Ahad, 1 Julai 2018

Beku Akaun PAS Langkah Untuk Wujudkan Satu Parti Macam Komunis Kata Iskandar A. Samad.

Kenyataan Media

CADANGAN PEMBEKUAN AKAUN PAS : LANGKAH AWAL KE ARAH NEGARA SATU PARTI.

Cadangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk membekukan akaun bank PAS adalah satu langkah awal ke arah mewujudkan negara satu parti (one party state). Negara-negara komunis telah mengamalkan sistem ini di mana hanya satu parti iaitu parti komunis dibenarkan wujud. Sebelum ini akaun bank UMNO telah dibekukan kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan kes 1MDB.

 
Pada pilihan raya umum yang lepas, undi yang diperolehi PH adalah kurang dari 50 peratus. Sementara satu kajian menunjukkan tidak sampai 30 peratus pengundi Melayu mengundi PH. Undi majoriti orang Melayu dikongsi bersama oleh PAS dan UMNO.

Oleh itu kedudukan sokongan kepada PH adalah tidak kukuh. Mereka yang mengundi PH terutamanya ahli-ahli UMNO boleh pada bila-bila masa meninggalkan PH.

Satu jalan keluar bagi PH adalah untuk memastikan UMNO dan PAS tidak wujud lagi dengan membatalkan pendaftaran parti-parti tersebut. Langkah pertama adalah dengan membekukan akaun bank mereka. Langkah seterusnya mungkin dengan merampas aset dan akhir sekali membatalkan pendaftaran.

Kerajaan PH perlu melakukannya untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Selain dari itu kegagalan mereka menunaikan janji-janji pilihan raya bermakna perhatian rakyat perlu dialihkan. Rampasan wang tunai dan barangan berharga yang cuba dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menjadi berita utama di dalam usaha untuk menutup kegagalan menurunkan harga minyak, kegagalan menghapuskan tol, kegagalan menurunkan kos sara hidup dan kegagalan-kegagalan yang lain.

Walau bagaimanapun yang patut membimbangkan rakyat adalah sebarang usaha untuk membunuh demokrasi. Sebelum ini seorang Menteri pernah mencabar ahli-ahli akademik yang tidak sehaluan dengan kerajaan PH meletakkan jawatan. Jika rakyat tidak membantah usaha-usaha ini negara, kita akan melihat Malaysia tanpa parti pembangkang atau parti-parti pembangkang yang telah "dimandulkan". Ini tidak baik untuk rakyat kerana tidak akan berlaku "check and balance" atau semak dan imbang.

Dato' Iskandar A. Samad
Naib Presiden PAS
30 Jun 2018

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...