Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 5 Februari 2018

Kenapa Cepat Sangat Isteri Taib & Dua Anak Tiri Dapat Status Melanau, Hak Pemilikan Tanah.

Oleh : The Malaysian Insight

PEMBERIAN status asli kepada isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud yang merupakan kelahiran Syria mendapat kecaman daripada parti pembangkang Sarawak dan pemimpin masyarakat. 



Menurut laporan Sarawak Gazette yang viral di media sosial, Ragad Kurdi Taib yang merupakan kelahiran Syria dan dua anak lelakinya kini sah diiktiraf sebagai sebahagian daripada masyarakat Melanau, yang membenarkan mereka memegang tanah hak milik asli.

Ragad, isteri kepada Taib Mahmud, 82 tahun, dan anaknya Nizar Mahmoud Madi dan Sam Mahmoud Madi, dijadikan Melanau di bawah Seksyen 20 Ordinan Mahkamah Anak Negeri dan peraturan 17F Kaedah Mahkamah Anak Negeri 1993.

Timbalan pengerusi PKR Sarawak Abdul Jalil Bujang yang juga etnik Melanau, berkata pengiktirafan itu menunjukkan pilih kasih di mana Ragad mendapat pengiktirafan sedangkan ada dalam kalangan orang asal yang masih tidak ada kerakyatan atau memiliki pasangan yang masih belum diluluskan pemastautin tetap walaupun sudah berkahwin sejak sekian lama.

"Individu berkenaan sepatutnya malu kerana memohon sebagai orang asal, sedangkan diketahui ia tidak wajar," kata Abdul Jalil.

"Bagaimana mahu menghormati orang seperti ini?"

Ketua Pemuda DAP Abdul Aziz Isa, yang juga anak saudara Taib berkata, terdapat ribuan lagi "mereka yang layak untuk memohon" kerakyatan.

"Ragad tidak tahu bagaimana sukarnya orang Sarawak berdepan dalam layanan adil sebagai rakyat Malaysia," kata Aziz, yang mana bapanya adalah dari etnik Melanau.

Aziz berkata ribuan rakyat Malaysia, termasuk Orang Asal, kekal tiada kerakyatan dan masih menunggu kelulusan untuk diiiktiraf "sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia, walaupun mereka mempunyai nenek moyang yang tinggal dan bekerja untuk memajukan tanah."

"Apa yang lebih meragukan adalah, bagaimana Ragad yang merupakan kelahiran luar negara, bukan hanya dapat kerakyatan dalam tempoh masa yang singkat, tetapi juga mendapat status Bumiputera."

Dalam kenyataan hari ini, ahli Indigenous Peoples Movement for Self-Determination and Liberation (IPMSDL), Bill Jugah mempersoalkan kecepatan Ragad diberikan status orang asal.

"Terdapat ramai orang asal yang lahir di Sarawak yang sama ada tiada kerakyatan atau tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang betul dan mereka menunggu sejak sekian lama untuk mendapatkan dokumen mereka," katanya.

"Juga, terdapat pasangan rakyat Sarawak yang melalui pelbagai proses untuk mendapatkan taraf pemastautin teteap sudah menunggu lebih 10 tahun tanpa sebarang perkembangan mengenai permohonan mereka.

"Adakah terdapat undang-undang baharu yang terpakai kepada orang kaya dan berpengaruh sedangkan satu lagi perundangan untuk orang biasa?"


Bill berkata kes itu menekankan hakikat bahawa "mereka yang mempunyai kuasa dan pengaruh" dapat mengelakkan prosedur yang digunakan untuk proses memohon kewarganegaraan serta status Bumiputera.

Dalam prosedur biasa, calon harus menjalani proses yang wajar dan adil seperti yang mahir dalam bahasa bangsa dan amalan atau mematuhi adat dan budaya komuniti tersebut.

Terdapat segeintir masyarakat Sarawak bertindak balas terhadap pemberian status asli kepada Ragad dengan tidak percaya, sementara ada yang mengatakan langkah itu diharapkan akan menetapkan pendahuluan bagi orang Sarawak yang layak untuk memohon status asli mereka.

"Kerajaan negeri telah menetapkan terlebih dahulu," kata ahli perniagaan Muthu Samy, yang telah berkahwin dengan seorang Bidayuh, dan mempunyai seorang anak remaja yang tidak dianggap "orang asli".

Dalam peraturan pendaftaran negara, bangsa anak akan mengikut bapa mereka.

Muthu, yang menjalankan perniagaan restoran India di Kuching berkata, beliau telah memikirkan sejak bertahun lalu untuk mendapatkan anaknya sebagai status asli supaya dia dapat mewarisi harta ibunya.

"Saya telah diberitahu, dan juga banyak mendengar dari keluarga dan rakan-rakan, proses permohonan akan panjang dan tidak mudah.

"Itulah sebab mengapa saya tidak tergesa-gesa.

"Namun kepantasan dan kemudahan yang mana Ragad, seorang wanita Arab dan dua anaknya mendapat status Bumiputera Melanau menunjukkan ia boleh dibuat dengan cepat,"
katanya.

"Jika warga asing boleh dapatkan status asli dengan cepat dan mudah, jadi anak saya kelahiran Sarawak, yang searuh Bumiputera itu sepatutnya lebih cepat,"
kata Muthu yang merupakan generasi kedua India kelahiran Sarawak, memberitahu The Malaysian Insight.

"Jika tidak, maka kerajaan baru membuka kotak pandora."

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...