Sabtu, 20 Oktober 2018

Ini Luahan Hati Rafizi Ramli Yang Sering Dicaci Maki..

RAFIZI RAMLI | Saya sering mendapat surat begini, atau pun mesej melalui Whatsapp atau Messenger. Jika saya mendapat surat yang dihantar khusus begini, saya akan menjawab kembali dengan letterhead yang cantik (ha3).


Saya berterima kasih kepada sahabat-sahabat di luar yang menghantar mesej atau surat kepada saya memohon maaf jika sebelum ini mereka bersangka buruk, atau menyebarkan perkara yang tidak benar.

Saudara-saudari tidaklah perlu berbuat begitu, kerana saya tidak pernah mengambil hati dan selalunya saya memaafkan sesiapa pun dengan pantas.

Sejak 2010 apabila saya kembali mendepani pimpinan KEADILAN, setiap masa saya diserang dan menjadi bahan kontroversi.

Banyak yang mulanya berkawan dan memuji saya ke langit, kemudian memusuhi saya. Banyak juga yang mulanya membenci saya dan akhirnya menghormati saya.

Selepas PRU14 baru-baru ini, ada juga penyokong PH yang sebelum itu memuji-muji saya ke langit, kemudiannya menghamburkan kata-kata yang kesat.

Hidup sebagai ahli politik yang mendapat perhatian awam, tidak akan sunyi dari cacian dan cemuhan. Ada yang akhirnya akan menghantar surat meminta maaf, ada yang menghantar mesej. Ramai hanya akan mendiamkan sahaja.

Itu lumrah dan jika saya tidak bersedia untuk menerima lumrah itu, saya tidak wajar menawarkan diri menjadi orang politik.

Sebab itu, dari awal lagi saya tidak pernah mengambil hati atau berdendam dengan sesiapa yang memaki hamun saya. Saya juga tidak pernah berasa bangga bila dipuji, kerana saya tahu orang yang terlalu senang memuji itu juga selalunya senang berubah mengeluarkan kata-kata kesat.

Kepada sahabat-sahabat di luar, kalau pun pernah anda menyebarkan perkara yang tidak betul mengenai saya, atau bersangka buruk, saya telah memaafkan semua yang pernah melakukan demikian.

Jangan bimbang - hidup yang terlalu diisi dengan rasa marah, benci dan perasaan serong terhadap orang lain, adalah hidup yang tidak bahagia.

Petua kebahagian yang saya amalkan - saya tidak pedulikan kata manusia, saya hanya takut dan pedulikan pandangan Allah SWT terhadap saya. - 20 Oktober 2018

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...