Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 19 Mei 2018

Najib Insan Terpilih Untuk Terima Dugaan Kata Penyokong.

Oleh : Malaysiakini

Menganggap Datuk Seri Najib Razak sebagai insan terpilih, seorang penyokong bekas perdana menteri itu hari ini tampil membelanya dengan memberikan rasional di sebalik pelbagai harta mewah yang dirampas pihak berkuasa.




Ketua Gabungan NGO-NGO Selangor Nazilah Idris berkata ketika ini anggota parlimen pembangkang dari Pekan itu dalam keadaan tenang walaupun berdepan dengan ujian getir.

"Dia (Najib) orang terpilih untuk terima dugaan," katanya kepada media selepas menziarahi bekas presiden Umno itu di Taman Duta, Kuala Lumpur hari ini.

Mengenai harta kekayaan yang disita pihak berkuasa dalam siasatan mereka ke atas keluarga Najib, Nazilah berkata tidak ada apa yang perlu dipertikaikan.

"Datuk Seri Najib anak perdana menteri (suatu ketika dulu) dan dia keturunan bangsawan, dia berada dalam keadaan orang kaya sejak kecil. Dia juga jadi menteri besar Pahang selama 30 tahun," katanya.

Menurut Nazilah, dia sendiri boleh mengumpul kekayaan jika ada jalan yang terbuka seperti keuntungan daripada perniagaan.

"Apa yang nak dipertikaikan tentang beg atau barang kemas yang diambil polis? Tak perlu dipertikaikan.

"Bukan dia sahaja, sesiapa saja boleh membeli dan memakai jenama macam itu. Saya rasa tak payah jadikan isu sebab tak ada kaitan dengan 1MDB,"
katanya.

Cari kebenaran isu 1MDB
Polis sedang menjalankan siasatan intensif ke atas Najib serta isterinya Rosman Mansor selepas Pakatan Harapan memperoleh mandat menjadi kerajaan hasil pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Najib adalah individu yang terbabit secara langsung dengan syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB, dan kini disiasat atas arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pasangan itu juga sudah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen sebagai langkah menghalang mereka meninggalkan negara ini.

Malam tadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, pihaknya dirampas sebanyak 284 kotak mengandungi beg tanganmewah pelbagai jenama.

Kata Nazilah, harta kekayaan itu bukan saja ada di rumah Najib.

Malah katanya dia yakin ada lebih banyak barang kemas serta wang jika rumah lain yang lebih besar diperiksa.

"Jadi apa yang nak dipertikaikan. Apa yang kita perlu sekarang ialah mencari kebenaran tentang 1MDB," katanya.

Mengenai keadaan Najib yang dilihatnya dalam lawatan tadi, Nazilah berkata, anak Allahyarham Tun Abdul Razak itu dalam keadaan baik.

"Sesiapa saja orang yang bersalah tidak akan kelihatan setenang itu," katanya.

Sebelum ini juga polis mengesahkan Najib disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...