Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 20 Januari 2019

Caj Lesen Muzik RM600 Di Kenduri Kahwin Adalah Tamak Dan Keterlaluan Kata Persatuan.

LAPORAN | Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob mempertikaikan tindakan Music Right Malaysia (MRM) yang mengenakan caj RM600 bagi muzik yang dimainkan di semua keraian dan kenduri kahwin bermula awal tahun ini.

Gambar - Johor Press
Tindakan mengenakan caj sebanyak RM600 adalah ke­terlaluan, tamak dan dianggap mengambil kesempatan katanya dalam kenyataan itu.

“Jangan komersialkan semua benda di negara ini. Apa akan jadi di Malaysia yang berbilang kaum ini dengan pelbagai jenis pe­rayaan, keraian dan muzik? Rakyat kini sudah pun ditekan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Saya mencadangkan MRM menghantar satu kertas putih untuk dibincangkan mengenai perkara ini terlebih dahulu dan nyatakan kebimbangan mereka. Jangan memikirkan keuntu­ngan semata-mata dan menekan pengguna,”
katanya seperti yang dilaporkan Mingguan Malaysia hari ini.

Manakala Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, MRM mempunyai hak untuk membuat kutipan bayaran lesen berkenaan, tetapi bukan dengan kadar RM600.

Katanya juga, dasar dan peraturan berkenaan juga mengelirukan rakyat yang telah lama mempunyai kebebasan untuk memainkan muzik secara rakaman atau secara langsung di majlis-majlis keraian dan perkahwinan.

“Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu mengkaji semula pelaksanaan sistem berkenaan yang disifatkan terlalu ketat dan menindas golongan bawahan,” katanya.

Semalam, Utusan Online melaporkan semua majlis keraian atau perkahwinan yang mahu memainkan alatan muzik sama ada secara rakaman mahupun langsung akan dikenakan lesen muzik sebanyak RM600 daripada Music Right Malaysia (MRM).

MRM dalam kenyataan memberitahu, memainkan muzik tanpa lesen adalah menyalahi undang-undang di bawah Akta Hakcipta 1987.

“Ini kerana, tindakan itu dianggap sebagai menafikan bayaran terhadap penggunaan harta intelek yang dimiliki pengkarya muzik, syarikat rakaman dan artis rakaman.

“Oleh itu, sila pastikan acara perkahwinan yang memainkan muzik dalam bentuk rakaman atau secara langsung mendapatkan lesen muzik daripada MRM,”
katanya dalam kenyataan itu.

Untuk rekod, berkuatkuasa pada 1 Januari 2017, MRM telah diberi mandat sebagai pelesen tunggal oleh agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ketika itu, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk mengeluarkan lesen muzik dan kutipan bayaran di negara ini. - 20 Januari 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...