Jumaat, 9 Februari 2018

Tak Akan Selamat Langgar Baiah, Kita Lihat Ada Yang Hilang Gelaran & Pangkat - PAS.

Oleh : Sinar Harian

Pihak yang mendakwa sumpah baiah Pas memberi kesan buruk kepada dua pihak dan satu pendekatan ekstrem perlu melihat kembali kepada sejarah Rasulullah SAW.




Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, baiah adalah satu perbuatan sunnah Rasulullah yang pernah diberikan oleh kaum Muslimin beberapa kali ketika Baginda masih hidup seperti Baiatul Aqabah pertama, kedua dan Baiatul Ridhwan. 

“Jangan pula ada pihak yang kata baiah itu suatu yang ekstrem kerana Rasulullah juga berbaiah dalam perjuangan menegakkan Islam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, baiah diikat supaya orang Islam ada satu sikap patuh dan taat dalam urusan memimpin manusia.

“Tak akan ada yang selamat kerana melanggar baiah. Sehari dua ini kita lihat ada individu yang dilucutkan gelaran dan pangkat mereka.
“ALLAH telah menyusun laknat kepada mereka yang langgar baiah. Bukan kita yang jatuhkan hukuman kepada mereka tetapi janji ALLAH itu pasti,” katanya.

Menurutnya, hanya mereka yang istiqamah dan bersabar dengan ujian besar sahaja akan kekal dalam perjuangan Islam.

“Orang yang tak tahan dengan ujian akan meninggalkan perjuangan. Syarat bagi kemenangan sebenar Islam itu adalah apabila orang-orang yang hatinya hitam keluar dari perjuangan.

"Insya-ALLAH Pas akan menang secara dramatik dalam PRU akan datang,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi mendakwa wakil rakyat yang melafazkan baiah Pas terutama melibatkan talak isteri, berdepan risiko kerana sumpah itu akan makan diri sendiri apabila tidak lagi bergelar pemimpin parti itu.

Mengulas perkara tersebut Nik Muhammad Zawawi berkata, tidak ada paksaan untuk berbaiah dalam Pas jika individu berkenaan tidak menjadi calon dalam pilihan raya dan tindakan meninggalkan parti tetapi tidak melepaskan jawatan juga dilihat sebagai tidak profesional.

“Dalam Pas, hasil yang diterima oleh individu bergelar wakil rakyat adalah haram apabila mereka melanggar baiah.
"Mereka perlu tahu penyokong Pas tidak akan menghalalkannya kerana sokongan dan undi yang diterima itu adalah daripada pengundi atau ahli Pas yang menyokong perjuangan Islam yang dibawa parti ini,” katanya.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...