Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 9 Januari 2019

SU Politik Lim Kit Siang Pertikaikan Polis Guna Akta Hasutan Tahan 3 Individu Hina Sultan.

KENYATAAN MEDIA | Berkenaan dengan penahanan 3 individu di bawah Akta Hasutan

1. Kami merujuk kepada kenyataan media Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bertarikh 09 Januari 2019, berkenaan dengan penahanan 3 individu yang dikatakan telah memuatnaik komen-komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan dengan isu perletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

2. Kami menegaskan di sini bahawa kami mengecam kenyataan individu-individu yang mengeluarkan ekspresi yang dianggap menghina terhadap baginda Sultan Muhammad V. Kami menyeru supaya rakyat Malaysia menghormati sistem raja berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

3. Pada masa yang sama, kami membantah penahanan ke atas 3 individu tersebut di bawah Akta Hasutan. Kami mengambil pendirian bahawa walaupun apa yang didakwa telah dimuatnaik oleh mereka adalah menjelikkan dan tidak dapat diterima masyarakat secara amnya, mereka tidak wajar ditahan di bawah Akta Hasutan.

4. Akta Hasutan adalah Akta peninggalan penjajah yang zalim dan menekan, serta merupakan suatu sekatan tidak munasabah dan tidak berkadar ke atas kebebasan asasi yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Pakatan Harapan di dalam manifesto juga telah berjanji untuk menghapuskan Akta tersebut di dalam Janji 27.

5. Kami sedar bahawa berikutan daripada rusuhan-rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield tahun lepas, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menarik balik moratorium ke atas beberapa akta termasuk Akta Hasutan, tetapi ianya hanya terhad kepada kes-kes luar biasa, yang melibatkan keselamatan dalam negeri, ketenteraman awam dan hubungan di antara kaum. Kami tidak melihat ekspresi-ekspresi ketiga-tiga individu tersebut sebagai tergolong dalam kategori yang disebutkan itu, walaupun ekspresi tersebut wajar dikecam.

6. Keputusan pihak polis untuk menahan mereka di bawah Akta Hasutan adalah bertentangan dengan dasar Kerajaan Persekutuan, dan melanggar moratorium yang telah dikenakan, dan kami menggesa supaya mereka dilepaskan dengan segera.

7. Kami juga ingin mencadangkan kepada pihak polis, sekiranya perlu untuk menggunakan peruntukan undang-undang yang sedia ada selain Akta Hasutan bagi menyiasat ketiga-tiga individu tersebut, walaupun kami tidak lihat keperluan untuk menahan mereka melebihi 24 jam.

8. Kami juga menggesa pihak Kerajaan untuk mempercepatkan usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan seperti yang telah dijanjikan di dalam manifesto Pakatan Harapan.

Dikeluarkan bersama oleh :

1. Farhan Haziq Mohamed, Ketua DAPSY Subang & Ahli Majlis MBPJ 


2. Syahredzan Johan, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...