Isnin, 7 Januari 2019

Sekali Lagi Anwar Tegaskan Tak Bergaduh Dengan Tun Isu Peralihan Kuasa..

ANWAR IBRAHIM | KENYATAAN MEDIA

Saya menyedari terdapat berbagai-bagai andaian terkait soal peralihan kuasa yang dipetik oleh media perdana dan media sosial dengan mengandaikan wujudnya pertembungan dalam kalangan pimpinan.


Saya ingin mengulangi bahawa tidak wujud sebarang pertelingkahan antara saya dan Tun tentang soal peralihan kuasa. Kita telah bersetuju berkenaan proses dan pelan transisi tersebut, dan juga turut dimuafakati di peringkat Pakatan Harapan.

Sejurus pertemuan saya bersama Tun Dr Mahathir pada hari Rabu yang lalu, saya mengulangi pendirian saya bahawa Tun wajar diberi ruang dan dukungan untuk mengemudi kerajaan. Kepimpinan Pakatan Harapan harus kekal fokus terhadap isu-isu yang menekan dengan meringankan beban rakyat, menyegerakan reformasi institusi dan mengheret mereka yang mencurangi dana awam ke muka pengadilan.

Saya mendukung pernyataan Perdana Menteri Tun Mahathir bahawa kerajaan Pakatan Harapan adalah kerajaan yang kuat. Kerajaan sedang bekerja dan berusaha memenuhi janji-janji kepada rakyat Malaysia, dan kerajaan ini adalah kerajaan yang mewakili semua rakyat rentas kaum dan agama, dan menolak sebarang bentuk prejudis dan ancaman mengganggugugat ketenteraman awam.

Walaupun telah banyak yang dicapai, cabaran-cabaran yang mendatang memerlukan kerjasama dan dukungan kuat semua pihak dalam Pakatan Harapan.

Kita juga menyedari wujudnya watak-watak yang ingin melihat kita gagal. Saya menggesa pimpinan untuk berwaspada dengan pemuka-pemuka ini yang lebih senang dengan budaya kronisme, dan cubaan mereka untuk menimbun harta kekayaan, dan mengabaikan keadilan dan kebajikan rakyat. Mari kita bergerak ke depan dan bekerja ke arah memungkinkan sebuah Malaysia yang progresif, sejahtera dan aman sentosa. - 7 Januari 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...