Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 4 Jun 2018

Bersikap Adillah Pada Tommy Thomas, Bukan Kes Chin Peng Je Beliau Wakili - Hizri Hasshan.

Oleh : Hizri Hasshan

Pencalonan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara (AG) yang baru!

Pertamanya, saya tidak pasti kesahihan sama ada PM telah mengesyorkan kepada YDPA untuk pemecatan TS Apandi Ali dan mencalonkan Tommy Thomas (peguam kanan yang masih beramal sebagai Peguambela & Peguamcara) untuk memegang jawatan sebagai Peguam Negara (AG) yang baru.



Bagaimanapun, saya berpandangan bahawa PM mempunyai peranan di bawah Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati YDPA untuk melantik Peguam Negara. Itu adalah kuasa YDPA dan peranan PM yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan. Berkenaan syarat pelantikan, mana-mana calon yang layak untuk dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan adalah layak dicalonkan dan dilantik sebagai AG tidak kira sama ada beliau adalah peguam persendirian (private practitioner) atau daripada Jabatan Peguam Negara atau Badan Kehakiman.

Selagi mana pemecatan dan pelantikan AG dibuat mengikut Perlembagaan, ia adalah sah dan tidak perlu dipertikaikan.

Namun, saya sedikit terkesan dengan tindakan beberapa pihak yang cuba membuat tindakan melabel dan membina persepsi negatif terhadap Tommy Thomas dengan mengatakan Tommy Thomas adalah peguam Chin Peng (pemimpin komunis) dan calon tajaan DAP dan anti Islam. Perlu ditekankan bahawa tugas peguam adalah untuk berhujah (without fear and favour) bagi mewakili anakguam dan ia tidak bermakna beliau semestinya mendokong ideologi dipegang oleh anakguamnya.

Dalam isu Tommy Thomas, kita perlu lah berlaku adil dengan melihat juga kes-kes lain yang pernah dikendalikan beliau sebelum kita membuat penilaian. Di sini, saya ingin membawa beberapa kes yang pernah dikendalikan oleh Tommy Thomas yang mungkin tidak ditonjolkan :

1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Lain-Lain lwn. Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof & Lain-Lain [2015] 9 CLJ 749 – Mahkamah Rayuan.


[Dalam kes ini, Tommy Thomas yang mewakili parti PAS, DAP dan PKR memfailkan tindakan terhadap ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya berkenaan konspirasi frod melibatkan penggunaan dakwat kekal dalam PRU13.]

2. Kerajaan Negeri Kelantan lwn. Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) [2014] 7 CLJ 597 – Mahkamah Persekutuan.


[Dalam kes ini, Tommy Thomas mewakili Kerajaan Kelantan (dipimpin PAS) untuk menuntut hak berkenaan Perjanjian yang dipanggil "Kelantan Petroleum Agreement" dan "Kelantan Grant" yang dimeterai pada 9 Mei 1975 di antara Kerajaan Negeri Kelantan (Plaintif) dan Petronas (Defendan)]

3. Government State of Penang & Anor v. Government of Malaysia & Anor [2014] 7 CLJ 861 – Mahkamah Persekutuan.


[Dalam kes ini, Tommy Thomas mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang melawan Kerajaan Persekutuan bagi memohon deklarasi bahawa kerajaan negeri mempunyai bidangkuasa untuk meluluskan undang-undang berkaitan pemilihan kerajaan tempatan (local government election)]

4. PETRONAS lwn Kerajaan Negeri Terengganu [2003] 4 CLJ 337 – Mahkamah Rayuan.


[Tommy Thomas mewakili Kerajaan Negeri Terengganu untuk membuat tuntutan royalti minyak terhadap PETRONAS]

5. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim v. Bank Islam Malaysia Berhad [2013] 4 CLJ 794 – Mahkamah Rayuan.


[Tommy Thomas mewakili Bank Islam Malaysia Berhad dan mempertahankan kedudukan dan kuasa Majlis Penasihat Syariah di bawah seksyen 56 dan 57 Akta Bank Negara 2009. Dalam kes ini, TS Khalid Ibrahim mencabar kuasa Majlis Penasihat Syariah dengan mengatakan bahawa ia tidak sah dan tidak mengikut Perlembagaan]

Akhir kalam, dalam menilai, lihat lah keseluruhan aspek kelayakan seseorang. Dan lantiklah seseorang berdasarkan kelayakan, kepakaran dan pengalamannya.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...