Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 6 Jun 2018

M.Kulasegaran Hapuskan SOP Rujuk Menteri Untuk Kes Buruh Dianiaya Majikan..

Oleh : Bernama
 
Kuasa menteri sebagai rujukan dan tapisan sebelum sesuatu kes dibawa ke Mahkamah Perusahaan akan dibatalkan, bagi membolehkan penyelesaian kes antara majikan serta pekerja dipercepatkan.




Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran berkata setakat ini, kira-kira 1,300 kes tertunggak yang memerlukan rujukan dan keputusan menteri untuk dibawa ke Mahkamah Perusahaan.

“Yang menjadi rumit…contohnya, seseorang pekerja dibuang kerja dan dia merujuk perkara ini ke Jabatan Perhubungan Perusahaan yang mana majikan akan dipanggil untuk penyelesaian.

“Sekiranya tidak ada jalan penyelesaian, kes ini akan dirujuk kepada menteri dan menteri akan membuat keputusan sama ada untuk dibawa ke Mahkamah Perusahaan atau tidak.

“Saya (seorang menteri) menjadi proses untuk tapisan. Saya rasa tidak perlu wujudnya kuasa tersebut. Jika sesiapa mahu merujuk kepada Mahkamah Perusahaan, dia harus terus pergi (mahkamah), tidak perlu rujuk menteri,”
katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif, di sini.

Katanya, beliau akan membawa cadangan pembatalan kuasa menteri itu ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat sebelum dibentangkan di Parlimen.

Dalam pada itu, Kulasegaran mengarahkan pegawai dan kakitangan kementeriannya menyelesaikan 1,300 kes tertunggak itu dalam tempoh 31 hari, bermula Khamis lalu (31 Mei).

“Saya beri masa 31 hari untuk selesaikan kes yang ada di sini (kementerian). Kalau mereka perlu kerja malam, Sabtu atau Ahad pun kerjalah. Kalau perlu, saya pun akan sama-sama bekerja lebih masa. Janji selesaikan kes tertunggak itu dalam 31 hari.”


Katanya, kebanyakan kes tertunggak itu melibatkan pekerja tempatan yang dipaksa berhenti kerja oleh majikan.

Dalam pada itu, Kulasegaran yang mempunyai pengalaman sebagai peguam lebih 30 tahun berkata, pihaknya sedang mencari mekanisme terbaik bagi mengurangkan kos yuran guaman di Mahkamah Perusahaan dan Mahkamah Buruh.

“Sebagai peguam yang banyak mengendalikan kes-kes di Mahkamah Buruh dan Mahkamah Perusahaan, saya dapati ada situasi yuran guaman melebihi jumlah dituntut di mahkamah.

“Contohnya terdapat kes Mahkamah Buruh yang tuntutan hanya RM2,000 tetapi yuran guaman lebih RM2,000. Jadi, kita akan cari jalan bagaimana kita boleh kurangkan kos yuran guaman.”

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...