Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 7 Jun 2018

Terima Kasih PM Bagi RM100K Kepada Pembangkang Meskipun Zaman BN Kami Tak Pernah Buat - KJ.

Kenyataan Media

Saya merujuk kepada sidang akhbar YAB Perdana Menteri selepas Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, terutamanya tentang dua pengumuman berikut:

1. Tarikh sidang Parlimen yang akan bermula pada 16 Julai 2018


2. Peruntukan untuk Ahli Dewan Rakyat




Institusi Parlimen bakal memainkan peranan yang penting dalam menterjemahkan iltizam rakyat atau 'will of the people' berikutan Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu. Bagi pihak Kerajaan, sudah pasti agenda perundangan berdasarkan kepada janji manifesto mereka akan diutamakan. YAB PM telah pun mengumumkan cadangan pihak Kerajaan untuk memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan memansuhkan Akta Berita Palsu yang merupakan antara janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Bagi pihak Barisan Nasional (BN), walaupun PRU-14 merupakan penolakan terhadap parti dan agenda kami, rakyat mahu BN memainkan peranan sebagai sebuah pembangkang berwibawa yang dapat menyemak dan mengimbangi Kerajaan PH. Antara mesej utama lain yang dihantar oleh pengundi juga adalah agar tiada lagi Kerajaan yang kebal daripada kehendak rakyat dan setiap langkah Kerajaan akan diperiksa dengan teliti untuk memastikan pentadbiran yang cekap serta berintegriti.

Saya sedar bahawa BN tidak akan diterima serta-merta sebagai sebuah pembangkang yang berwibawa. Yang jelas dan nyata, defisit kepercayaan yang wujud di kalangan rakyat terhadap kami sangat luas. Sebahagian besar daripada kami juga mengambil tanggungjawab bersama atas segala keputusan yang dibuat oleh Kerajaan yang lepas. Ini termasuklah diri saya selaku bekas anggota Jemaah Menteri.

Namun demikian, tugas kami sebagai pembangkang mesti diteruskan. Biarpun ada defisit kepercayaan terhadap kami, BN mesti tampil untuk menyemak dan mengimbang Kerajaan PH, terutamanya di Parlimen demi mengukuhkan institusi demokrasi ulung yang dituntut dalam Malaysia baharu ini.

Oleh itu, saya mencadangkan agar BN segera memulakan persiapan untuk sidang Parlimen pertama. Langkah pertama adalah untuk memisahkan tugas antara parti BN dan juga wakil-wakil rakyat BN di Parlimen. Pengerusi BN tidak semestinya menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen. Malah, Pengerusi BN perlu memberi tumpuan kepada usaha menstrukturkan semula BN. Tugas-tugas perundangan di Parlimen boleh dipikul oleh pasukan lain yang dipandu oleh pendirian dan polisi yang ditentukan oleh parti BN itu sendiri.

Setelah Ketua Pembangkang dipilih di kalangan ahli-ahli Parlimen BN, satu Kabinet bayangan perlu dibentuk. Walaupun tiada peruntukan rasmi untuk mewujudkan Kabinet bayangan, satu pasukan boleh diumum secara tidak rasmi bagi membolehkan rakyat merujuk dengan mudah siapa Menteri bayangan bagi menyemak dan mengimbangi tugas Menteri Kerajaan.

Sebagai pembangkang, BN juga akan mengusahakan supaya peranan Parlimen diperkukuhkan lagi. Saya akui perkara ini tidak dibuat sepenuhnya pada pentadbiran BN, tetapi semangat Malaysia baharu ini menuntut untuk kita semua berubah, terutamanya BN. Justeru, saya harap Kerajaan dapat pertimbangkan beberapa langkah pembaharuan yang juga disebut dalam manifesto Pakatan Harapan antaranya kewujudan Jawatankuasa Terpilih Parlimen atau Parliamentary Select Committee untuk menyemak rang undang-undang, kewujudan Jawatankuasa Sementara, bantuan untuk mewujudkan perkumpulan tidak rasmi atau ‘Caucus', serta peruntukan masa semasa sidang Dewan Rakyat baik dalam membawa agenda pembangkang untuk perbahasan mahupun sesi khas seperti Soalan kepada Perdana Menteri.

BN juga wajar menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan tidak hanya ‘membangkang semata-mata kerana kita pembangkang’ (oppose for opposition’s sake). Perlu diingat, BN masih mempunyai majoriti dalam Dewan Negara. Sebarang rang undang-undang perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ini termasuklah cadangan Kerajaan untuk memperkenalkan semula SST pada sesi Parlimen kali ini. Saya berpandangan, apabila ia melibatkan kepentingan rakyat dan negara, ahli-ahli Dewan Negara BN wajib memberi kerjasama kepada agenda yang dibawa oleh Kerajaan. Sebagai contoh, walaupun mungkin terdapat perbezaan pendapat tentang SST, ahli-ahli Dewan Negara BN perlu meluluskan rang undang-undang ini kerana tanpa SST, kutipan hasil Kerajaan akan terjejas dan ini akan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat. Atas prinsip kepentingan negara dan ‘maslahah al-ammah’, BN mesti menyokong.

Berkenaan peruntukan RM100,000 yang diberi kepada ahli-ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada YAB PM. Walaupun jumlahnya tidak sama dengan apa yang diberi kepada rakan-rakan dari PH, pemberian ini lebih baik daripada apa yang diamalkan kami dahulu yakni tiada apa-apa peruntukan diberi kepada wakil-wakil rakyat pembangkang.

Saya harap di masa yang akan datang, Kerajaan dapat mempertimbangkan jumlah yang sama untuk wakil-wakil rakyat BN juga. Atas semangat Malaysia baharu, pengundi tidak sepatutnya dihukum atas pemilihan politik mereka semasa pilihan raya. Untuk memastikan tiada apa-apa ketirisan berlaku dalam pengagihan peruntukan tersebut, syarat-syarat ketat boleh diletakkan dan sistem pemantauan dan audit yang telus boleh dilaksana ke atas peruntukan yang diberi kepada semua ahli Dewan Rakyat. Saya berharap YAB PM boleh mempertimbangkan perkara ini untuk kesejahteraan rakyat termasuk yang berada di kawasan yang diwakili oleh BN.

Khairy Jamaluddin,
Ahli Parlimen Rembau.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...