Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 9 Februari 2018

Kerugian NFC Siapa Tanggung, Siapa Yang Dihukum?

Oleh : The Malaysian Insight

AHLI Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan seorang bekas kerani bank mungkin bersalah melanggar undang-undang perbankan Malaysia kerana membocorkan maklumat akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), tetapi mereka yang salah mengurus projek itu masih lagi bebas.



Naib presiden PKR itu dan kerani Public Bank Berhad, Johari Mohamad dihukum penjara 30 bulan semalam kerana melanggar peruntukan Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia). Mereka kini merayu hukuman berkenaan.

Seluruh episod itu kini jadi bahan ketawa tetapi yang ternampak bodohnya ialah kita – rakyat Malaysia.

Sejumlah RM250 juta hangus kerana projek berwawasan besar yang dimulakan ketika pentadbiran Abdullah, kononnya untuk keselamatan makanan dengan menternak lembu bagi bekalan daging, tetapi tiada siapa pun yang dipertanggungjawabkan.

Seorang pun tidak.

Pada 2011, Rafizi mendedahkan syarikat penternakan lembu negara itu membeli unit kondominium mewah. NFC dimiliki oleh Mohamad Salleh Ismail, suami kepada Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.

Laporan Ketua Audit Negara pada 2010 juga sudah menegur kegagalan NFC mencapai sasaran menternak 8,000 ekor lembu di Gemas, Negeri Sembilan, serta membangkitkan salah pengurusannya.

Skandal itu memaksa kerajaan Najib Razak untuk tidak menyambung khidmat Shahrizat sebagai senator pada 2012 menyebabkan beliau gugur jawatan menteri. Beliau sebelum itu kalah di Lembah Pantai pada pilihan raya umum (PRU) 2008.

Salleh didakwa dengan empat tuduhan menyeleweng sejumlah RM49.7 juta daripada NFC pada tahun yang sama tetapi kemudian dilepas dan dibebaskan daripada semua tuduhan.

Pada November 2016, Rafizi kalah saman fitnah dan diarahkan membayar Salleh dan NFC ganti rugi RM200,000 kerana mendakwa pinjaman bank yang dibuat oleh syarikat itu digunakan untuk membeli kondominium.

Yang bersalah hanyalah Rafizi dan Johari.

Karier politik Shahrizat masih lagi bernyawa. Beliau malah menyatakan hasrat mahu bertanding semula pada PRU yang akan diadakan tidak lama lagi tahun ini. Selebihnya, keluarga pemimpin Wanita Umno itu masih hidup senang.

Bagi NFC pula, ladang ternakannya di Gemas kali terakhir dilihat ada beberapa ekor lembu yang kurus kering – mercu tanda bagaimana dana awam diselewengkan tanpa ada sesiapa pun dipertanggungjawabkan atas skandal tersebut.

Dan kini, sampai bila lagi kita hendak tunggu sehingga ada tindakan diambil terhadap mereka yang membazirkan wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk kesejahteraan negara?

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...