Selasa, 17 April 2018

Pembaca Malaysiakini Kritik Azmin Beri Wang Tunai, Komputer Dan Ini Jawapan Pejabat MB Selangor.

Pada sabtu, Malaysiakini melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali telah memberikan bantuan berupa wang tunai, komputer dan beberapa kelengkapan gajet kepada penduduk Bukit Antarabangsa dan Gombak.

Dun Bukit Antarabangsa dan Parlimen Gombak adalah kawasan Azmin Ali sebagai wakil rakyat sebelum terbubarnya Parlimen dan Dun Selangor bagi memberikan laluan kepada PRU ke 14 yang akan dijalankan pada 9 Mei depan.

Pembaca Malaysiakini kemudiannya mengkritik tindakan Azmin Ali itu yang disifatkan meniru budaya dan amalan UMNO.

"Kalau aku jadi Azmin aku tak buat kerja-kerja macam neh..," - Beman


"Aku tak suka, macam budaya UMNO..," - Ronald.


"Malu, malu, malu, memalukan!," - Paul Warren.


Cybertroopers BN pula menyebarkan poster bagi menyindir Azmin Ali.


Bagaimanapun, semalam, Pejabat Menteri Besar melalui
Pengarah Komunikasi Strategiknya, Yin Shao Loong memberikan penjelasan tentang laporan Malaysiakini.

Menurut Yin, laporan Malaysiakini berbaur fitnah yang mendorong salah faham.

Berikut adalah penjelasan dari Pejabat Menteri Besar Selangor;

KENYATAAN MEDIA

KESILAPAN SERIUS LAPORAN MALAYSIAKINI BERHUBUNG LAWATAN MENTERI BESAR SEMENTARA KE GOMBAK DAN BUKIT ANTARABANGSA 

Kami amat kecewa dengan laporan mengelirukan, terbitan portal berita Malaysiakini.com pada 14 April 2018 dalam jam 11.29 petang. 

Laporan itu bertajuk “Cash, laptops, iPads – Azmin doles out over RM2m worth goodies”, mempunyai beberapa kesalahan serius dan andaian kurang tepat, yang mana kami bertanggungjawab memperbetulkannya kerana ia menjejaskan nama baik Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. 

Laporan itu adalah mengenai aktiviti Menteri Besar sementara Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengagihkan bantuan negeri di kawasan Dewan Negeri Bukit Antarabangsa dan kawasan Parlimen Gombak, di mana beliau adalah wakil rakyat kawasan itu pada Parlimen Malaysia Ke-13. 

Tiada Tunai Diberi, Hanya Cek; Bukan iPad, Hanya Samsung 

Pertamanya, perkataan pertama pada tajuk laporan itu tidak benar. Tiada tunai diberi dalam program itu. Hanya cek yang diserahkan dan ia sesuai untuk program rasmi yang diuruskan menerusi saluran yang betul. 

Sebutan kononnya ‘cash’ diagihkan memberi gambaran bahawa peristiwa yang berlaku itu adalah aktiviti politik semata-mata, yang mana ia sangat tidak benar. Selain itu, tiada iPad diberikan kepada penerima yang layak. Gajet yang diberikan adalah tablet Samsung mampu milik. 

Kebenaran dan dokumen rasmi mengenainya boleh disemak di pejabat kawasan wakil rakyat, Pejabat Daerah Gombak dan Unit Perancang Ekonomi Negeri dan semuanya tertakluk pada audit. 

Jumlah Agihan Kurang Separuh Daripada Yang Dilaporkan 

Keduanya, laporan menyatakan daripada empat aktiviti pada 14 April “jumlah bantuan yang diagihkan adalah lebih RM2.24 juta dalam dua aktiviti di Ukay Perdana dan Kampung Kerdas.” 

Kenyataan itu adalah tidak benar sama sekali. Faktanya, jumlah keseluruhan agihan bantuan pada empat aktiviti berkenaan hanya berjumlah RM967,150.00, iaitu daripada peruntukan kawasan dan program rasmi Kerajaan Negeri. 

Angka yang dilaporkan Malaysiakini adalah 2.3 kali ganda daripada angka sebenar. Adalah amat dikesali tiada sebarang usaha dibuat untuk menghubungi pegawai kawasan untuk pengesahan maklumat berkenaan sebelum penerbitan. Angka sebenar itu adalah termasuk beberapa ratus ribu ringgit daripada peruntukan kawasan Azmin. 

Sebahagian bantuan adalah untuk memenuhi permohonan menaik taraf kemudahan awam. Bakinya adalah bantuan untuk golongan yang memerlukan dan bantuan pendidikan. 

Untuk penjelasan, persatuan penduduk di sembilan pangsapuri kos sederhana dan kos rendah kawasan terbabit sudah memohon kerja pembaikan bangunan di bawah Program SMART LIFE dan CERIA oleh Kerajaan Negeri. 

Belanjawan Negeri Selangor 2018 yang diluluskan pada November 2017 menyatakan Kerajaan Negeri sebagai kerajaan prihatin akan menanggung 100 peratus kos pembaikan lif dan kerja mengecat semula pangsapuri kos sederhana dan kos rendah. 

Perbelanjaan Mengikut Saluran dan Telus

Ketiga, semua permohonan bantuan itu dibuat sebelum pembubaran Parlimen dan bukannya perbelanjaan saat akhir khusus untuk pilihan raya. 

Tuduhan ‘goodies’ pada tajuk adalah mengelirukan, sekiranya ia bukan fitnah. Pengagihan untuk kawasan adalah sebahagian tanggungjawab rutin terhadap penduduk kawasan berkenaan dan Azmin melaporkan mengenainya secara terbuka menerusi media sosial. Aktiviti sedemikian kali terakhir dibuat adalah pada 16 Disember 2017. 

Kami amat menghormati peranan media bebas sebagai Kuasa Keempat (‘Fourth Estate’) untuk semak dan imbang dalam amalan demokrasi moden. 

Bagaimanapun, peranan itu mesti dilunaskan dengan etika berpiawaian tinggi. Fakta perlu disahkan dan harus ada komunikasi dengan sumber supaya orang awam mendapat maklumat benar. 

Atas sebab yang dinyatakan, kami meminta pembetulan pada artikel berkenaan dan turut mengakui wujudnya kesilapan pada laporan itu yang menjejaskan nama baik Azmin. 

Reputasi baik adalah lebih penting berbanding kekayaan; yang mana ia lebih bernilai daripada perak dan emas. 

YIN SHAO LOONG 

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...