Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 26 Disember 2018

Anak Hadi Kata Tak Boleh Ucap Merry Krismas, Tapi SU Agung PAS Ucap Boleh Pula, Mana Satu Betul Soal Kit Siang..

LIM KIT SIANG | Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada Rabu 26 Disember 2018.

Yang mana satu pendirian rasmi PAS berhubung ucapan Krismas? Adakah daripada Setiausaha Agung PAS atau Ketua Pemuda PAS merangkap anak Hadi?

Adakah peringatan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PAS merangkap anak Presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, supaya orang Islam tidak membuat ucapan Krismas di Facebook kerana sambutan penganut agama Kristian itu bertentangan dengan akidah Islam merupakan pendirian rasmi PAS atau sekadar pandangan peribadi anak presiden parti itu semata-mata?



Soalan ini timbul selepas Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan membuat ucapan Krismas, meskipun Khalil mengeluarkan peringatan tersebut.

Siapakah yang mempunyai kuasa lebih besar dalam PAS - Setiausaha Agung PAS atau Ketua Pemuda PAS yang juga anak Presiden PAS?

Apakah pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin dan Dewan Syura PAS berhubung isu ini?


Semalam, saya menarik perhatian tentang ucapan Krismas yang ditujukan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Permaisuri Johor Raja Zarith Sultan Idris Shah; Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan di luar Malaysia, antaranya Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Raja Jordan Abdullah II dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

Adakah mereka bukan orang Islam sejati kerana membuat ucapan Krismas?

Sekutu Muhamad Khalil Hadi, dalam cubaannya untuk mengalihkan perhatian daripada kontroversi tersebut, mendakwa kononnya "Amanah Kit Siang" lebih bahaya daripada Amanat Hadi.

Saya berbangga dengan kenyataan itu atas dua alasan, pertama, saya sendiri tidak tahu akan kewujudan “Amanat Kit Siang”; dan kedua, kira-kira 15 tahun selepas Hadi menyifatkan saya sebagai "ubat habis tempoh", saya masih berdiri di sini dan dikatakan membawa "Amanat Kit Siang".

Adakah Pemimpin PAS tersebut ada terlebih dahulu meminta nasihat daripada Hadi sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian, yang mana boleh membuatkan Presiden PAS berkenaan dilihat dungu kerana pernah mengatakan yang saya tidak lagi relevan pada 15 tahun lalu!

Namun, muslihat sedemikian tidak boleh menutup hakikat bahawa kepimpinan PAS gagal menjawab banyak persoalan penting yang berbangkit.

Antara soalannya adalah:

Presiden PAS Hadi berkata semua orang Islam harus menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana mendakwa ia adalah agenda Freemason dengan niat untuk memusnahkan agama, negara dan masyarakat Islam.

Pun begitu, kira-kira 99 peratus daripada 1.3 bilion orang Islam di dunia tinggal di 179 negara yang telah meratifikasi ICERD, termasuk 55 daripada 57 negara ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), seperti Arab Saudi, Indonesia, Turki, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Palestin, Algeria, Maghribi, Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan.

Adakah PAS mahu menjadi penyelamat orang Islam di dunia, termasuk orang Islam di negara Arab Saudi, dan melancarkan kempen antarabangsa bagi mendesak 1.3 bilion orang Islam menentang ICERD?

Adalah mengecewakan apabila begitu ramai pemimpian PAS menunjukkan set minda primitif - seperti Ulama PAS Selangor yang berkongsi video kugiran pop Indonesia sejurus sebelum bencana tsunami membadai negara itu.

Pemimpin PAS sepatutnya belajar daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, yang berucap pada resepsi minum petang sempena sambutan Krismas semalam dan berkongsi pengalamannya menuntut di sekolah convent, sambil berterima kasih kepada guru biarawati beliau kerana mengajarkannya nilai-nilai murni yang membentuk jati dirinya atau daripada artikel yang ditulis oleh Fa Abdul dan disiarkan di Malaysiakini bertajuk “My first Sunday mass before Christmas”, kerana jelas apa yang kurang dalam kalangan pemimpin PAS adalah kasih sayang.

Sebelas tahun lalu, pada Disember 2007 di Amman, 129 intelektual Islam terkemuka dari serata dunia mengucapkan Krismas kepada seluruh warga dunia, sebagai seruan perpaduan antara kedua-dua agama tersebut melalui dialog yang diadakan pada Oktober tahun itu.

Kenyataan ucapan tersebut, turut menyelitkan ucapan terima kasih kepada penganut Kristian yang menyambut baik seruan Oktober tersebut yang diberikan tajuk "A Common Word". Inisiatif "Common Word" itu disokong oleh Aal al-Bayt Institute for Islamic Thought, yang diketuai oleh Putera Jordan Ghazi bin Muhammad bin Talal.

Pemimpin "Common Word" memahami prinsip moral yang dikongsi oleh "agama Ibrahim", termasuk tekad untuk mengangkat kesucian kehidupan manusia. Ucapan Krismas itu juga turut merayu agar penganut Kristian dan Islam bersatu untuk “menyelamatkan, mengangkat dan menghargai setiap kehidupan manusia, terutamanya kehidupan setiap kanak-kanak”.

Adakah wujud Amanat Kit Siang?

Jika ada, ia akan membawa seruan ini: Seruan supaya seluruh rakyat Malaysia, tidak kira yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau agama lain, bertekad dengan satu objektif Malaysia Baharu iaitu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai persefahaman agama dan toleransi yang kukuh.

Adakah PAS akan menyokong objektif ini?

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...