Sabtu, 10 Februari 2018

Ramai Melancong Petanda Ekonomi Baik? Ini Jawapan Untuk Tun Faisal.

Oleh : Azhar Harun
Percutian di luar negara tanda ekonomi baik?
Saya terpanggil untuk membuat komen mengenai perkara ini kerana saya dapati naratif pihak kerajaan di dalam perkara ini, dengan hormat yang terlebih dahulu, amat dangkal.
Apabila dinyatakan bahawa ramai orang Malaysia yang merungut tentang kesempitan hidup, kos sara hidup yang semakin memuncak dan pengangguran yang semakin meruncing, jawapan pihak kerajaan, antara lainnya ialah seperti berikut:
a. eh, kalau ekonomi tak baik, bagaimana pula ramai rakyat Malaysia yang bercuti dan berbelanja di luar negara?
b. indeks konsumer kita tinggi. Itu bermaksud ramai orang berbelanja besar. Jadi ekonomi kita bagus lah.
c. ada pula seorang yang terkenal memuatnaik carta jualan kereta Honda di Malaysia untuk menunjukkan bahawa banyak sekali kereta Honda yang dibeli tahun lalu. Jadi implikasinya ialah ekonomi kita baik.
Alangkah mudahnya kalau konklusi makro ekonomi kita dapat dirumuskan dengan begitu mudah dan sebegitu alpa dan bersahaja.
Apakah mereka ini semua tidak sedar apa sebenarnya yang dirungutkan oleh masyarakat dan siapa yang sebenarnya merungut?
Rakyat bukan merungut tak boleh pergi Paris dan shopping di New York.
Rakyat juga tak pernah merungut bahwa mereka tak boleh shopping di Pavilion atau Suria KLCC.
Rakyat juga tak pernah merungut mereka tak boleh beli Honda City atau Civic.
Sebenarnya rakyat merungut mereka tak mampu untuk beli tepung, petrol, roti canai, nasi lemak, baju dan seluar bundle, kasut Adidas tiruan, hot dog ditepi jalan.
Mereka merungut tak larat bayar bil letrik.
Mereka merungut tak ada duit nak hantar anak-anak ke tuition. Malah nak beli pakaian seragam sekolah pun mereka bermasalah.
Rakyat yang merungut mengenai perkara di atas bukan berniat pun nak ke Singapura atau Thailand. Apa lagi ke London sambil hisap curut sebatang 165 ringgit dan berwefie di tepi jalan kat Bayswater atau di pinggir Harrods.
Malah ada di antara mereka yang tak pernah datang ke Kuala Lumpur pun.
Saya lihat sekarang ini, taraf perekonomian masyarakat kita seperti berkasta.
Dari segi pemerhatian mata kasar, kasta-kastanya boleh di lihat dari kereta yang ahli-ahlinya masing-masing pandu atau dipandu di dalamnya, yakni, secara umumnya seperti berikut (dari yang teratas sehingga yang terbawah:
a. kasta Lamboghini, Ferrari dan Bentley.
b. kasta Mercedes S Class dan BMW 7 series.
c. kasta Mercedes E class dan BMW 5 series.
d. kasta Honda Accord dan Proton Perdana
e. kasta Toyota Vios dan Honda City
f. kasta Proton Saga, Kancil dan kereta tua
g. kasta kapchai
h. terletak di antara kasta d-g, kasta lrt dan mrt.
Kasta Lamboghini, Ferrari dan Bentley ini terlampau jauh meninggalkan kasta-kasta lain dari segi kebolehan berbelanja. Mereka inilah yang ke luar negara naik 1st atawa busniness class (malah ada yang naik private jet pun), yang hisap cerut masuk instagram kat Bayswater dan bershopping di Harrods London atawa La Fayette Paris dan sebagainya. Anak-anak mereka di luar negera. Malah, ada yang pergi ke pejabat naik helikopter pun. Hadir acara alumni pun dengan helikopter.
Kasta B pun tak boleh kejar kasta A ini.
Kasta B pun ke luar negara juga. Tapi tak lah sehebat kasta A. Anak-anak kasta ini mungkin bersekolah di international school dan private colleges sebelum ke luar negara. Ahli-ahli kasta ini ialah CEO-CEO dan mereka yang mempunyai perniagaan yang besar dan berjaya.
Kasta C ke luar negara juga. Tapi mungkin 3 tahun sekali. Anak-anak mereka di sekolah swasta. Kalaupun anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara, mungkin di bawah twinning programe sahaja. Ahli-ahli kasta C ini ialah golongan profesional secara 'amnya. Mereka ini berpelajaran tinggi tetapi mungkin tidak sesuccessful seperti yang di dalam kasta B.
