Rabu, 25 Julai 2018

Beberapa Nasihat Untuk Ahli Parlimen Yang Berbahas Di Dewan Rakyat - Rafizi Ramli.

Oleh : Rafizi Ramli

Dewan RAKYAT

Dewan Rakyat bersidang kembali dalam keadaan yang sangat berbeza. Saya tidaklah begitu sentimental atau emosi bila wakil-wakil Pakatan Harapan akan berada di sebelah kanan dewan, tetapi saya faham kalau ramai yang menganggapnya satu detik sangat bersejarah.

 
Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya meletakkan harapan yang tinggi supaya Dewan Rakyat benar-benar boleh menjadi cabang kerajaan yang ketiga, selain dari cabang eksekutif dan cabang kehakiman. Sebagai cabang perundangan, saya sentiasa mendoakan Dewan Rakyat diberikan tempat yang haknya: bebas dari campur tangan dan pengaruh mana-mana pihak termasuklah Putrajaya.

Pun begitu, ada banyak proses yang perlu berlaku sebelum Dewan Rakyat benar-benar boleh menjadi bebas dan berfungsi sebagai cabang ketiga kerajaan. Ada kekangan peraturan, ada kekangan undang-undang yang perlu diubah.

Sebab itu, wakil-wakil rakyat di Dewan Rakyat pada sesi ini bertuah kerana mereka ada peluang keemasan untuk melakar kembali sejarah negara. Di tangan mereka, ada kuasa untuk menukar peraturan dan undang-undang supaya pentadbiran di Putrajaya mengembalikan kebebasan sebagai cabang ketiga kerajaan.

Untuk ke arah itu, mereka mesti tahu bahawa mereka dihantar oleh rakyat ke Dewan Rakyat bukan untuk berlumba-lumba retorik politik. Memang susah untuk memendamkan rasa menyampah bila ada wakil-wakil Umno yang berlakon suci (seolah-olah masalah yang ada sekarang bukan disebabkan oleh mereka) di Parlimen, tetapi adalah satu keperluan untuk wakil-wakil rakyat kerajaan untuk berbesar hati dan tidak terlalu terheret dengan laungan retorik di dalam dewan.

Saya tidak bersetuju jika wakil-wakil kerajaan lebih lantang memberi label kepada wakil-wakil Umno sehingga berlaku jerit-menjerit. Tidak ada orang yang untung hasil dari label melabel atau jerit menjerit, selain dari kepuasan peribadi semata-mata. Rakyat telah menghukum Umno atas perbuatan mereka dan rakyat memberi amanah pula kepada Pakatan Harapan kini untuk berlaku lebih baik.

Dulu pun saya tidak pernah melayan bila ada berbalas jeritan di dalam Dewan Rakyat kerana masa yang ada untuk membawa isu rakyat adalah sangat-sangat pendek. Kalau masa yang pendek itu digunakan untuk berbalas jeritan, maka rugilah rakyat.

Sebab itu saya ada beberapa nasihat pendek kepada sebahagian besar wakil rakyat baru yang akan beraksi di Dewan Rakyat pada sidang ini.

Pertama, belajarlah menebalkan telinga. Lumrah kena maki bertalu-talu. Yang di luar mencemuh, yang di dalam dewan menjerit memaki kita. Tak payahlah kita sensitif sangat dengan serangan yang di buat lawan kerana kita masuk dewan pikul amanah. Keutamaannya adalah melaksanakan amanah itu.

Maka nasihat pendek yang kedua lebih mudah: jika kita bercakap 20 minit, pastikan 18 minit itu adalah mengenai rakyat. Bawalah suara rakyat ke dalam dewan, biar seluruh dunia dengar tentang derita orang miskin tidak kira bangsa. Sekolahlah ahli-ahli dewan mengenai kepayahan orang muda mendapatkan kerja. Teruslah bersuara mengenai harga barang, harga minyak, bantuan pendidikan dan lain-lain.


Biarlah ramai yang mengganggu dan mencemuh ketika itu, di dalam dan luar dewan. Sebab bila di akhir perkhidmatan nanti, semoga kita boleh bersara dengan tenang kerana kita telah pegang amanah beraksi untuk rakyat di dewan.

Barulah kena ia dipanggil Dewan RAKYAT!

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...