Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 3 Jun 2018

Jangan Pakai Baju Tentera & Beri Pangkat Sesuka Hati Pada Ahli Politik, Artis Nasihat Pesara Kepada Mat Sabu.

Oleh : Free Malaysia Today

Seorang bekas pegawai kanan tentera menggesa Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menghentikan amalan ahli politik dan selebriti memakai baju seragam dan diberikan pangkat tentera kerana ia merendahkan penghormatan yang diberikan kepada gelaran itu.


Bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein berpakaian seragam tentera April lepas. Pesara tentera mengkritik amalan ahli politik memakai seragam tentera. (Gambar Bernama)
Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, yang mengetuai Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu perlu menolak pemakaian seragam tentera.

Bercakap kepada FMT, Arshad berkata, Mat Sabu perlu menarik balik gelaran tentera yang pernah diberikan kepada orang awam kerana proses mendapat gelaran itu tidak mudah memandangkan anggota tentera terpaksa melalui pelbagai ujian dan kursus sepanjang perkhidmatan mereka.

“Kami perlu bersusah payah untuk mendapat pangkat itu pada seragam kami. Saya rasa sangat tidak masuk akal tentera memberikan pangkat kehormat kepada menteri besar, ahli politik dan selebriti.”

Beliau menyifatkan ia “memalukan” melihat sesetengah ahli politik “tidak tahu memakai seragam mereka dengan betul”.

“Gambaran apa yang kita berikan kepada angkatan tentera?

“Ini mesti dihentikan. Hanya ada 2 badan yang boleh memakai seragam, angkatan tentera dan polis. Menteri pertahanan pun patut dilarang memakai seragam,”
katanya.

Arshad berkata, pada masa lalu, menteri pertahanan menganggap seragam tentera sebagai “fesyen baru”.

Katanya, mereka turut memakai seragam Lencana Ahli Payung Terjun yang hanya dipakai penerjun tentera, ketika memeriksa perbarisan kawad hormat.

“Ada yang maut mempertahankan negara dalam terjunan itu. Mereka pernah terjun berapa kali?

“Pernahkah anda lihat menteri British atau Perancis memakai seragam tentera?”
soalnya.

Arshad berkata, pangkat kehormat biasanya diberikan kepada ketua pasukan tentera wataniah, yang majoritinya ialah sukarelawan awam.

Katanya, kebanyakan mereka diberikan pangkat kolonel, tetapi bukan brigadier jeneral, seperti diberikan kepada ahli politik dan selebriti.

“Bukan murah untuk mendapat pangkat kolonel. Anda perlu bekerja keras. Paling tidak perlu lulus latihan asas tentera.”
Arshad berkata, beliau hanya mendapat pangkat brigadier jeneralnya ketika berumur 50 tahun dan hampir pencen. - 3 Jun 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...