nasional ketiga (disebut-sebut sebagai Perotiga), tanpa mempedulikan bantahan suara rakyat yang seharusnya menjadi tonggak ‘Reformasi’.

12. Malah, keputusan pelantikan Pengerusi dan Pengarah Khazanah ini dibuat tidak lama selepas seorang lagi ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Jomo Kwame Sundaram membuat kenyataan bahawa projek kereta nasional ketiga yang diimpikan Tun Mahathir perlu diberi pertimbangan. Sejarah membuktikan bahawa ada kaitan yang cukup rapat antara Khazanah di bawah teraju Tun Mahathir dengan projek berkaitan kereta.

13. Perlu diingat bahawa apabila Khazanah diwujudkan pada September 1993 oleh Tun Dr. Mahahthir, antara usahasama (joint-venture) pertama Khazanah ialah projek kereta yang melibatkan Jepun dan China. Seperti mana laporan Business Times (8 April 1994), Khazanah menjadi sandaran Tun Mahathir untuk melabur di negara sedang meningkat naik ketika itu – China dan Jepun. Rujuk karya Sarjana Universiti Malaya, Prof Edmund Terence Gomez bertajuk ‘Minister of Finance Incorporated: Ownership and Control of Corporate Malaysia’ halaman 37-47.

14. Secara khusus, pelaburan Khazanah ketika itu adalah melibatkan pengeluaran dan pengedaran produk berkaitan kereta di Beijing yang diusahakan oleh sebuah syarikat Jepun iaitu Mitsubishi Corp dengan tiga syarikat milik kerajaan China iaitu China North Industrial Group, China Aerospace Corp, dan Aviation Industries of China (The Straits Times 10 Jun 1994).

15. Kini selepas 25 tahun, modus operandi Tun Mahathir kelihatan seolah-olah cuba mengulangi kembali kisah usahasama Khazanah-projek kereta seperti pada 1993. Malah, pada tahun 1993 juga Tun Mahathir mengetuai delegasi besar-besaran Malaysia ke China dengan separuh daripadanya terdiri daripada ahli perniagaan. Dirancang atau sekadar kebetulan, Tun Mahathir kini bukan sahaja kembali menerajui Khazanah dan mengusulkan projek kereta nasional ketiga (ketika di Jepun dan Indonesia), malah beliau juga akan melawat China pada Ogos ini.

16. Selain daripada rangkaian tiga segi Khazanah-Projek kereta-China/Jepun ini, fenomena ‘Neo-Mahathirisme’ juga boleh dikesan berlegar dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya di Selangor dan dikatakan didominasi oleh ‘kem Azmin’. Pencabar jawatan Timbalan Presiden PKR iaitu Rafizi Ramli pula dikatakan masih teguh dengan ideal ‘Reformasi’. Terkini, bekas setiausaha AMK PKR Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman mendedahkan betapa Selangor kini yang dikuasai Kem Azmin mengamalkan “kronisme dan nepotisme" (https://m.malaysiakini.com/news/436576). Kenyataan beliau turut disokong dua lagi pemimpin peringkat cabang PKR bagi kawasan Sepang, dengan Pemangku ketua Pemuda PKR cabang Sabak Bernam Abdul Mutalib Ahmad turut meletak jawatan sebagai solidariti dengan rakan-rakan AMK yang menentang “kronisme dan nepotisme”.

17. Maka tidak hairanlah apabila kem Rafizi Ramli menggunakan slogan ‘Reformasi 2.0’ kerana ‘Reformasi’ yang asal seolah-olah telah mati diganti Neo-Mahathirisme pasca PRU-14. Ringkasnya, pertembungan Rafizi Ramli menentang Azmin Ali dalam Pemilihan PKR 2018 ini bakal menjadi penentu: adakah legasi Neo-Mahathirisme akan menguasai PKR? Ataukah Reformis di bawah slogan Reformasi 2.0 akan berjaya menghalang rangkaian Neo-Mahathirisme daripada terus mara? Bahkan peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Kelapan juga berkemungkinan bergantung pada keputusan pemilihan ini.

Sama-sama kita nantikan.

Sementara itu, regu Tun Mahathir-Azmin Ali terus berada di tampuk kuasa dengan praktik Neo-Mahathirisme yang baru sahaja bermula, persis regu Tun Mahathir-Anwar Ibrahim sewaktu era Mahathirisme dahulu.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...