Selasa, 24 Julai 2018

Kami Diugut Mengaku Bunuh Kevin Morais, Kata Tertuduh.

Oleh : Bernama

Tertuduh ke-6 dalam kes pembunuhan Datuk Anthony Kevin Morais memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, dia dan 5 lagi tertuduh diugut mengaku membunuh timbalan pendakwa raya itu.

 
S Nimalan, 25, mendakwa ugutan itu dibuat beberapa pegawai penjara pada 10 April lepas di Penjara Sungai Buloh, di sini, sebaik dia pulang menghadiri perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini.

“Pada 10 April, saya balik dari perbicaraan dan membuat pemeriksaan, 3 pegawai penjara menyuruh saya membuang air besar.

“Semasa di tempat membuang air besar, seorang daripada mereka datang berjumpa saya dan memberitahu dia telah berjumpa dengan S Ravi Chandaran (tertuduh ke-7) beberapa kali untuk menyuruh Ravi Chandaran mengaku dalam kes ini.

“Pegawai itu memberitahu dia berbincang mengenai wang yang akan kami semua perolehi sekiranya kami semua mengaku dalam kes ini,”
katanya ketika pemeriksaan utama peguam, V Rajehgopal dalam prosiding membela diri hari ke-13.

Saksi pembelaan ke-5 itu berkata, dia kemudian membuat laporan polis berhubung perkara itu pada 17 April selepas diminta Ravi Chandaran yang merupakan bapa saudaranya.

Menjawab soalan Rajehgopal sama ada tertuduh terlibat dalam kes pembunuhan itu, Nimalan berkata : “Saya tidak melakukan kesalahan ini Yang Arif.”

R Dinishwaran, A K Thinesh Kumar, M Vishwanath, Nimalan, Ravi Chandaran dan doktor tentera, Kolonel Dr R Kunaseegaran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No 1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, 5 tertuduh, Dinishwaran, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; Nimalan dan Ravi Chandaran, 47, diwakili Rajehgopal, manakala Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Datuk N Sivananthan dan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.

Perbicaraan di depan Hakim, Datuk Azman Abdullah bersambung esok.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...