Khamis, 26 April 2018

Apa Motif Tauke Besar Bagi Sumbangan 5 Juta Kepada Amanah Soal Zuhdi.

Kenyataan Media

PARTI Amanah Negara (PAN) sememangnya sebuah parti yang tidak menyumbang kepada pembangunan pendidikan politik (political education) yang sihat, tetapi hidup bergelumang dengan politik fitnah dengan memberi persepsi buruk kepada parti lawan.




Jika Dato Mahfuz Omar yang bergelumang dengan pendekatan itu mungkin boleh diterima kerana sememangnya itulah modal politik beliau. Akan tetapi, sekiranya dua orang pimpinan PAN yang mempunyai ijazah PhD dalam bidang Sains Politik turut bergelumang dengan politik fitnah, ia sememangnya menyedihkan.

Seperti yang telah saya jelaskan dalam kenyataan sebelum ini, kaedah PAS memperolehi dana untuk membiayai kempen PRU melalui pendanaan awam (crowdfunding), merupakan satu kaedah yang paling berintegriti.

Melalui kaedah itu, PAS tidak terikat dengan apa-apa kepentingan penyumbang dana dan kemasukan sumbangan dana ke akaun umum PAS adalah telus dan boleh disemak oleh khalayak umum. Kebanyakan parti politik memilih cara yang tidak bermoral dalam memperolehi dana politik, iaitu sumbangan melalui proksi dan penyumbangnya mempunyai kepentingan.

Sebelum ini, banyak parti-parti yang terlibat dengan pilihan raya di Malaysia mendapat sumbangan dengan cara yang tidak berintegriti. Sumbangan yang diterima sama ada dimasukkan ke akaun individu atau akaun proksi untuk mengelakkan disemak oleh khalayak umum. Dengan kaedah ini mereka boleh memperolehi sumbangan dari tauke-tauke berkepentingan, industri haram seperti kongsi gelap dan pihak-pihak asing seumpama Zionist serta Evangelis. Hanya PAS yang menolak kaedah seperti ini.

Seperti yang ditegaskan oleh Setiausaha Agung PAS baru-baru ini, PAS sangat tegas untuk tidak menerima sumbangan yang haram dan sumbangan yang bersifat sogokan (penyumbang mempunyai kepentingan sebagai balasan). Dengan sebab itu sejak tahun 1951, kaedah pengumpulan dana PAS adalah telus iaitu melalui pendanaan awam dan di setiap Mesyuarat Bulanan PAS Pusat serta Muktamar Tahunan PAS kemasukan sumbangan ini akan diaudit. Oleh sebab itu, bila kerajaan berhasrat menggubal akta berkaitan dana dan perbelanjaan politik, PAS yang paling awal mengalu-alukan.

Hari ini timbul semula tentang DAP mendapat manfaat politik hasil sumbangan RM 50 juta daripada seorang tauke bernama Koon Yew Yin. Tauke yang sama pernah memberi sumbangan kepada PAN Perak sebanyak RM 500 ribu, dan dia berjanji akan memberi 10 kali ganda lagi sumbangan untuk PAN Perak supaya berkerja keras menawan Perak.

Sekiranya sumbangan 10 kali ganda itu diperolehi sekarang bermakna PAN Perak sahaja memperolehi sumbangan RM 5 juta. Apa motif tauke ini memberi sumbangan kepada PAN Perak? Dato Mahfuz sebagai Naib Presiden PAN sepatutnya menjawab perkara ini.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...