Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soo Kuai berkata, Riot tampil membuat laporan polis berhubung kehilangan pistol separuh automatik jenis Smith & Wesson, hari ini.
Menurutnya, bekas Menteri Sumber Manusia itu membuat laporan di Balai Polis Sentral Kuching pada 10.40 pagi ini berhubung kehilangan senjata api yang dilesenkan kepada beliau.
“Selepas menerima laporan kehilangan dan siasatan lanjut dijalankan, polis mengesahkan pistol yang ditemui Rabu lalu milik Ahli Parlimen Serian itu.
“Setakat ini siasatan lanjut terhadap penemuan itu masih dijalankan dan keterangan daripada Richard sudah diambil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 35 Akta Senjata Api 1960,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, penyelia Wisma Seberkas membuat laporan polis selepas menemui sepucuk pistol bersama enam butir peluru di dalam tandas bangunan berkenaan pada 8 malam Rabu lalu.
Sepasukan polis kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut sebelum senjata api itu diambil untuk siasatan bagi mengesan pemiliknya. - 18 Mei 2018/Harian Metro.