Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 18 Oktober 2018

Ahli Perniagaan Saman Najib Dan Rosmah Kerana Rugi RM510 Juta Akibat Dakwaan Konspirasi.

BERNAMA | Ahli perniagaan, J.R.Deepak Jaikishan, memfailkan saman menuntut ganti rugi lebih RM600 juta terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri serta dua lagi berhubung dakwaan tort konspirasi sehingga beliau mengalami kerugian.


Deepak Jaikishan, 46, memfailkan saman itu Jumaat lepas di Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui Tetuan Haniff Khatri dengan menamakan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Boustead Holdings Berhad dan Bakti Wira Development Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga keempat.

Mengikut penyataan tuntutan, plaintif mendakwa beliau adalah bekas pengarah dan pemilik saham majoriti syarikat Astacanggih Sdn Bhd dan pemilik saham minoriti di syarikat Awan Megah (M) Sdn Bhd manakala Bakti Wira Development adalah anak syarikat Boustead Holdings.

Beliau mendakwa beliau mengambil tindakan itu untuk menuntut pelbagai kerugian yang dialaminya akibat tort konspirasi dan pengaruh tidak wajar semua defendan.

Plaintif mendakwa melalui perjanjian penswastaan pada 8 Jun 2005, Awan Megah memasuki perjanjian dengan kerajaan dan Syarikat Tanah Dan Harta Sdn Bhd (STH) untuk membina Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS).

Plaintif mendakwa pembinaan itu akan dilaksanakan di dua tanah milik kerajaan Selangor di Kapar, Klang serta di Bukit Raja, dan Awan Megah menawarkan Astacanggih untuk membeli tanah itu dengan harga RM118,573,500 melalui perjanjian perolehan yang ditandatangani kedua-dua pihak pada 16 Mei 2007.

Beliau mendakwa, sebagai balasan Astacanggih perlu membayar deposit RM13 juta kepada Awan Megah.

Katanya Awan Megah melalui Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah iaitu Pengarah dan pemilik saham terbesar Awan Megah perlu memasuki Perjanjian Pegangan Saham antara pemegang saham Astacanggih iaitu dengan plaintif, Datuk Ikhwan Salim Sujak dan Mohd Shukri Abdullah di mana saham 20 peratus iaitu bernilai RM4 juta akan diberikan kepada Raja Ropiaah di dalam Astacanggih.

Plaintif mendakwa pada masa itu, Raja Ropiaah merupakan Ketua Wanita UMNO Selangor dan merupakan rakan baik dan/atau proksi dan kroni kepada Najib dan Rosmah.

Deepak mendakwa, Raja Ropiaah gagal mematuhi perjanjian perolehan dan gagal memberi geran asal bagi semua tanah itu untuk dipindah milik kepada Astacanggih menyebabkan tanah itu tidak dapat ditukar hak milik kepada Astacanggih sehingga kini.

Deepak mendakwa akibat semua daripada konspirasi itu beliau mengalami kerugian hampir RM510 juta dan oleh itu beliau memohon ganti rugi am RM600 juta, teladan RM50 juta, ganti rugi berpanjangan RM26 juta dan kos serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - 18 Oktober 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...