Isnin, 16 April 2018

Tolak Kediktatoran, Kemuflisan Idea PAS Serta 'Jurucakap' Mereka - HARAPAN UK & IRELAND.

Kenyataan Media

TOLAK KEDIKTATORAN, KEMUFLISAN IDEA PAS SERTA 'JURUCAKAP' MEREKA

1. Kami merujuk kepada tulisan Saudara Abdul Muein Abadi (AMA) [1] yang memberikan analisis tentang manifesto Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gagasan Sejahtera (GS) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 09 Mei 2018 nanti. Kami berterima kasih atas pandangan yang diberikan. Namun begitu, kami terpanggil untuk mengkritik satu sisi pandangan yang kami kira amat berbahaya dan bisa mengancam amalan demokrasi berparlimen dan mekanisme semak dan imbang yang dibina dalam perlembagaan negara kita.



2. Seorang sahabat kami di Malaysia, Saudara Noor Amin Ahmad (NAA), telah pun sedia memberikan kritikan dari sesi akademik terhadap metodologi dan hasil penghujahan Saudara AMA [2]. Kritikan oleh Saudara NAA ini kami rasakan amatlah tepat dan sesuai dengan apa yang kami percayai, yakni telah berlaku khilaf besar dalam analisis yang diberikan oleh Saudara AMA. Memandangkan kritikan yang diberikan sudah sedia lengkap, kami hanya ingin memberikan pendapat dari segi implikasi politik analisis Saudara AMA.

3. Pertamanya, kami ingin menyatakan bahawa manifesto Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dilancarkan di bawah panji GS itu sendiri sedia bermasalah (problematic). Namun begitu, sebagai sebuah parti politik yang sah dan mengambil bahagian dalam #PRU14 #GE14, PAS dan GS berhak dan perlu memberikan tawaran mereka. Namun begitu, apabila berlaku ketidak jujuran dalam menawarkan manifesto ini kepada rakyat, kami wajib bersuara agar masalah yang ada didedahkan secara telus.

4. Manifesto yang sedia bermasalah ini bertambah parah apabila analisis dan pendapat yang diberikan oleh Saudara Muein juga tempang dan penuh kesalahan (fallacy), maka ia memberikan gambaran salah (misrepresentation) terhadap intipati sebenar manifesto parti-parti yang terlibat. Ini seolah-oleh suatu 'salah laku' (misfeasance) akademik yang akan menyebabkan salah faham di kalangan orang awam. Akibat analisis tidak jujur ini, kedua-dua BN dan PH mungkin boleh kehilangan undi dan kalah pilihanraya.

5. Kedua, kedua-dua PAS dan Saudara AMA kelihatan amat keliru dengan pelbagai konsep asas, seperti yang diolah oleh NAA. Antaranya ialah perbezaan antara 'big state' dan 'strong state' (di bawah aspek 'state autonomy' dan 'state scope'). Salah faham dalam aspek-aspek asas ini bisa mengubah ketidak jujuran akademik menjadi pembohongan politik, jika rakyat terus terpedaya.

6. Izinkan kami memberi sedikit penjelasan. 'Big government' (big state atau maximal state) atau kerajaan yang besar adalah sebuah kerajaan yang luas bidang kuasanya (state autonomy dan state scope yang besar). Ini biasanya merujuk kepada bidang kuasa Eksekutif yang luas tanpa seliaan, kawalan dan kekangan secukupnya oleh badan-badan lain seperti Perundangan (Legislatif), Kehakiman atau estet-estet bukan kerajaan yang lain. Kuasa Eksekutif yang terlalu luas mudah disalah guna dan bertukar menjadi kediktatoran. Antara negara yang mengamalkan konsep ini adalah negara-negara diktator seperti Kesatuan Soviet (telah jatuh), Korea Utara (dalam krisis) dan China (kebetulan masih kuat).

7. 'Strong government' pula merujuk kepada keadaan semasa kerajaan. Sama ada kerajaan itu lemah atau kuat, itu bergantung kepada keperibadian, bakat kepimpinan dan kemahiran pemimpin itu sendiri dalam berpolitik dan bertatanegara. Pemimpin yang kuat biasanya boleh menggembleng tenaga dan membina sebuah pasukan yang kuat yang terdiri daripada bakat yang pelbagai yang mampu membantu pemimpin itu dalam tugasannya. Seorang pemimpin yang lemah pula mungkin tidak dapat membina pasukan sedemikian, maka ini melemahkan lagi kepimpinannya.

8. Seorang pemimpin yang kuat tidak memerlukan 'maximal state' untuk mendapat dan melaksanakan kuasa pemerintahan yang besar atau berkesan (effectual). Kepimpinan itu sendiri adalah suatu sumber (resource) yang boleh menjadi modal (capital) untuk sebarang usaha (enterprise). Manakala pemimpin yang lemah, sekalipun mempunyai bidang kuasa (state scope) yang luas yakni memerintah sebuah 'maximal state', tetap tidak akan dapat menjadi pemimpin yang berkesan.

