Menurut Ahli Parlimen Kuantan itu, kos rumah yang dibinanya tidak sampai nilai jutaan ringgit sebaliknya penyebaran yang mengatakan ia bernilai jutaan ringgit adalah merupakan suatu fitnah.
"Tapi yang peliknya ada juga yang nak jadikan isu kononnya rumah ini harga juta-juta. Fitnah tu! Setakat ini Alhamdullilah kami tidak mengambil hak sesiapa. Syukur di atas segala rezeki Allah beri setelah penat lelah belajar tinggi-tinggi dan bekerja selama 36 tahun serta suami bersara sebagai JUSA," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurut Fuziah Salleh lagi, kos pembinaannya rumah dapat dijimatkan banyak berbanding cara konvensional kerana ia dibina menggunakan sistem IBS dan di atas tanah sendiri yang telah dibeli sejak tahun 2004 lagi.
"Alhamdullilah bila buat sendiri atas tanah yang dibeli pada tahun 2004, banyak dapat jimat kos. Tambahan pula guna bata IBS tak perlu guna simen untuk plaster. Jimat lagi. Cukup setakat saya ambil 'loan' dan suami guna duit pencen," jelasnya.
Fuziah Salleh turut menjelaskan yang batu bata IBS tersebut dibina di sebuah kilang yang terletak di Sungai Petani, Kedah.
Pembinaan rumah tersebut juga dijangka akan siap pada pertengahan tahun ini. - 7 Februari 2018.