Sabtu, 7 Julai 2018

Pengerusi MAVCOM Bakal Meletakkan Jawatan.

Oleh : Bernama

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) Tan Sri Jen (B) Abdullah Ahmad akan meletak jawatan, kata sumber.

"Saya tidak boleh menyatakan apa-apa pada masa ini. Tetapi saya boleh memberitahu anda bahawa dia akan meletakkan jawatan," kata sumber yang enggan dikenali itu kepada Bernama.

 
Menurutnya, kenyataan mengenai peletakan jawatan itu akan dikeluarkan kemudian.

MAVCOM menarik perhatian baru-baru ini berikutan gesaan beberapa syarikat penerbangan tempatan, iaitu AirAsia, Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd dan Suasa Airlines Sdn Bhd agar ia dimansuhkan.

Menurut syarikat terbabit, suruhanjaya berkenaan tidak faham bagaimana industri penerbangan berfungsi.

Tindakan MAVCOM menaikkan kadar caj perkhidmatan penumpang juga tidak diterima oleh pemain industri dan pelancong.

Abdullah, seorang jeneral tentera udara yang bersara, telah berkhidmat dengan MAVCOM lebih daripada dua tahun dan pentadbirannya menerima lebih daripada 3,900 aduan awam dan berjaya menyelesaikan sehingga 93 peratus daripadanya dalam masa 30 hari.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini mendedahkan bahawa gaji Abdullah pada masa ini adalah kira-kira RM85,000 sebulan, iaitu lebih empat kali ganda daripada apa yang diperoleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Loke berkata, perdana menteri telah memberi arahan untuk kajian semula gaji selepas didapati gaji dan elaun bulanan Abdullah pada 2016 berjumlah RM78,300.

Menurutnya, terdapat kenaikan tiga peratus pada 2017 dan kenaikan lima peratus lagi pada 2018 yang menjadikan gaji semasa beliau RM85,000 sebulan. - 7 Julai 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...