9. Persoalannya: Kenapa PAS obses dengan Eksekutif yang kuat, sedangkan Perdana Menteri hari ini sudah sedia memusatkan kuasanya di Jabatan Perdana Menteri dan memerintah tanpa ada ruang untuk dikritik (state autonomy dan state scope yang luas)? Perdana Menteri (PM) hari ini sudah sedia boleh memecat Peguam Negara, menukar pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan melantik hakim-hakim yang 'sebulu' dengannya. Beliau juga Menteri Kewangan, dan kadangkala Menteri Dalam Negeri atau Menteri Pertahanan. Tidak cukup dengan itu, PM juga adalah pengerusi Majlis Keselamatan Negara yang berkuasa mengisytiharkan darurat pada bila-bila masa tanpa mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong. Dengan kata lain, PM kita sudah amatlah berkuasa.

10. Jawapannya: Mungkin kerana pemimpin PAS tidak yakin dengan kebolehan peribadi mereka! Oleh itu, mereka memerlukan mekanisme kerajaan (state apparatus) yang pelbagai dalam sebuah 'maximal state' untuk memaksa pendapat dan kepercayaan mereka ke atas orang lain menggunakan kekuasaan negara (state power). Ini sebenarnya strategi mereka yang pengecut!

11. Kita dapat melihat bukti ini dengan menyoroti sejarah PAS hari ini. Presiden PAS sekarang, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang telah banyak kali dikritik oleh para ahli akademik, wartawan dan penyelidik sebagai pemimpin yang lemah dan menggunakan gaya 'kepimpinan yang lesu'. Antaranya ialah mantan profesor dalam bidang perlembagaan Dr. Abdul Aziz Bari dan bekas pegawai Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS Malaysia) Wan Saiful Wan Jan.

12. Hal ini disahihkan lagi menurut peristiwa 'kudeta' oleh 'Geng Ustaz' yang diketuai oleh 'ustaz-ustaz muda' seperti Zaharudin Muhammad, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Nasrudin Hassan Tantawi. Walaupun mereka ada penyokong masing-masing, umum tahu melalui media sosial bahawa mereka berkonspirasi menyingkir pemimpin-pemimpin lain ketika itu seperti Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dr Dzulkefly Ahmad dan Khalid Samad menggunakan taktik kotor. Istilah seperti Jebon, Pengkhianat, Munafik Haraki dan Macai DAP digunakan untuk memusnahkan imej lawan (character assasination) supaya 'Geng Ustaz' menang besar. Apakah antara slogan yang digunakan dalam kempen mereka? - "Mempertahankan presiden daripada serangan DAP"!

13. Pertama, ini seolah-olah presiden mereka yang sudah dewasa itu tidak boleh berbuat demikian tanpa menghapuskan orang yang tidak sebulu dengan mereka, seolah-olah presiden ini anak kecil yang lemah. Kedua, ini mengesahkan bahawa kediktatoran mereka tidak mampu dan tidak akan dapat menerima kritikan dan bangkangan orang lain. Kepelbagaian pendapat tidak wujud dan tidak akan diterima (tolerated) dalam PAS hari ini. Malahan, bangkangan dan kritikan terhadap presiden dan ulama PAS dianggap pengkhianatan yang merosakkan akidah.

14. Bukan itu sahaja, PAS juga tidak mampu membina wawasan (spell a vision) untuk Malaysia yang boleh diterima oleh rakyat Malaysia umumnya. Tidak seperti Pakatan Harapan yang mengutamakan keadilan dan kesamarataan untuk rakyat, atau Barisan Nasional yang mengutamakan pembangunan fizikal walaupun tidak seimbang, PAS hanya mampu menawarkan pemerintahan diktator kepada rakyat. Alangkah bangkrapnya pimpinan PAS hari ini! Sudah lemah kepimpinan, mahu memaksa kelemahan akal mereka pula kepada rakyat pula!

15. Tidak cukup dengan itu, apakah mereka juga menganggap tatanegara boleh diamalkan berdasarkan doktrin 'berdiri sendirian' seperti 'hermit kingdom' sehingga mereka begitu takut melihat skop kerjasama ASEAN, Komanwel, OIC atau PBB? Apakah mereka tidak faham bahawa kerjasama bersama dengan badan-badan supranasional ini adalah bersifat kerjama strategik dan bukan menyerahkan autonomi atau kedaulatan kepada mereka?

