Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 29 Disember 2018

Bayar Zakat 1j, Ini Penjelasan PTTPN.

MALAYSIAKINI | Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjelaskan bahawa ia menunaikan kewajipan membayar zakat perniagaan tanpa menjejaskan pinjaman kepada pelajar. 



Berikut adalah penjelasan penuh PTPTN:
Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan. Zakat perniagaan merupakan suatu tanggungjawab yang wajib ditunaikan ke atas mereka yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Justeru itu, PTPTN sememangnya wajib mengeluarkan zakat ke atas keuntungan pelaburan yang dibuat bagi semua pelaburan termasuk bagi deposit yang diterima melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan penuh rasa tanggungjawab.

SSPN merupakan Skim Simpanan yang patuh syariah menggunakan konsep “Wakalah Bil Istithmar”, yakni konsep simpanan untuk pelaburan. Melalui konsep ini, PTPTN telah diwakilkan oleh pendeposit untuk melabur bagi pihak mereka.

Asas yang digunakan oleh PTPTN ialah PTPTN memenuhi semua syarat yang ditetapkan yang mewajibkan PTPTN mengeluarkan zakat sepertimana yang digariskan oleh pusat zakat. Sebagaimana ditetapkan, pembayaran zakat PTPTN adalah 2.5% daripada hasil bersih pelaburan tahunan. Hasil pelaburan yang diperolehi adalah tambahan pendapatan dan bahagian peratusan wajib zakat adalah minimum iaitu 2.5% daripada pendapatan bersih pelaburan.

Berkenaan pembayaran zakat ini, pada tahun 2017 PTPTN telah mendapatkan pandangan daripada Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Lembaga Zakat Selangor sebelum ia dilaksanakan. Malah pada tahun ini PTPTN telah mengadakan perbincangan dengan beberapa Lembaga Zakat negeri sebelum bayaran zakat.

PTPTN mengucapkan terima kasih kepada semua pusat zakat negeri kerana memberi kerjasama yang baik dalam usaha PTPTN untuk membayar zakat yang sekaligus dapat mengeratkan hubungan kerjasama dalam membantu dan meringankan beban golongan asnaf terutama dalam aspek pendidikan.

PTPTN telah mengeluarkan zakat semenjak tahun berakhir 2016 lagi dan diteruskan bagi tahun berakhir 2017, melibatkan semua negeri di Malaysia. Majlis penyerahan zakat telah diadakan di negeri Melaka, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Kedah.

Ia akan turut diadakan di negeri-negeri lain yang turut menerima agihan zakat, sekiranya dianjurkan oleh pihak berkuasa agama negeri berkenaan. Bayaran zakat yang dibuat oleh PTPTN adalah wajib bagi hasil pelaburan PTPTN dan bayaran zakat ini dilaksanakan agar pendapatan yang diperolehi dibersihkan dan diberkati oleh Allah SWT. PTPTN juga berharap pembayaran zakat ini yang merupakan kewajipan agama tidak dipolemikkan.

Pembayaran zakat ini sebenarnya tidak menjejaskan pinjaman yang akan diberikan kepada pelajar kerana bayaran zakat adalah berdasarkan keuntungan pelaburan terutama deposit SSPN dan bukan dari dana untuk pemberian pinjaman.

PTPTN menyeru agar pembayaran zakat yang diwajibkan ke atas PTPTN tidak dijadikan isu atau dipolemikkan kerana ini adalah kewajipan agama. PTPTN akan terus komited dalam memastikan dana yang mencukupi tersedia untuk memberi pinjaman kepada generasi akan datang dan dalam masa yang sama dana PTPTN diberkati sesuai dengan tuntutan agama.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...