Ahad, 13 Mei 2018

Polis Nafi Serbu Kediaman Milik Keluarga Najib, Hanya Siasat Isu Beg Birkin.

Oleh : Bernama

POLIS NAFI SERBU APARTMENT MEWAH

Polis menafikan laporan beberapa portal berita yang mendakwa pasukan polis menyerbu sebuah apartment mewah di Jalan Raja Chulan di sini, petang semalam, berhubung pemindahan barangan mewah dipercayai milik isteri bekas perdana menteri.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya sedang menyiasat secara terperinci dakwaan itu selepas menerima laporan daripada Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tengah hari, semalam.

"Pihak polis telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan rapi dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan bukannya melakukan serbuan.

"Laporan berita Reuters dan beberapa portal adalah palsu dan tidak benar," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mazlan berkata pihaknya juga telah merakam keterangan beberapa anggota polis bantuan di apartment itu bagi membantu siasatan mengenai dakwaan terdapat maklumat dan rakaman video menunjukkan kira-kira 50 tas tangan jenama Birkin dipindahkan daripada sebuah van ke beberapa unit apartmen itu.

Mazlan berkata beliau akan membuat laporan mengenai berita palsu yang melaporkan serbuan susulan kes itu dan mempersoalkan siapakah sumber polis yang dipetik dalam laporan berkenaan.

Malam tadi, sebuah agensi berita asing melaporkan kira-kira 20 anggota dan pegawai polis membuat serbuan di apartment itu petang semalam susulan laporan yang diterima mengenai pemindahan barangan terbabit. - 13 Mei 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...