Jumaat, 27 April 2018

Eksploitasi Agama Demi Kemenangan Adalah Kelemahan Yang Parah - Mohamad Izwan AG.

Oleh : Mohamad Izwan AG

EKSPLOITASI AGAMA DEMI KEMENANGAN ADALAH KELEMAHAN YANG PARAH.

Ramai sangat para ustaz yang mempunyai tanggapan yang amat mediocre dalam realiti politik pada hari ini. Dengan mediocrity tersebut mereka menghukum senario politik yang ada pada hari ini dengan penilaian yang begitu rendah nisbah intelek.




Antara mughalatah yang terbit daripada mediocrity tersebut adalah membandingkan UMNO & PAS dengan kaca mata yang sempit. Kata mereka, kita wajib memilih antara parti & bukannya antara calon. Mereka mendakwa (tanpa burhan) bahawa wajib memangkah PAS daripada UMNO kerana dasar PAS adalah Islam & dasar UMNO adalah sekular. Benarkah begitu ustat?

Ramai yang menyangkakan parti PAS membawa Islam kerana perlembagaannya secara sarih menyebut begitu. Mereka juga merujuk kepada kepimpinan PAS yang gemar menonjolkan simbol-simbol Islam. Pada mereka, inilah Islam.

Adapun kepada UMNO, mereka menghukumnya sebagai parti yang tidak memperjuangkan agama Islam. Kepimpinannya juga tidak islamik atau tidak menzahirkan identiti Muslim. Hukuman mereka ke atas UMNO sebagai parti yang tidak memperjuangkan Islam sebenarnya hanyalah sangkaan buruk serta dendam. Mereka tidak membelek langsung perlembagaannya, sebaliknya menilai ketidak-Islaman UMNO semata-mata melalui tingkah laku buruk orang-orang UMNO yang wujud. Mereka juga membakul-sampahkan jasa kepimpinan UMNO kepada Islam sejak lama dahulu melalui BN. UMNO juga tidak gemar bermain sentimen agama. Mungkin mereka tiada bakat berceramah agama seperti orang-orang PAS, mungkin juga kerana mereka takutkan Allah untuk bermain-main sentimen agama. Wa Llahu a’lam.

Dengan cara ini, ustaz-ustaz berkenaan telah mengangkat parti PAS ke satu tahap yang tidak boleh langsung diperiksa salah silapnya. Maka terbentuklah satu gelanggang pertempuran politik yang tidak rata, di mana parti PAS ditaqdiskan ke tahap agama & parti UMNO dikalahkan awal-awal lagi secara persepsi palsu.

Jika kita melihat secara insaf & teliti, persaingan yang berlaku di antara PAS & UMNO adalah persaingan merebut tampuk kuasa memerintah. Di dalam sistem demokrasi ini, perkara yang harus dijadikan kayu ukur oleh pengundi bukannya siapa yang mampu menjanjikan syurga & pahala, sebaliknya perkara yang menjadi tumpuan adalah kecekapan urus tadbir, integriti, pengalaman, daya kekuatan siyasah & wawasan yang dipromosikan oleh calon & parti.

Cara parti PAS mengeksploitasi simbol-simbol & nilai agama serta menjadikannya modal pertarungan merupakan sikap jelek & kotor puak Islamis. Mereka seolah-olah masuk dalam gelanggang perlumbaan dalam keadaan berada di depan garis mula sedangkan parti-parti lain berada tepat di atas garis mula. Inilah persaingan yang tidak adil & tidak sihat yang menjadi budaya politik puak Islamis.

Para ustaz perlu membezakan antara politik & agama. Politik adalah aturan & kaedah memelihara kemaslahatan rakyat. Agama Islam yang suci ini tidak sepatutnya dikotori di dalam persaingan politik. Kesucian & kemuliaan agama perlu dijaga. Ia tidak patut dijadikan modal untuk menang dalam pilihanraya.

Sepatutnya pengundi yang celik perlu menilai prestasi, daya saing, wawasan dalam memilih antara UMNO & PAS atau sesiapa pun. Kesedaran terhadap ancaman & anasir yang kontra agama Islam perlu juga dipertimbangkan. Jangan biarkan calon atau parti mengeksploitasi agama & sentimen justeru mengikat kebebebasan anda untuk memilih dengan bernas lagi tepat.

PAS bukan Islam & UMNO bukan sekular. Kedua-duanya adalah parti orang Muslim. Ada di dalam kedua-dua parti tersebut Muslim yang baik & Muslim yang tidak baik. Marilah kita keluar dari dogma wajib pilih PAS sebab PAS memperjuangkan agama. Itu hanya dakwaan. UMNO juga mendakwa perkara yang sama.

Selamat mengundi.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...