Rabu, 25 Julai 2018

Rumah Isa Samad Dimasuki Perompak.

Oleh : Bernama
Rumah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Nilai Spring Heights dekat Nilai telah dipecah masuk kira-kira pukul 4.55 pagi tadi, mengakibatkan kerugian berjumlah RM14,900.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata ketika kejadian terdapat tiga dewasa dan empat kanak-kanak di dalam rumah tersebut, di mana dua daripada tiga mangsa dewasa telah diikat manakala kanak-kanak yang sedang tidur tidak diusik.



 
“Kedua-dua mangsa telah dikumpulkan di ruang tamu rumah dan telah diikat menggunakan wayar telefon serta ditutup dengan selimut.

“Suspek disyaki tiga lelaki warga asing yang bersenjatakan parang dan pisau serta memakai topeng. Kami percaya mereka memasuki kediaman dua tingkat itu melalui tingkap gelongsor di belakang rumah,”
katanya dalam kenyataan media hari ini.

Noor Azam berkata ketika kejadian seorang pengawal keselamatan yang menjaga rumah tersebut sedang tidur manakala kamera litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi.

“Antara barang yang dicuri, wang tunai berjumlah RM5,700, dua utas rantai emas anggaran RM3,500, sebentuk cincin berbatu berlian anggaran RM1,200, seutas gelang tangan emas anggaran RM1,500 tiga buah jam tangan anggaran RM3,000.

“Pihak polis memohon agar orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dengan kes ini supaya tampil untuk menyalurkan maklumat bagi membantu polis dalam menjalankan siasatan,”
katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...