16. Sebagai seorang pensyarah universiti yang menggunakan teori Fareed Zakaria, adalah mengejutkan Saudara AMA melihat visi untuk menjadi 'middle power' adalah lemah, sedangkan negara yang ekonomi dan tenteranya lebih besar seperti Indonesia sekalipun tidak berlakon sebagai pak pandir seperti PAS, yakni menang bersorak tapi kampung tergadai? Istilah-istilah seperti untuk menjadi "penentu hala tuju", "kuasa ekonomi sebagai pelaksana" dan "penggantian import" kelihatan sebagai tulisan amatur pelajar tahun pertama yang baru berjinak-jinak dalam geopolitik. Hakikatnya, negara seperti Singapura punya ekonomi dan tentera yang amatlah maju. Turki dan Indonesia yang merupakan dua negara Muslim yang punya angkatan tentera yang besar dan berada dalam G20, iaitu 20 ekonomi terbesar dunia. Mereka sekalipun tidaklah berlagak bagai ayam jantan yang berkokok riuh sekampung menjaja angan-angan Mat Jenin mahu menjadi kuasa penentu. Ayat-ayat seperti ini memanglah selari dengan cita-cita PAS mahu menjadi 'kingmaker' dalam politik Malaysia.

17. Seseorang yang membaca tesis atau buku Fareed Zakaria juga haruslah faham bahawa menjadi 'kuasa penentu' ini memerlukan sumber yang besar, yakni perbelanjaan yang tinggi untuk membina kuasa ketenteraan yang ditakuti serta ekonomi yang mapan untuk membiayai program-program antarabangsa bagi tujuan menyebarkan pengaruh. Apakah kita mahu mengorbankan wang dan kekayaan negara untuk memenuhi ego pemimpin yang ingin dipuja di mata dunia? Apakah kebajikan dan kesejahteraan rakyat melalui program-program pendidikan, kesihatan dan bantuan kemasyarakatan kurang penting? Orang Melayu ada pepatah untuk perangai ini, yakni kera di hutan disusukan walhal anak di rumah mati kelaparan.

18. Satu perkara lagi yang Saudara AMA tidak faham ialah 'benchmarking' (menanda aras) dibuat untuk mengukur pencapaian kita berbanding negara-negara maju yang lain. Takkan kita mahu 'benchmark' berbanding negara-negara seperti Sudan, Venezuela atau Zimbabe yang menghadapi pelbagai krisis dan konflik? Sudah tentu kita mahu lihat prestasi kita berbanding negara-negara maju seperti Jerman, Belanda dan Norway. Jika Saudara AMA melihat benchmarking menggunakan piawaian OECD, Bank Dunia, Open Government Partnership dan Open Budget Initiative sebagai 'mengikat kepada komitmen asing', kita mahu benchmark kepada siapa? Kerajaan Kelantan yang tidak cukup wang untuk membayar caruman KWSP guru? Atau kerajaan Mesir yang bergantung kepada ihsan Israel dan Amerika Syarikat untuk terus menindas demokrasi? Jujurlah dalam berbicara!

19. Oleh sebab salah faham teruk analisis Saudara AMA ini, Kami tidaklah terkejut melihat obsesi PAS dan Saudara AMA sebagai jurucakap mereka terhadap keupayaan kerajaan mengekstrak kekayaan sumber. Orang lain rata-ratanya sedar bahawa sumber semulajadi semakin merosot sehingga rakyat Selangor terpaksa tidak mandi berhari-hari, manakala banjir di tempat yang tidak sepatutnya semakin kerap berlaku. Atas sebab itulah kita memberikan lebih kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta pembangunan modal insan, terutamanya dalam memanfaatkan Revolusi Industri Ke-4 (4IR). Semua ini sememangnya amatlah diutamakan oleh Pakatan Rakyat. Alangkah malangnya apabila sesetengah pihak seolah-olah tidak dapat melihat lebih daripada pembalakan, carigali minyak dan seantara dengannya. Itu pun jika sumber-sumber seperti ini cukup, yang sebenarnya memanglah tidak.

20. Natijahnya, kami menyeru agar rakyat Malaysia seluruhnya seyogia menolak sepenuhnya tawaran daripada PAS ini. Turut perlu dibakul sampahkan adalah analisis tempang yang cuba mengabsahkan tawaran tadi dengan menggunakan kaedah yang merosakkan integriti dunia dan profesion akademik.

21. Sebaliknya, kita harus mengambil wawasan yang lebih luas, syumul dan lestari. Janganlah diberikah lebih banyak kuasa kepada yang telah terbukti gemar dan acap kali menyalahguna kuasanya untuk kepentingan peribadi. Sebaliknya, ayuh kita perkasakanlah rakyat dengan cara menguatkan institusi-institusi bebas yang bisa mengekang mereka. Apakah kita tidak serik dengan #1MDB? Apakah kita mahu Tabung Haji dan KWSP bangkrap sama? Atau kita tunggu sehingga negara kira habis tergadai seperti kampung Pak Pandir?

22. Katakan #TIDAK kepada PAS dan kediktatoran dan kemuflisan idea mereka!

bagi pihak,

Pakatan Harapan United Kingdom & Ireland

- Kelab Bunga Raya - United Kingdom
- Amanah United Kingdom & Ireland

[1] Abdul Muein Abadi: Analisis Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14

https://www.facebook.com/muein.abadi/posts/10211367652096542

[2] Amin Ahmad: Pandangan Balas

https://www.facebook.com/notes/10160121349500621/

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...