Kasta D dan E akan ke Singapura, Thailand, Indonesia sahaja. Sekali sekala mereka ambik tour ke Eropah. Kasta D dipenuhi dengan civil servants atawa penjawat awam yang di posisi tinggi. Mereka berpelajaran tetapi memilih untuk bekerja kerajaan.
Di dalam golongan E pula ialah graduan graduan yang telah bekerja selama 2-5 tahun. Ramai daripada mereka yang tersangkut di dalam income trap. Maksudnya, kaya pun tidak, miskin pun tidak. Mampu beli kereta. Tapi agak susah hendak membeli rumah. Boleh minum kopi kat Starbucks tapi nak pergi 5 star hotel belum tentu boleh.
Kasta F dan G inilah yang amat susah kehidupan mereka. Mereka lah yang merungut tentang kesempitan hidup dan keruncingan pendapatan yang amat ketara.
Dan mereka lah yang paling besar jumlahnya jika dibandingkan dengan jumlah ahli kasta-kasta yang lain.
Di dalam lingua kerajaan, mereka inilah yang kita kategorikan sebagai golongan B40. Yang menerima BR1M, yang kais pagi makan tengahari dan kais petang makan esok pagi.
Inilah yang kita panggil JURANG PENDAPATAN.
GDP dan indeks konsumer tidak akan dapat menyerlahkan jurang pendapatan.
Jurang inilah yang makin meruncing. Dan jurang inilah yang kita seolah-olahnya pejam mata dan tak mau tengok mahupun bincang.
Semata-mata dengan mengatakan bahawa ramai yang ke luar negeri dan berbelanja sakan dan ramai yang beli Honda tak bermaksud kasta-kasta F dan G ini senang lenang dan tak wujud.
Rungutan mereka tak ada kena mengena dengan bercuti ke luarnegeri atawa dengan nak beli Honda.
Rungutan mereka adalah terlebih basic daripada itu.
Yang sedihnya ialah, kalau kita kaji ahli-ahli kasta A ini dan kita selidik faktor-faktor yang memangkinkan mereka ke dalam kasta A, ramai di antara mereka tak berhak pun untuk berada di dalam kasta A kerana:
a. ilmu dan kualifikasi pelajaran mereka tak setinggi mana
b. intelek mereka pun tak seberapa
Jadi persoalannya, kenapakah begitu? Bagaimanakah ahli-ahli kasta A boleh berada dalam kasta A walaupun mereka, dari segi tahap keinsanan universal, tidak seberapa?
Kita kemudiannya mesti kaji kenapa boleh terjadi sedimikian? Kita perlu lihat bagaimana mereka boleh melonjak ke dalam kasta A?
Kita tengok siapa mereka dan siapa kawan mereka. Serta siapa kontek mereka.
Maka akan terjawaplah misteri ini.
Maka timbul pula persoalan berikutnya, yakni:
Apakah distribusi peluang (distribution of opportunity) yang dipraktiskan di negara kita seimbang?
Di tahun 2018, pada pendapat saya, kita tidak lagi sepatutnya bercakap mengenai distribusi kekayaan atawa "distribution of wealth."
Negara-negara tidak lagi kaya seperti dahulu kala.
Distribution of wealth ialah satu konsep lampau dan hampir mansuh.
Pentadbiran adil atau pun yang mengamalkan distributive justice di tahun 2018 ialah mengenai distribusi peluang. Yes, distribution of opportunities.
Dalam konsep ini, saya cadangkan bahawa setiap insan itu akan dapat maju ataupun memajukan diri sekiranya ada peluang atau diberi peluang yang secukupnya dan sama-rata.
Kalau selepas diberi peluangpun, dia masih gagal, maka itu kelemahan dia.
Orang yang berpeluang ke University Oxford sudah tentu akan jauh tarafnya dari orang yang tidak berpeluang. Namun, orang yang tidak berpeluang itu, dari segi teorinya, mungkin akan setaraf sekiranya diberi peluang yang sama.
Apakah kita mahu tanamkan kepala dan terus menerus berendam di dalam konsep kuno distribution of wealth sebagaimana yang dicuba untuk di implementasikan di dalam Dasar Ekonomi Baru (yang telah terbukti gagal).
Atau kita mahu selidik dan menukar arah ke teori alaf 2000 dan memberikan peluang yang serupa kepada semua individu?
Sampai masanya, pada pendapat saya, untuk kita memartabatkan keindividuan setiap rakyat kita.
Kita mulakan dengan anggapan bahawa semua kita adalah makhluk yang mempunyai kebolehan. Cuma yang kita perlukan ialah peluang.
Mungkin dengan peluang yang cukup, kasta Kapchai akan dapat melonjak ke kasta Bentley dan sebagainya.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...