Rakaman video ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Ibu pejabat Bersatu negeri Terengganu di Ladang Tok Pelam tidak ada menyebut “DAP tentukan siapa pemimpin...”. Ini merupakan satu kesilapan laporan yang amat jelas.
Di dalam artikel yang sama terdapat juga perenggan yang berbunyi “Saya tahu ada pendapat mengatakan DAP parti musuh, tapi saya nak bagitahu bahawa yang tentukan saya akan jadi Pengerusi PH dan bakal PM (Perdana Menteri) jika menang dalam PRU (Pilihan Raya Umum) lalu adalah DAP”.
Apa yang sebenarnya diucapkan oleh beliau adalah - “Saya tahu ada orang yang berpendapat bahawa parti DAP ini parti musuh, musuh orang Melayu. Semua orang Melayu dibagitahu oleh UMNO bahawa parti DAP ini adalah musuh.
Tapi saya nak bagitahu yang cadang saya jadi Pengerusi dan saya jadi bakal Perdana Menteri kalau menang adalah DAP”.
Pejabat Perdana Menteri berpendapat bahawa Utusan Malaysia tidak melaporkan berdasarkan fakta dan isi kandungan ucapan Perdana Menteri. - 9 Januari 2019.