Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 7 Januari 2019

Pendedahan Teresa Mengenai Lembaga Getah Bukan Ada Apa-Apa Pun Sebenarnya..

SHAHBUDIN HUSIN | Pendedahan Menteri Industri Utama, Teresa Kok berhubung dakwaan pentadbiran BN memaksa Lembaga Getah Malaysia menjual ladangnya seluas 2,800 ekar di bawah harga pasaran kepada Aset Tanah Negara Berhad dan menyebabkan agensi itu kerugian RM800 juta, sebenarnya tiada isu sama sekali.


 
Begitu juga tiada isu sebenarnya dengan gesaan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia, Sankara N Nair yang mahukan bekas Perdana Menteri, Najib Razak menjelaskan ke mana perginya wang RM800 juta itu.

Dalam renteran yang didedahkan oleh Teresa Kok sendiri, tanah berkenaan dijual oleh Lembaga Getah Malaysia kepada Aset Tanah Negara Berhad pada 2010 dengan harga RM1.5 bilion.

Dua tahun kemudian, Aset Tanah Negara Berhad telah menjual tanah tersebut kepada Kwasa Land, anak syarikat KWSP dengan harga RM2.28 bilion.

Lembaga Getah Malaysia adalah agensi kerajaan, manakala Aset Tanah Negara Berhad pula merupakan syarikat tujuan khas yang juga dimiliki oleh kerajaan.

Pembeli akhir iaitu Kwasa Land, anak syarikat KWSP turut merupakan syarikat milik kerajaan.

Bermakna penjualan tanah itu ialah daripada kerajaan kepada kerajaan dan akhirnya jatuh kepada kerajaan.

Dalam hal ini, ia tiada isu apa-apa sebenarnya kerana yang mendapat manfaat tetap kerajaan.

Yang salah atau mungkin berlaku salah laku ialah jika Lembaga Getah Malaysia diarahkan menjual tanah tersebut kepada Syarikat A Sdn Bhd yang dimiliki oleh Ketua UMNO Bahagian misalnya, kemudian Kwasa Land pula diarahkan membelinya.

Jika itu berlaku, barulah pihak tertentu yang mengaut keuntungan RM800 juta atas angin itu boleh diragukan perlakuannya.

Tetapi, jika daripada kerajaan kepada kerajaan dan kemudian kepada kerajaan juga, apa masalahnya?

Kalau ada untung pun, bukankah kerajaan juga?

Lagi pula, Aset Tanah Negara Berhad menjual tanah tersebut kepada Kwasa Land setelah dua tahun memiliknya yang sudah tentunya berlaku kenaikan harga tanah di kawasan Sungai Buloh itu.

Harus kita ingat, kenaikan harga tanah berlaku dengan pantas, kadang-kadang "overnight" pula selalu berlaku kenaikan harga yang berganda.

Memang BN telah tumbang dan Pakatan Harapan menguasai kerajaan ketika ini, namun janganlah menteri-menteri yang ada cuba memanipulasikan semua perkara untuk menyalahkan kerajaan yang lalu semata-mata.

Yang salah, tetap salah, tetapi dalam kes tanah Lembaga Getah ini, nampaknya Terese Kok kena cerdik sikitlah dalam menjalankan kerjanya.

Bukan apa, pendedahan sebegini yang tiada apa-apa isu sebenarnya hanya akan menyebabkan beliau ditertawakan rakyat saja akhirnya nanti.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...